Monday, June 25, 2012

Israk dan Mikraj Menuju Allah

Al Fadhil Ustaz Mujahid Yusuf Ar Rawa
Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal maka Islam pasti akan terkubur tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif di mana penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.

 Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif. Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam di mana kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil mahsul negara yang banyak tetapi ia tidak membantu pelaksanaan sistem Islam dan tidak pula membantu untuk umat Islam bersatu dalam menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Kekayaan hanya dibolot oleh pemimpin dan mereka yang dekat dengan pemimpin sedangkan rakyat terus menderita dan ditegah daripada bersuara menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri. Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan kuffar dan munafik. Kita perlu ingat bahawa tiada istilah menang mudah dalam memperjuangkan Islam kerana ia menuntut kepada kesabaran dan istiqamah sebelum datangnya janji kemenangan daripada Allah

No comments: