Tuesday, January 10, 2012

Tafsir Al-Quran Surah Al Kauthar dan Al Kafirun

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّآ أَعۡطَيۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ (١) فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ (٢) إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ (٣)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). (1) Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (2) Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). / (3)
Surah ini dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. sama seperti Surah AdDuha dan Surah al-Inshirah. Dalam surah ini Allah hiburkan Rasul-Nya dan menjanjikannya dengan ni'mat kebaikan yang limpah dan mengancamkan 

musuhnya dengan mala-petaka keputusan keturunan dan mengarahkannya ke jalan bersyukur. Kerana itu surah  ini merupakan satu gambaran dari kehidupan da'wah dan kehidupan penda'wah pada zaman permulaan Islam 
di Makkah, iaitu satu gambaran dari angkara dan gangguan-gangguan yang dihadapi Nabi s.a.w. dan da'wah yang disampaikannya, juga satu gambaran dari pemeliharaan dan naungan Allah terhadap hamba-Nya dan sekumpulan para mu'min yang kecil. Allah meneguhkan hati Rasul-Nya, menenangkan fikirannya memberi janji yang baik kepadanya dan mengancamkan musuhnya dengan mala-petaka.  
Begitu juga surah ini menggambarkan hakikat hidayah, ni'mat kebajikan dan keimanan yang sifat-sifatnya ialah jenuh melimpah-ruah dan berlanjutan dan menggambarkan hakikat kesesatan, kejahatan dan kekufuran
yang sifatnya ialah remeh, tersorok dan terputus walaupun orang-orang yang lalai mempunyai tanggapan yang berlainan dari itu.  
Tersebut dalam hadith-hadith bahawa tokoh-tokoh Quraysh yang biadab selalu mengganggu Rasulullah s.a.w. dan da'wahnya dengan berbagai-bagai tipu daya, sendaan dan ejekan untuk menjauhkan orang ramai 
dari mendengar da'wahnya yang benar yang dibawa dari Allah. Di antara mereka al-'As ibn Wa'il, 'Aqabah ibn Abi Mu'ait, Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain. Mereka mencemuhkan Rasulullah s.a.w. sebagai manusia yang 
putus keturunan, kerana semua anak lelakinya wafat. Kata salah seorang mereka: "Biarkannya, kerana ia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki dan perjuangannya tak lama akan berakhir begitu sahaja."  
Tipu daya yang kecil ini mempunyai kesannya dalam masyarakat yang memang berbangga-bangga dengan adanya anak lelaki yang ramai. 
Tikaman ini digunakan oleh musuh-musuh Rasulullah s.a.w. yang benci kepadanya. Dan mungkin tikaman ini  telah mengguriskan hati beliau dan mendukacitakannya, kerana itulah turunnya surah ini untuk menenang dan 
menghiburkan hatinya dan untuk menerangkan hakikat ni'mat kebajikan yang kekal berterusan yang telah  dipilih oleh Allah untuknya dan menerangkan hakikat keputusan dan kepupusan yang disediakan untuk musuh-musuhnya.  
1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) ni'mat yang melimpah-ruah.  
Maksudnya Kami kurniakan kepadamu ni'mat-ni'mat kebajikan yang banyak dan melimpah-limpah tidak tersekat dan tidak terputus iaitu bertentangan dengan kempen-kempen  yang dilancarkan oleh tokoh-tokoh Quraysh yang biadab itu. Bagi siapa yang ingin memeriksa ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya ia akan menemuinya pada segala aspek yang  difikirkan olehnya iaitu ia akan 
menemuinya pada ni'mat nubuwwah dan ni'mat hubungannya dengan Allah yang Maha Besar, kerana orang yang telah menemui Allah tidak akan kehilangan sesuatu apa. Ia akan menemuinya pada ni'mat al-Qur'an yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.,  kerana satu surah dari al-Qur'an merupakan satu ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah tidak berkesudahan. Ia akan menemuinya pada ni'mat al-mala'ul a'la (para Malaikat yang 
tertinggi) yang sentiasa mendoakan rahmat ke atas Rasulullah s.a.w. dan mendoakan rahmat ke atas orang-orang yang mendoakannya.  Nama Rasulullah s.a.w. sentiasa berkembar dengan nama Allah baik di bumi mahupun di langit. Ia akan menemuinya pada ni'mat sunnah Rasulullah s.a.w. yang kekal berterusan sepanjang zaman di merata pelosok bumi. Berjuta-juta manusia bersilih ganti menurut sunnahnya. Berjuta-juta lidah dan bibir tak berhenti-henti  menyeru namanya. Berjuta-juta hati sentiasa cinta akan sirahnya dan sentiasa mengingatinya sampai hari Qiamat. Ia akan menemuinya pada ni'mat kebajikan yang banyak yang melimpahi umat manusia dari seluruh generasi dengan sebab da'wahnya sama ada manusia-manusia yang mengenal ni'mat kebajikan itu dan beriman dengannya atau manusia-manusia yang tidak mengenalnya tetapi turut dilimpahi ni'mat ke atas mereka. Ia  akan menemuinya pada ni'mat-ni'mat kebajikan dalam berbagai-bagai bentuk dan rupa yang tidak terhitung banyaknya. Sebarang usaha untuk menghitungkan ni'mat-ni'mat Allah 
merupakan semacam usaha hendak memperkecil-kecilkannya.  
Ni'mat al-kauthar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah ni'mat yang melimpah-ruah tidak terhingga, tidak terkira dan tidak terbatas. Oleh sebab itu ayat ini ditinggalkan begitu tanpa diberi huraian yang tertentu. Ia meliputi segala kebajikan yang berkembang subur.  Terdapat banyak hadith dari berbagai-bagai saluran yang menerangkan bahawa al-Kauthar itu ialah sebuah sungai di dalam syurga yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w., tetapi menurut Ibn 'Abbas sungai itu merupakan salah satu ni'mat daripada ni'mat-ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. dan pendapat ini amat munasabah dengan keterangan ayat al-Qur'an.  

2. Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu.  
Setelah menerangkan ni'mat yang melimpah-ruah yang bertentangan dengan kempen-kempen orang-orang kafir itu Allah memerintah Rasul-Nya.2. Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu.  Setelah menerangkan ni'mat yang melimpah-ruah yang bertentangan dengan kempen-kempen orang-orang kafir itu Allah memerintah Rasul-Nya s.a.w. supaya mensyukuri ni'mat itu dengan kewajipannya yang pertama, 
iaitu kewajipan melahirkan keikhlasan dan pemusatan hati kepada Allah 
dalam amal ibadat dan tujuannya dalam mengerjakan solat dan menyembelihkan binatang korban dengan ikhlas kerana Allah tanpa menghiraukan kesyirikan orang-orang musyrik dan tanpa menyertai upacara ibadat mereka mengikuti perbuatan mereka yang menyebut-nyebut lain dari nama Allah ketika menyembelih korban-korban mereka.  Keterangan yang berulang-ulang supaya disebutkan nama Allah sahaja ketika disembelih binatang-binatang korban dan diharamkan binatang-binatang sembelihan yang disebut nama lain dari nama Allah menunjukkan betapa besarnya perhatian agama Islam dalam usaha membersihkan seluruh kehidupan dari kesan-kesan syirik bukan hanya sekadar membersihkan fikiran dan hati sahaja. Islam adalah agama keesaan dalam erti katanya yang sebenar dan agama Tauhid yang bersih dan jelas, kerana itu ia memburu dan menyerang syirik dalam segala bentuk rupanya dan di mana-mana sahaja sama ada dalam hati, dalam 'ibadat dan dalam 'adat resam kehidupan.  
Kehidupan lahir dan batin ini merupakan satu kesatuan dan Islam melayani kehidupan sebagai satu kulli/kesemestaan yang tidak berbelahbahagi dan membersihkannya dari segala noda syirik dan membawa Tafsir Surah Al-Kauthar. kehidupan ini tawajjuh kepada Allah dalam bentuknya yang bersih dan jelas sebagaimana yang kita dapat lihat dalam masalah binatang-binatang sembelihan dan lain-lainnya dari syi'ar-syi'ar 'ibadat dan tradisi-tradisi kehidupan.  
3. Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus keturunan.  
Dalam ayat pertama Allah menerangkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah seorang yang terputus, tetapi seorang yang dikurniakan ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah dan berterusan. Dalam ayat yang akhir ini pula Allah menjelaskan bahawa orang yang terputus itu bukannya Nabi Muhammad s.a.w., tetapi orang-orang  yang memusuhi dan membencinya dan janji Allah itu amat benar kerana sebutan nama mereka telah terputus, 
sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. terus disebut dan disanjung tinggi.  
Pada hari ini kita dapat saksikan kebenaran Firman Allah yang Mulia ini dalam gambaran (kemasyhuran namanya) yang gemilang dan amat luas tidak pernah disaksikan oleh orang-orang zaman dahulu yang telah mendengar nama beliau. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus. Ia akan menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar umbinya jauh ke dalam. Yang terputus ialah kekufuran, 
kebatilan dan kejahatan biarpun bagaimana ia membesar dan kuat.  Ukuran-ukuran Allah berlainan dari ukuran-ukuran manusia, tetapi manusia sahaja yang terkeliru dan tertipu apabila mereka menyangka bahawa ukuran-ukuran merekalah yang menentukan hakikat-hakikat segala perkara. Di hadapan kita terpampang contoh yang diterangkan dalam ayat 
ini sebagai satu contoh yang jelas dan abadi. Di manakah tokoh-tokoh Quraysh yang mengejek Nabi Muhammad s.a.w. dengan ejekan-ejekan yang hina dan menarik hati orang ramai? Ketika itu mereka menyangka bahawa mereka telah berjaya menghancurkan Nabi Muhammad s.a.w. dan menyekat jalan da'wahnya, di mana mereka sekarang? Di mana nama-nama mereka dan kesan-kesan peninggalan mereka dibandingkan dengan ni'mat-ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah yang  dikurniakan kepada Rasulullah yang dicap mereka sebagai manusia yang terputus keturunannya itu?  Da'wah kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada kebajikan tidak mungkin terputus. Dan penda'wahnya juga tidak terputus. Bagaimana ia mungkin terputus, kerana ia sentiasa mempunyai pertalian yang kukuh dengan Allah yang Maha Hidup, Maha Kekal, Azali dan Abadi. Hanya kekufuran, kebatilan dan kejahatan sahaja yang terputus bersama pejuangnya walaupun dalam setengah-setengah ketika ia kelihatan panjang umur dan akar-akarnya menunjang jauh.  Amatlah benar Firman Allah yang Maha Agung dan amatlah bohong tanggapan kaum Musyrikin yang melakukan tipu daya yang jahat itu



سُوۡرَةُ الکافِرون
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣) وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥) لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! (1) Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. (2) Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. (3) Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. (4) Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. (5) Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. / (6)

1. Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir. Allah menyeru mereka dengan hakikat diri mereka yang sebenar dan menyifatkan mereka dengan sifat-sifat mereka yang sebenar iaitu mereka bukan berada di atas agama yang benar, mereka bukan orang-orang mu'min malah mereka adalah orang-orang yang kafir. Tiada titik pertemuan di antara 
engkau dengan mereka. Ayat pertama ini menerangkan hakikat perpisahan yang tidak mungkin bertemu.   
2. Aku tidak sembah apa yang kamu sembah.  
Maksudnya, kerana itu 'ibadatku tidak sama dengan 'ibadat kamu 
Tuhanku tidak sama dengan tuhan kamu.    
3. Dan kamu bukannya penyembah-penyembah Tuhan yang aku sembah.  
Maksudnya, kerana itu 'ibadat kamu tidak sama dengan 'ibadatku dan tuhan kamu tidak sama dengan Tuhanku.   
4. Dan aku bukannya penyembah tuhan yang kamu sembah.  
Ini ialah ayat penguat bagi ayat yang pertama.    
5. Dan kamu juga bukannya penyembah-penyembah Tuhan yang aku sembah.  
Ayat ini merupakan ulangan untuk menguatkan ayat yang kedua 
supaya tidak ada ruang lagi bagi sebarang kekeliruan setelah ditegas dan diulang dengan segala cara penegasan dan ulangan.    
6. Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku.  
Ayat ini merupakan kesimpulan dari hakikat perpisahan yang tidak mungkin bertemu dan hakikat perbezaan yang tidak mungkin dicampuradukkan. Aku di sini kamu di sana, tiada jambatan, tiada titian dan tiada jalan yang menghubungkan di  antara kita. Satu perpisahan yang syumul dan satu perbezaan yang amat jelas dan halus. Perpisahan ini adalah perlu untuk menjelaskan tanda-tanda perbezaan yang pokok yang mustahil dapat diadakan ertemuan di antara kedua-duanya di tengah jalan, iaitu perbezaan dalam asas i'tiqad, dasar  pemikiran, hakikat sistem hidup dan tabiat agama. Tauhid merupakan satu sistem dan syirik merupakan satu sistem yang lain pula. Kedua-duanya tidak mungkin bertemu.  
Tauhid satu sistem yang membawa manusia dan 'alam seluruhnya kepada Allah yang Tunggal, tiada sekutu bagi-Nya. Ia menentukan sumber tempat manusia menerima 'aqidahnya, syari'atnya, nilai-nilai dan ukurannya, adab sopan dan akhlaknya, pandangan-pandangannya terhadap hidup dan 'alam. Sumber yang diterima oleh orang Mu'min itu ialah Allah yang Tunggal tiada sekutu bagi-Nya. Seluruh hidupnya ditegakkan di atas asas ini tanpa bercampur dengan sebarang bentuk syirik sama ada zahir (kasar) atau pun 
khafi (halus). Perpisahan yang jelas ini perlu kepada para penda'wah dan kepada 
mereka yang dida'wah. Kepercayaan-kepercayaan Jahiliyah telah bercampuraduk dengan kepercayaan-kepercayaan keimanan yang benar terutama pada kumpulan-kumpulan manusia yang telah mengenal 'aqidah yang benar, kemudian menyeleweng darinya. Kumpulan-kumpulan manusia seperti ini adalah paling degil untuk kembali beriman dalam bentuknya yang bersih dari sebarang penyelewengan. Mereka lebih degil dari kumpulan manusia 
yang tidak pernah mengenal 'aqidah yang benar. Mereka merasa diri mereka 
di atas jalan yang benar, sedangkan mereka sebenarnya sesat dan menyeleweng.  
Percampuran aduk kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan
mereka di antara yang baik dengan yang rosak itu kadang-kadang memberi 
harapan kepada penda'wah untuk menarik mereka apabila ia mengakui aspek yang betul dan cuba membetulkan aspek yang rosak, tetapi godaan dan harapan ini amat merbahaya. Jahiliyah tetap Jahiliyah, Islam tetap Islam. 
Di antara kedua-duanya dipisahkan oleh satu perbezaan yang jauh. Satusatunya jalan ialah keluar dari keseluruhan Jahiliyah dan masuk ke dalam keseluruhan Islam atau tinggalkan Jahiliyah dengan segala apa yang ada padanya dan pindah ke dalam Islam dengan segala apa yang ada padanya.  
Langkah pertama bagi penda'wah ialah merasa dirinya benar-benar terpisah dari Jahiliyah baik dari segi pemikiran, cara hidup dan tindakan, iaitu satu perpisahan yang tiada titik pertemuan dan tiada kemungkinan untuk bekerjasama kecuali orang-orang yang berada dalam Jahiliyah itu berpindah dengan keseluruhan mereka ke dalam Islam. Tidak ada tampal 
menampal, tidak ada penyelesaian separuh jalan, tidak ada pertemuan di pertengahan jalan biar bagaimana sekalipun Jahiliyah itu menyalutkan badannya dengan pakaian Islam atau memakai nama Islam.  
Kejelasan gambaran ini dalam kesedaran penda'wah merupakan batu asas da'wah. Dia harus sedar bahawa dia bukan seperti mereka. Agama mereka tidak serupa dengan agamanya. Jalan hidup mereka tidak sama dengan jalan hidupnya. Dia tidak mungkin mengikuti jalan hidup mereka walaupun selangkah. Tugas utamanya ialah membawa mereka mengikuti 
jalan hidupnya tanpa ampu-mengampu dan tanpa bertolak ansur sama ada sedikit atau banyak mengenai (kehendak agamanya). Itulah sikap pembebasan dan pemisahan diri yang sempurna dan tegas dari (kaum kafirin).  
6. Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku.  
Para penda'wah hari ini amat perlu kepada perpisahan yang tegas ini. 
Mereka amat perlu kepada perasaan bahawa mereka sedang mengembang semula Islam di dalam satu 'alam sekitar Jahiliyah yang menyeleweng atau dalam kumpulan manusia yang dulunya telah mengenal 'aqidah yang benar, tetapi setelah lama dilalui zaman, hati mereka menjadi keras dan menyeleweng dari jalan yang benar.  
16. "Hati mereka menjadi keras dan sebilangan besar dari mereka adalah 
fasik (menyeleweng dan jalan yang benar). “ (Surah Al-Hadid)  
Dalam melaksanakan da'wah di sana tiada da'wah separuh masak, tiada da'wah tolak ansur di tengah jalan, tiada da'wah sekadar membetulkan yang cacat dan tiada da'wah tampalan-tampalan, malah da'wah kepada Islam adalah sama dengan da'wah pada zaman permulaan iaitu pemisahan yang putus dari Jahiliyah.
6. "Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku." 
Agamaku ialah agama Tauhid yang bersih yang menerima seluruh konsep dan nilainya, 'aqidah dan syari'atnya dari Allah yang Tunggal sahaja tanpa sekutu dalam segala bidang hidup dan perilaku.  
Tanpa pemisahan yang seperti ini, kekeliruan, kekaburan, bermukamuka dan tampalan-tampalan akan terus kekal, sedangkan da'wah Islam tidak boleh ditegakkan di atas asas-asas yang lemah, malah ia tidak dapat ditegakkan melainkan di atas asas yang tegas, terus-terang, berani dan jelas. 
Inilah jalan da'wah yang mula pertama:
6. Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku.  



No comments: