Sebagaimana telah kita ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid untuk solat jemaah dan membaca yasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari nabi Muhammad S.a.w maka dikira bid’ah. Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3 kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yasin boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.
Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yasin yang  dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar.  Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar,   tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar  lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca AlQuran bertajwid.  Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam  keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca AlQuran dalam keadaan  tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa  dan tidak faham apa yang dibaca itu?
Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu  tentang bacaan yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban ini dan jika ada  pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban yang  dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun  ada sebahagian ulama berpendapat hadis dhaif boleh dipegang dalam  amalan sunat secara perseorangan.  Tetapi tidak sekali-kali dengan  hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’ maknanya hadith  PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang direka-reka oleh golongan  tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting agar kita berhati-hati dalam  memahami martabat sesuatu hadith itu.
Namun , dalam soal bacaan Yasin sebanyak 3 kali dalam  nisfu Syaaban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan  tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh nabi dan sahabat.  Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di  masjid-masjid apabila tibanya malam nisfu Syaaban sahaja?  Mengapa perlu  menetapkan malam itu untuk membaca Yasin 3 kali dan berduyun-duyun  menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati  bersama.
Dan saya tidak berani mengatakan amalan tersebut  haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus yang bukannya  berasal dari nabi sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan  menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak berasas atau menambah  dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.
Maka sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan  membaca Yasin atau apa-apa sahaja bacaan AlQuran , tanpa perlu  dikhususkan 3 kali dan seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah  TERTIB, TENANG dan memberi keinsafan kepada kita dan bukannya  semata-mata mahu mengejar pahala  sehingga membaca AlQuran dengan  tergopoh dan salah tajwid dan mengatakan sepatutnya melakukan bacaan  Yasin 3 kali itu.
Pengertian nisfu Syaaban
Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu  Syaaban  bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah  malam lima-belas  Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban  merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam  Lailatul  qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur   pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg  diriwayatkan oleh  Imam Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah saw  telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan       sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku       melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan  bergerak.      Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata  dlm sujudnya, “Ya      Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg  akan diturunkan dan aku      pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu  dan aku berlindung kpdMu      daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung  pujian terhadapMu seperti kamu memuji      diriMu sendiri.”
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda  berkata kpd Saiyidatina      Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu  syaaban. Sesungguhnya Allah      Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada  malam Nisfu syaaban dan memberi      keampunan kpd mereka yg  beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg      memberi rahmat dan  melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg      dengki.”
Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan  amalan  kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku  catatan yang  baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang  baru akan bermula sebaik  sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban  bermula pada 14 hb sya’aban sebaik  sahaja masuk maghrib)
Fatwa tentang merayakan malam Nisfu SyaabanBacaan yasin
Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu  Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin  sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin  ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama  dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua  doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin  ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban  yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh  dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar  dunia masa kini tentang sahih batilnya amalan ini.
Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat  pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah  s.a.w.  atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran  dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada  sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan  dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan  memenatkan badan.
Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada  bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan  kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita  digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan  di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di  malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa  bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung   di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah  s.w.t.
Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang  ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah  di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan  membaca Yasin  dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut  tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain  dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah   sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah  ciptaan rakyat tempatan  khusus  untuk amalan penduduk nusantara ini!
‘Solat Sunat’ Nisfu SyaabanFirman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah  sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada  kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”  [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang  menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang  yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]
Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah  (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa  mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana  bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a,  Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan  Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah  padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana  setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah  sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.
Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah  sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka.  Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai  menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada  ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan  mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah  yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang  kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali  kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.
Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini,  begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan  menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang  menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah,  al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.
Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah  menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan  menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh  dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk  tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan.  Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban  kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah  diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa  petikan dari ulasan para alim ulama ini.
Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan  daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur  ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang  fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah),  sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama  yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam  kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if  berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang  terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi  sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat  digunapakai.
Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh  Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim  ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan  di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah  Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu  atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa  yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu  sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an  dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi  mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.
Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai  orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu  kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa)  dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan)  dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada  (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman  kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi  kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]
“Dan (katakanlah wahai Muhammad  kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu  berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim  yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku  berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala  keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar  kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu  serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun,  lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak  disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam  mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka  pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah  engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”  [al-Nisa’ 4:65]
Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya  seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang  perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib  mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini  merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia  dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih  elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari  Akhirat.
Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya  Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara  panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan  Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul,  Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah  bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa  malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan  bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan  kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak  kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah.  ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’  (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki  dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…
Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa  pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa  sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada  Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”
Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin  Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung  riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat  Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).
Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa  apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam  untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya  amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka  mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w:  “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada  urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil  yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar  menjauhinya.
Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam  kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd  bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan  ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam  Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith  Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih  istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu  Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam  Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab,  “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di  tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang  pereka cerita.”
Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id  al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat  seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat  Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali,  Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan  semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan  diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras  yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi,  perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini  juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah  direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui  asal-usulnya).
Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan:  Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis  palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba  malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan  berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).
Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus  rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di  setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi  dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah).  Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali  setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga  adalah maudhu’.
Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu  ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian  ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan  Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah  palsu dan direka-reka.”
Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di  malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu  terhadap Rasulullah s.a.w.”
Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’:  “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak  dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di  bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus  rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela.  Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut  al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan  dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga  tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru  dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa  sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka  tersilap.”
Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin  Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang  membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa  beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan  panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan  tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang  sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah  memadai bagi anda yang mencari kebenaran.
Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat  ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut  pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau  dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada  hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan  tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya  hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas  berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).
Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya):
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah  (R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan  malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang  hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah  sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan  berterusan-berterusan.’”
Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana  malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah  yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling  baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis  Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi Muhammad  s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk  bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya  dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di  mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.
Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam  Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat,  Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya  bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri  melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa  Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan  dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan  dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul  Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah  ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”
Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk  mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama  di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya  ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu  Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda  sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat  Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada  umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada  umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang  paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah  merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.
Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama  yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w  mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama  bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa  menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke  dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat  tertentu adalah bid’ah yang tercela.
Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh  bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam  Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk  amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang  dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah  diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah  tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang  mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab  adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik  sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang  mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang  diada-adakan.”
Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh  umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang  bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha  Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita  Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.
Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahatu-Sheikh Abdul Aziz bin Baz, 2/882 
 

 
1 comment:
Nisfu ertinya setengah atau seperdua dan Sya’ban adalah bulan kelapan dalam perhitungan tahun Hijriyah. Kata Sya’ban berasal dari kata syi’ab (jalan di atas gunung). Dikatakan Sya’ban karena pada bulan itu ditemui berbagai jalan untuk mencapai kebaikan.
Malam Nisfu Sya’ban dimuliakan karena pada malam itu, dua malaikat yakni Raqib dan Atid, yang mencatat amal perbuatan manusia sehari-hari, menyerahkan catatan-catatan amal tersebut kepada Allah SWT. Pada malam itu pula catatan-catatan itu ditukar dengan yang baru. Hal itu sesuai dengan sabda Rasulullah SAW, “ Bulan Sya’ban itu bulan yang biasa dilupakan orang, karena ia lterletak di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkatkan Tuhan segala amalan. Saya mahu diangkatkan amalan saya ketika sedang berpuasa.” ( Riw. An-Nasa’i dari Usamah, sahabat Nabi SAW).
Di samping itu, pada malam Nisfu Sya’ban turun beberapa kebaikan dari Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya yang berbuat baik pada malam tersebut. Kebaikan-kebaikan itu berupa syafaat (pertolongan), maghfirah (ampunan), pembebasan dari azab dan sebagainya. Dengan demikian, malam Nisfu Sya’ban antara lain dinamakan juga malam syafaat, malam maghfirah dan malam pembebasan.
Sehubungan dengan malam Nisfu Sya’ban yang dinamakan juga malam syafaat, Al-Ghazali mengatakan, “Pada malam ke-13 Sya’ban, Allah SWT memberikan kepada hamba-hamba-Nya sepertiga syafaat, pada malam ke-14 diberikan-Nya pula dua pertiga syafaat dan pada malam ke-15 diberikan-Nya syafaat itu penuh. Hanya yang tidak memperoleh syafaat itu ialah orang-orang yang sengaja hendak lari dari pada-Nya sambil berbuat keburukan seperti unta yang lari.”
Malam itu juga disebut malam maghfirah karena pada malam itu Allah SWT menurunkan ampunan-Nya kepada segenap penduduk bumi. Di dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan, “Tatkala datang malam Nisfu Sya’ban, Allah memberikan ampunan-Nya kepada penghuni bumi, kecuali bagi orang yang syirik dan berpaling pada-Nya.” (Riw Ahmad)
Selain itu malam Nisfu Sya’ban disebut malam pembebasan karena pada malam itu Allah SWT membebaskan manusia dari siksa neraka. Sabda Nabi SAW di dalam hadis yang diriwayatkan Ibn Ishak dari Anas bin Malik, “ Wahai Humaira (Asiyah RA) apa yang engkau perbuat pada malam ini? Malam ini adalah malam Nisfu Sya’ban, di mana Allah memberikan kebebasan dari neraka laksana banyaknya bulu kambing Bani Kalb, kecuali (yang tidak dibebaskan) enam, yaitu; orang yang tidak berhenti minum khamr, orang yang mencerca kedua orangtuanya, orang yang membangun tempat zina, orang yang suka menaikkan harga (secara aniaya), petugas cukai (yang tidak jujur), dan tukang fitnah.” Dalam riwayat lain disebutkan tukang pembuat patung atau gambar sebagai ganti petugas cukai.
Post a Comment