Thursday, February 10, 2011

HARAM MENYAMBUT HARI KEKASIH

Khutbah Jumaat 11 Februari 2011: Haram Menyambut Hari Kekasih

“HARAM MENYAMBUT HARI KEKASIH”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama melazimi takwa kepada Allah SWT dengan
menerima syariat Islam sebagai cara hidup di samping tekun mengerjakan
segala perintah-Nya dan menghindari segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan
kita akan dirahmati di dalam kehidupan di dunia yang fana’ ini dan berbahagia di
akhirat yang kekal abadi.

Sidang hadirin yang berbahagia,
Menerima dan mengamalkan Islam sebagai Ad-Diin, iaitu sebagai cara
hidup adalah perlu dilaksanakan oIeh seluruh umat Islam, demi membuktikan
ketulusan dan keyakinan kita kepada ajaran suci yang dibawa oIeh Junjungan
Besar Nabi Muhammad s.a.w. Selari dengan tuntutan ini, Khutbah hari ini akan
memperkatakan perihal: "Haram Menyambut Hari Kekasih".
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan juga Jawatankuasa Fatwa
Negeri Selangor telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine 's Day
adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oIeh Islam. Roh perayaan tersebut
mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya juga bercampur dengan
perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oIeh Islam.
Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi,

Hari Kekasih juga digelar sebagai: “Valentine 's Day” yang disambut pada
14 Februari setiap tahun adalah sambutan yang dinanti-nantikan kebanyakan
remaja bagi menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Ia disambut
dengan pelbagai cara dan acara bermula dengan kiriman kad dan bunga hingga
parti tari-menari. Malah ada yang menyambutnya dengan pertemuan dan
berakhir dengan perzinaan demi membuktikan cinta dan kasih sayang mereka.
Jelas dan nyata sekali bahawa sambutan ini bukan dari ajaran Islam yang suci,
malah melanggar syariat dan bertentangan dengan tatasusila fitrah murni
manusia.Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat di kalangan remaja dan
pasangan Islam di negara ini, turut meraikan "Hari Valentine" ini. Mereka
meraikannya kerana ingin bersukaria dan terikut-ikut dengan budaya ini tanpa
mengetahui sejarahnya.
Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa tidak ada istilah “Hari
Kekasih” atau “Hari Valentine” dalam Islam. Justeru, orang Islam tidak boleh
menyambutnya, menyertainya dan merayakannya. Islam memang
menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi
untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang
bukan mahram perlu melalui saluran yang dibenarkan oIeh syarak. Bukan
dengan jalan yang mendorong atau merangsang kepada kemungkaran dan
maksiat.Islam adalah Agama Fitrah yang praktikal, bukan menyekat kebebasan
tanpa sebab dan bukan membiarkan umatnya bebas tanpa pedoman. Islam
adalah agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna untuk
umatnya. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang antara umatnya.
Malah terlalu banyak ayat Al-Quran dan Hadith menyatakan hikmah berkasih
sayang.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal ayat 63:

"Dan Dialah yang menjadikan hati mereka mesra antara satu sama lain.
Seandainya engkau membelanjakan segala (kekayaan) yang ada di bumi,
nescaya engkau tidak akan dapat menautkan kemesraan antara hati mereka,
tetapi Allah telah membibitkan kemesraan antara (hati) mereka. Sesungguhnya
Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana".
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Sumber Catholic Encyclopedia menjelaskan bahawa Valentine adalah
nama seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama itu di Rome
sehingga dia ditangkap dan diseksa dalam penjara. Selama dipenjara, ia tetap
mengajar dan menyebarkan agama itu di kalangan banduan dan membantu
tawanan melepaskan diri dari penjara. Dikatakan juga bahawa ketika dalam
penjara, dia jatuh cinta dengan gadis, anak salah seorang Pegawai Penjara. Di
akhir hayatnya sebelum dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta
kepada gadis itu yang bertandatangan “Daripada Valentinemu”. Maka semenjak
itu orang Kristian mengambil sempena hari 14 Februari untuk meraikan hari
kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka, Valentine ini.

Kaum Muslimin yang berbahagia,
Jelaslah bahawa Sambutan Hari Kekasih ini merujuk kepada kisah tersebut
dan sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan
kerasulan Muhammad s.a.w., wajarkah kita merayakan hari kekasih ini?,
patutkah kita mengambil peristiwa ini untuk disambut dan diraikan?. Alangkah
jahilnya kita sehingga tidak dapat lagi membezakan antara ajaran agama kita
dengan agama lain. Benarlah kenyataan hadith daripada Abu Hurairah, bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Demi Allah yang nyawaku di dalam genggaman-Nya, pasti kamu akan
turut jejak langkah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal,
sehasta demi sehasta, sedepa demi sedepa, sehingga kamu akan turuti mereka
walaupun mereka masuk ke dalam lubang dhab. Lantaran itu, sahabat bertanya:
"Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?" Baginda menjawab: “Siapa lagi kalau
bukan mereka?”.
Hadirin sidang jemaah sekalian,
Apa yang lebih menyedihkan akibat dari merayakan sambutan hari-hari
seperti ini remaja Islam semakin liar dan semakin ramai yang terjebak dengan
gejala sosial serta keruntuhan moral. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara
bahawa sejak tahun 2000 hingga 2008 sebanyak 257,411 Sijil Kelahiran telah
didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa. Rekod ini menggambarkan betapa
ramai anak-anak yang tidak sah taraf atau lahir secara luar nikah untuk tempoh 9
tahun tersebut.
Jumlah yang begitu ramai untuk tempoh kurang 10 tahun ini sewajarnya
mengundang rasa bimbang dan gerun dengan masa depan Generasi Islam.

Jumlah itu membawa purata sebanyak 28,601 orang bayi setiap tahun. Sedarlah!
segalanya ini bermula dengan gaya hidup barat yang songsang, yang telah
diterima dalam masyarakat kita.
Justeru, setiap orang Islam khasnya golongan remaja seharusnya
meninggalkan budaya "Hari Kekasih" yang hanya bertujuan merosakkan akhlak
masyarakat Islam. Ingatlah sesungguhnya Yahudi dan Nasrani akan terus
berusaha sedaya-upaya untuk memperdaya umat Islam supaya mengikut
telunjuk dan kehendak mereka. Pelbagai cara dan jalan yang mereka lakukan
untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian umat Islam.
Malangnya, masih ada umat Islam yang tidak menyedari hakikat ini. Maka
,ramai dari kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan adat dan budaya serta
cara hidup mereka. Kononnya, menurut peredaran zaman, sekalipun yang diikuti
itu bertentangan dengan ajaran Islam dan budi pekerti mulia. Harus diingat,
meniru budaya asing, terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui
latarbelakang perayaan itu, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam
kepada kehancuran. Perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak umat
Islam, bahkah boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka.
OIeh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah mengikut landasan Islam yang
sebenar. Bukankah lebih baik kita mengamalkan adat dan budaya kita yang
sopan selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita renung
beberapa perkara penting sebagai rumusan dan peringatan bagi kita semua,
antaranya:
Pertama : Hari kekasih adalah sambutan penganut Kristian yang
mengenang hari kematian seorang paderi mereka. Tiada
sambutan ini dalam ajaran Islam.
Kedua : Umat Islam adalah dilarang sama sekali menyambut Hari
Kekasih ini, termasuklah memberi sokongan, mempromosikan,
mengajarkan dan menyebarkan apa-apa sambutan yang
berkaitan dengannya.
Ketiga : Umat Islam digalakkan berkasih sayang sesama manusia
sepanjang masa tanpa membataskannya pada hari-hari
tertentu sahaja.
Keempat : Pihak Media dan pengamal Laman Sosial adalah diminta untuk
tidak mempromosikan Sambutan Hari Kekasih ini walau dalam
apa bentuk sekalipun.
"Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka
kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka
(yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya
petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Sesungguhnya jika
engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang
memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah
engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan
memberi pertolongan kepadamu. Orang yang Kami berikan kitab kepada
mereka, sedangkan mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak
mengubah dan memutar-belitkan maksudnya), mereka itulah orang yang
beriman kepada-Nya dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah
orang yang rugi”.

No comments: