OLEH USTAZ FARID BIN ZAINAL (JAIS) |
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan hidup kita sentiasa berbahagia di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT
Tanggungjawab mencegah kemungkaran dan maksiat merupakan satu kewajipan yang telah ditentukan oleh Islam. Kewajipan ini sebenarnya adalah suatu tugas yang berat dan tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh sembarangan orang melainkan hanya orang-orang yang mempunyai kekuatan iman dan keberanian sahaja. Berani berkata benar dan berani menunjukkan yang salah walau kepada sesiapa pun. Mereka tidak takut dicela atau ditempelak oleh manusia dalam usaha menegakkan perkara yang benar dan melenyapkan perkara yang salah. Bagi mereka itulah kebaikan yang hakiki di dalam hidup ini. Firman Allah SWT. di dalam surah Al-Isra’ ayat 81 ;
“Dan katakanlah: Yang benar telah datang dan yang batil telah terhapus”. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti akan terhapus”.
Seperkara yang harus difahami oleh kita sebagai umat Islam ialah kita seharusnya memahami hakikat penciptaan manusia dan menyedari bahawa kita dilahirkan adalah untuk menjadi pemimpin di atas muka bumi Allah SWT ini, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:
“Dan ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi ini”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi ini adalah meletakkan Islam di tempat yang tertinggi dan melaksanakannya menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Pendaulatan Islam tidak akan berlaku melainkan dengan terlaksananya amar makruf nahi munkar di kalangan manusia. Firman Allah SWT. di dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 ;
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.
Prof. Dr. HAMKA di dalam Tafsir Al-Azhar menjelaskan pentafsiran ayat tadi dengan katanya:
“Dengan adanya amar makruf, kemungkaran dapat dibendung dan yang makruf dapat dialirkan terus, sehingga umat Islam menjadi pelopor kebajikan di dunia ini“.
Di dalam ayat ini juga Allah SWT telah menetapkan bahawa tugas menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran bukan sahaja terletak di bahu pemerintah, bahkan ia merupakan satu kefardhuan yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Apabila hukum ini diketepikan maka akan berdosalah seluruh umat itu.
Tugas berdakwah, menyeru manusia ke jalan Allah dan menjauhi kemungkaran adalah tugas semua umat Islam. Namun tugas ini menjadi lebih utama kepada golongan ulama’ atau orang-orang yang berilmu. Ini adalah kerana mereka dianggap sebagai golongan yang paling layak mewarisi tugas-tugas para nabi dan rasul iaitu membimbing manusia ke jalan kebaikan.
Tugas amar makruf nahi munkar, terutamanya dalam soal pencegahan maksiat amat penting dilaksanakan supaya umat Islam terlepas daripada bala bencana yang diturunkan oleh Allah SWT. Dalam sejarah telah tercatat, pernah seorang sahabat, Ibnu Abbas r.a. bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
“Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun di dalamnya terdapat orang-orang soleh? Rasulullah s.a.w. mengatakan bahawa, disebabkan mereka memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhakai Allah, maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas penduduknya”.
Begitulah pentingnya tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, di mana apabila mereka gagal melaksanakannya maka seluruh umat Islam akan ditimpa bala bencana oleh Allah SWT.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kewajipan mencegah kemungkaran dan maksiat juga menjadi suatu keutamaan kepada mereka yang mengetahui kemaksiatan itu berlaku, apatahlagi apabila mereka melihatnya. Betapa beratnya tanggungjawab mencegah perkara-perkara mungkar sehingga dijelaskan akibat yang akan berlaku sekiranya perkara-perkara maksiat itu dibiarkan terus berleluasa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Daripada Mujahid beliau berkata: telah dikhabarkan kepadaku oleh hambaku bahawa beliau telah mendengar ‘Adi berkata: Aku telah mendengar bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak menyeksa orang ramai dengan perbuatan orang-orang yang tertentu sehingga mereka melihat kemungkaran itu berlaku di hadapan mata mereka, sedang mereka berkuasa untuk menghalangnya tetapi mereka tidak mahu menghalangnya, apabila berlaku yang demikian itu, maka Allah menyeksa orang yang melakukan kemungkaran termasuklah orang ramai”.
Membiarkan perkara mungkar dan maksiat berleluasa tanpa ada sebarang ikhtiar untuk mengekang dan membendungnya, akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT serta penurunan azab dari-Nya, ini digambarkan di dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Tidaklah sesuatu kaum melakukan maksiat, sedangkan terdapat di kalangan mereka orang-orang yang mulia dan mampu menegah serta mengubahnya, tetapi mereka tidak menegah dan mengubah, nescaya Allah akan menimpakan azab secara menyeluruh kepada mereka”.(Riwayat Ahmad)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Rasulullah s.a.w. telah bersabda di dalam sebuah hadith;
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaannya), jikalau tidak berkuasa hendaklah mencegah dengan lisannya, jikalau tidak berkuasa juga, hendaklah mencegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.”
Berdasarkan hadis di atas dapatlah disimpulkan bahawa sesuatu kemungkaran dan kemaksiatan itu boleh ditegah melalui tiga cara iaitu;
Pertama: Mencegah dengan tangan, iaitu dengan kekuatan atau kekuasaan.
Kedua: Mencegah dengan lidah, iaitu dengan teguran atau nasihat.
Ketiga: Mencegah dengan hati, iaitu hati kita merasa benci dan tidak redha dengan kemaksiatan tersebut.
Pencegahan terhadap perbuatan mungkar dan maksiat menerusi hati merupakan selemah-lemah iman. Jika tidak ada sedikit pun di dalam hati seseorang perasaan benci terhadap kemungkaran dan kemaksiatan tersebut, maka itu adalah tanda seseorang itu telah tiada imannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah;
Tanggungjawab mencegah perkara-perkara maksiat tidak boleh dipandang remeh dan dicuaikan. Ianya mestilah dijalankan dalam semua peringkat masyarakat, bermula dari diri, keluarga, masyarakat hinggalah negara.
Seorang suami yang merupakan ketua keluarga mempunyai kuasa terhadap anak dan isterinya. Suami berkewajipan mengajak anak dan isterinya ke arah kebaikan dan apabila mereka melakukan maksiat, wajiblah ditegah dan diambil tindakan yang sewajarnya. Firman Allah SWT di dalam surah At -Tahrim ayat 6;
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu (berhala); penjaganya terdiri daripada para malaikat yang kasar, keras dan mereka tidak menderhakai Allah, setiap apa yang diperintahkan kepada mereka sudah pasti mereka akan melaksanakannya”.
Perintah ini menjelaskan tentang kewajipan setiap individu menghindarkan dosa dan maksiat yang boleh menjerumuskan mereka dan keluarga mereka ke dalam azab api neraka. Usaha memperbaiki diri dan keluarga, mendekatkan diri kepada Allah dan mencegah dari segala bentuk kemungkaran mestilah dilakukan oleh setiap orang yang beriman.
Apa yang penting ialah kita mesti memulakannya dari diri kita dan keluarga kita terlebih dahulu kerana kaedah itulah yang dikehendaki Allah SWT dan dapat dicontohi daripada Rasulullah s.a.w. Janganlah kita hanya menuding jari kepada pihak-pihak lain sahaja apabila berleluasanya kemungkaran dan maksiat, sedangkan di dalam keluarga kita masih ada yang tidak menjalani kehidupan menurut apa yang dituntut oleh Islam. Isteri mendedahkan aurat dan tidak taat kepada suami, anak-anak bergaul bebas dengan orang yang bukan muhrimnya dan lain-lain lagi. Ini semua adalah kemungkaran yang perlu dicegah.
Pada masa yang sama pihak berkuasa atau pemerintah dan juga penguatkuasa agama, wajib melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat dan negaranya kerana mereka memiliki kekuasaan. Setiap kebaikan yang dilakukan oleh masyarakat hendaklah disokong dan segala kemungkaran serta maksiat hendaklah dibanteras hingga ke akar umbi.
Guru-guru, ulama’ dan pendakwah wajib melaksanakan amar makruf nahi mungkar dengan bersungguh-sungguh dengan membimbing masyarakat agar jiwa mereka terdedah dengan ketaatan dan patuh kepada Allah SWT.
Amat menyedihkan sekali apabila kita dapati sejak kebelakangan ini, berbagai kemungkaran telah berlaku di hadapan mata kita. Gejala maksiat berleluasa dalam masyarakat di semua peringkat umur khususnya golongan muda mudi. Keruntuhan akhlak dan moral, pergaulan bebas, perzinaan, rogol, bersekedudukan dan berbagai-bagai kemungkaran yang sukar dibendung.
Kemungkaran dan kemaksiatan ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin dan ini adalah tanggungjawab masyarakat Islam, tanggungjawab kita bersama. Masyarakat awam tidak boleh membiarkan maksiat berlaku di hadapan mereka. Sekiranya tidak mampu adukanlah kepada pihak berkuasa, yang mampu mestilah mencegahnya dengan apa cara sekalipun dengan tidak melanggar batasan undang-undang. Tidak ada seorang pun yang terlepas dari tanggungjawab ini. Sabda Rasulullah s.a.w. riwayat Ad-Dailami yang bermaksud:
“Akan berlaku di akhir zaman satu kaum di mana mereka yang diberi kuasa, lalu mereka berhukum bukan dengan hukum Allah. Dan mereka tidak mencegah (maksiat yang berlaku) maka wajib ke atas mereka mendapat laknat Allah”. (Rujukan Minhajus Solihin ms.415)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Marilah kita berganding bahu melaksanakan amanah Allah untuk menyeru perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran. Marilah kita rebut setiap ruang dan peluang yang ada untuk meninggikan dan memartabatkan hukum Allah di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara kita.
“Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan sememangnya tidak ada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali ‘Imran: 135)
No comments:
Post a Comment