DULU pernah berdiri seorang pemuda berumur 25 tahun yang gagah berani meredah samudera Atlantik sambil mengangkat panji Islam yang dijunjung tinggi sambil berseru:
“Demi Allah SWT, jika aku mengetahui bahawa di seberang lautan ini ada daratan, nescaya akanku harungi dengan kudaku atas nama Lailahaillah.�Akhirnya Afrika jatuh ke tangan pemuda itu. Dialah Panglima ulung, Uqbah bin Nafi. Tapi kini, berdiri seorang pemuda cukup berani, menjelajah sepanjang jalan di kegelapan malam, bangga menjadi seorang lelaki yang tidak takut mati.
Demi gemuruh tepukan dan sorakan teman yang tidak siuman dan pembebasan diri daripada tekanan kehidupan. Dia berhasil menjadi ‘raja’ jalanan dengan enjin kuda canggih yang boleh menerbangkan nyawa seketika.
Lelaki itu bangga berasa diri hebat tetapi tidak tahu untuk apa kebanggaan itu. Dan sampai bila akan berakhir kepalsuannya. Sampai bila kepuasan itu boleh mengubat hatinya. Pemuda yang merempit semakin ditohmah dan dikeji, mereka semakin berani, siapakah yang boleh memahami jiwa pemberontak ini?
Sebahagian yang lain masih bersekolah dan terbabit pula dengan gangsterisme dan vandalisme. Mengapa ibu bapa, guru, dan kita sendiri sebagai anggota masyarakat tidak mampu membimbing dan mendidik mereka? Di mana silapnya?
Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan pemuda yang keras dan ganas seperti Umar. Bahkan pemuda itu pernah berjanji akan membunuhnya. Dengan apakah Nabi SAW menakluki hati sekeras karang milik Umar?Â
Dan sudah terbukti pemuda berani bangsa Quraisy yang ditakuti akhirnya bertekuk lutut di hadapan Baginda SAW. Apakah rahsia yang tersimpan dalam dakwah dan bimbingan Rasulullah SAW kepada setiap pemuda itu?
Pendekatan psikologi amat diperlukan oleh orang yang gagal dalam hidup. Mereka mengharap bimbingan bukan tohmahan. Bimbingan terbaik adalah melalui penaklukan hati dan perasaan. Pepatah mengatakan, ‘Sesiapa yang mahu menakluk seseorang maka kuasailah hatinya’.
Pemuda bermasalah ini mahu melihat kita dengan wajah yang ramah dan mesra. Wajah yang apabila dipandang mengingatkan mereka kepada Allah Taala. Tiada sedikitpun iras kebencian yang dipamerkan. Sikap mahu bersahabat dan prihatin perlu ditonjolkan.
Mereka sebenarnya dalam keadaan tenat, kehilangan arah dan tidak tahu bagaimana mahu menyelamatkan diri daripada kancah kejahatan. Jika orang yang berada di sisi mereka hanya mahu menghukum dan mengeji saja, mustahil mereka boleh bangkit melainkan dengan ketentuan Allah SWT.
Anak kita di rumah amat dahagakan kasih sayang ikhlas ibu bapanya. Bilakah kali terakhir kita sudi mendengar luahan hati mereka? Atau mereka takut mengutarakan maksud di hati disebabkan gaya kepimpinan kita yang kuku besi?
Jika Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang anak mengenai siapakah yang paling utama untuk dicurahkan kepadanya kasih sayang, maka sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Ibumu, ibumu, ibumu dan ayahmu.�
Bagaimana anak boleh mencurah kasih jika ibu bapanya adalah musuh utamanya. Herdikan dan caci maki menjadi santapan utama setiap hari. Ibu yang tertekan dan ayah yang serba tidak kisah apa yang terjadi di rumah. Anak menjadi mangsanya, keluar daripada rumah membawa hati yang penuh benci dan mahu memberontak. Semuanya bermula dari rumah.
Anak itu lahir dan membesar tanpa iman kerana kedua-dua orang tuanya tidak menyediakan iman sebagai keperluan asas untuk mereka. Ada yang sibuk mencari makanan berkhasiat dan makanan tambahan yang terbaik untuk anak namun tiada tergerak hatinya memilih iman sebagai penyihat hati anak.
Masa pun memainkan peranan penting untuk mengukuhkan hubungan kita dengan mereka. Sudahkah kita sentiasa menjadikan masa untuk bersama anak sebagai keutamaan dalam hidup ini? Mereka perlukan kita sebagai kaunselor dan mentor terbaik, mereka perlukan insan yang paling istimewa dan ikhlas menyayangi. Sayang hingga ke syurga dengan cara mendidik ajaran agama secara sempurna.
Mengapa agama menjadi pilihan yang tidak begitu diminati generasi muda masa kini? Apakah kerana gaya persembahan dakwah yang kurang sesuai dengan kecenderungan pemuda-pemudi kita? Tidak salah jika nilai ajaran agama diserap melalui filem, drama, muzik atau bahan bacaan berunsur hiburan.
Pendekatan dakwah yang fleksibel akan menarik minat remaja. Bukankah Rasul SAW pernah berwasiat kepada seorang sahabatnya ketika mahu menyampaikan Islam: “Permudahkanlah jangan menyusahkan.�
Masalahnya, kini generasi muda mengenal Islam dengan cara ditakut-takutkan yang ini haram, yang itu haram.
1 comment:
Salam semua ..apa yang saya perhatikan ramai anak murid yang datang mendengar kuliah seperti mahaguru tak perlu bawa apa2 nota, buku atau kitab untuk catatan, semakan dan metelaah bersama tuan guru tetapi hanya datang ke masjid bawa telinga saja..betul lah kata Tuan guru zaman dulu anak murid datang belajar bawa kitab..kini yang bawa kitab hanyalah guru..lepas tu siapa yang akan mewarisi ilmu itu...
Post a Comment