Tuesday, April 10, 2012

MENGIMARAHKAN MASJID ADALAH TUGAS HAMBANYA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT

OLEH ABU RIDHWAN AN NADWI

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (18)

Pemakmur masjid itu hanya boleh memakmurkan masjid apabila pandangan hidupnya terbentuk daripada keyakinannya terhadap iman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Manusianya juga mementingkan hablun minaLlah melalui solat.
Manusianya juga mengutamakan hablun minannaas melalui zakat.
Segala cabaran yang mendatang pada menghalang proses merealisasikan sebuah masjid yang makmur, dibentengi oleh keberaniannya yang tidak takut melainkan kepada Allah.
Mudah-mudahan dengan acuan yang demikian, berolehlah mereka petunjuk dari Allah untuk diagih-agihkan kepada sekalian yang berkunjung ke rumah Allah.



MASJID MESRA REMAJA

Permulaan kepada langkah ini, adalah pada membentuk sikap positif orang-orang tua yang berada di masjid untuk menyapa dan bertanya khabar kepada anak-anak muda yang berkunjung. Kuasa kasih sayang masih belum mampu ditandingi oleh mana-mana kuasa lain. Rasa empati yang diperolehi oleh anak muda daripada sapaan orang tua berpangkat abang, bapa dan datuk kepada mereka, adalah sesuatu yang mudah diperolehi di gereja, tetapi jarang di masjid. Suatu tamparan buat kita semua.
Jika di gereja, paderi akan berdiri di pintu mengucapkan penghargaan kepada satu demi satu ‘jemaah’nya yang hadir. Di masjid kita, bisa sahaja orang yang keluar masuk masjid tidak pernah disedari oleh warga tetap masjid itu bermula daripada Imamnya hinggalah kepada jemaah di saf.
Seterusnya, adalah pada mengimbangkan di antara kuliah-kuliah yang dekat dengan selera orang tua, dengan kuliah-kuliah yang menawan hati anak muda. Sediakan juga perkhidmatan yang anak muda ‘mahu’, sebagai ‘umpan’ untuk mereka diberikan apa yang mereka ‘perlu’. Tuisyen, gelanggang sepakraga dan khidmat kaunseling adalah di antara perkhidmatan yang boleh dipertimbangkan.
Hubungan remaja dengan masjid, adalah pandangan tentang masa depan masjid itu, 10 tahun akan datang.

MASJID MESRA KANAK-KANAK

Perubahan kepada suasana masjid agar mesra kanak-kanak bermula dengan mengubah pandangan kita terhadap kanak-kanak. Melihat mereka sebagai separuh manusiawi yang tidak perlu difikirkan kehendak, keperluan, keinginan dan kecenderungan mereka, adalah permulaan kepada ‘diskriminasi’ masjid terhadap kelompok ini.
Terlalu banyak rakaman Sunnah tentang passion Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada kanak-kanak.
Ibu bapa harus diperingatkan tentang amalan sahabat yang tatkala membawa anak-anak mereka ke masjid, mereka juga membawa permainan agar anak-anak itu tadi boleh disibukkan dengan permainan tersebut tatkala solat atau kuliah pengajian berlangsung.
Adalah tidak masuk akal untuk ibu bapa, AJK Masjid atau penceramah untuk meletakkanexpectation bahawa anak-anak boleh duduk diam mendengar ceramah seperti ibu bapa mereka. Justeru ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk membantu anak-anak duduk di dalam suasana masjid dengan ditemani oleh permainan-permainan yang sesuai (trompet semestinya tiada dalam senarai), atau buku-buku mewarna, bergantung kepada kecenderungan dan minat anak masing-masing.
Manakala di pihak masjid pula, andai berkapasiti, boleh diusahakan bilik permainan yang sesuai dan selamat untuk anak-anak yang mempunyai pembesar suara untuk ibu-ibu yang meneman anak di bilik itu dapat mengikuti kuliah yang disampaikan. Padang permainan mini juga bukanlah suatu alternatif yang keterlaluan untuk dipertimbangkan.
Persoalan khilaf fikah tentang kanak-kanak yang mahu menyertai solat mesti diselesaikan dengan menyediakan alternatif, dan bukan sama sekali mengharamkan anak-anak itu memijak sempadan-sempadan tertentu di dalam masjid. Mereka adalah pewaris masjid, bukan pengemis!
Namun, titik besarnya bermula pada meletakkan penghargaan yang tinggi kepada manusia bernama kanak-kanak.

MESRA OKU

OKU itu, selama mana mereka masih di lingkungan manusia mukallaf mempunyai hak yang mesti diberi perhatian oleh pihak masjid untuk keperluan mereka dibantu sebaik mungkin.
Untuk masjid-masjid besar bertingkat dua atau tiga, sudah tentu persoalan menyediakan lif, laluan kerusi roda dan yang seumpama dengannya mesti diberi keutamaan seawal penyediaan plan pembinaan.
Namun bagi masjid yang telah sedia ada, cukuplah dengan meringankan tangan untuk menghulurkan bantuan tatkala adanya pengunjung daripada kalangan OKU. Bermanis muka dan bersikap setara sama ada dengan OKU atau dengan sesiapa sahaja.
Tidak dilupakan, golongan OKU ini juga wajar diambil sebagai pekerja untuk tugasan-tugasan yang bersesuaian.

MESRA ‘PENCARI’ MUSLIM

Apa yang saya maksudkan dengan ‘pencari’ Muslim ini ialah individu-individu Muslim yang bukanlah merupakan pengunjung biasa ke masjid. Ada sesekali titik hidayah menjenguk hati mereka, membawa mereka ke masjid untuk mencari pedoman.
Justeru bagi Imam, lunakkan diri untuk mudah didekati. Seorang Imam mungkin berjaya melepasibarrier ini apabila selesai bersolat,  menjadi kebiasaan untuk orang datang bertemu di sejadahnya untuk berbual dan bertanyakan sesuatu. Janganlah dihindarkan diri daripada kebiasaan ini kerana nilainya amat besar buat mereka yang sedang mencari ini.
Ketahuilah juga, tidak semua orang datang ke masjid untuk mencari bekalan minda berupa ilmu. Dalam suasana 1 daripada setiap 5 orang anggota masyarakat mengalami tekanan mental (statistik Kementerian Kesihatan), ramai yang datang ke masjid kerana mencari bekalan hati dan jiwa. Mereka memerlukan banyak pengisian yang boleh meluruskan attachment mereka dengan kehidupan, dengan agama, dengan Tuhan.
Seimbangkan semua ini.
Jangan nanti, ketenangan yang sepatutnya ditemui di rumah Allah Subhanahu wa Taala, hilang oleh perbahasan ilmu dan minda yang penuh sengketa khilaf yang tak berkesudahan, dan akhirnya ketenangan itu dikutip ‘sang pencari’ dari majlis ajaran sesat.

MESRA ‘PENCARI’ NON MUSLIM

Cabaran ini amat besar.
Jika disingkap Sirah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, apatah lagi di era Makkah, bahagian dakwah baginda kepada non Muslim amat amat besar. Tetapi setelah lebih 50 tahun kaum itu berjiran dengan kita, penerimaan mereka terhadap Islam amat rendah.
Bukan sahaja pada mereka yang memilih untuk memeluk Islam, bahkan juga pada kefahaman mereka tentang Islam itu sendiri.
Pendekatan masjid bukanlah sentiasa menjurus kepada mahu mengIslamkan seseorang yang datang mencari tetapi juga pada peringkat asas iaitu memberikan penerangan yang betul tentang Islam.
Sulit sekali hal ini mahu diselesaikan, andaikata masjid melihat non Muslim dengan pandangan yang kotor, penuh prasangka hingga tiada rasa bertanggungjawab terhadap mereka. Jauh sekali akhlak seperti ini daripada ajaran Nabi.
Keharusan non Muslim masuk ke masjid adalah titik khilaf. Biar pun Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menerima sejumlah besar mad’u non Muslim baginda di dalam masjid, memberi izin kaum dari Thaif yang Nasrani untuk menumpang tinggal di masjid, meletakkan tawanan perang di dalam masjid, yang kesemua itu bertujuannya adalah untuk mendekatkan Islam dan Masjid dengan alam, titik khilaf fikah itu tidak dapat dinafikan wujudnya ia.
Kewujudkan titik khilaf itu diburukkan pula dengan kegagalan agamawan menyelesaikan keutamaan.
Masjid yang berkeras dengan larangan non Muslim masuk, tidak terlepas daripada kewajipan menyediakan dakwah kepada non Muslim. Jika masjid tidak dibenarkan masuk, WAJIB disediakan sudut, ruang pejabat, kaunter atau apa sahaja wasilah untuk tugas dakwah ini dilaksanakan.
Kecualilah larangan non Muslim masuk itu berpunca daripada masalah sikap, dan bukannya hukum. Lalu besarlah jawapan yang perlu disediakan di hadapan Allah atas tanggungjawab besar yang diabaikan ini.

No comments: