Khutbah Jumaat 25 Februari 2011: Salah Faham Terhadap Islam
Jabatan Agama Islam Selangor
“SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang
dikasihi sekalian, marilah kita bertakwa kepada Allah SWT. dengan
melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT. ialah orang yang
paling bertakwa. Kerana takwa merupakan penentu martabat kita di sisi Allah
SWT. Istiqamahlah dalam mengamalkan segala perintah Allah SWT dan ajaran
Rasulullah s.a.w. Dengan mentaati Allah dan Rasul-Nya, insya-Allah kita akan
disayangi dan dijauhkan dari mala-petaka serta beroleh kejayaan sama ada di
dunia mahu pun di akhirat nanti.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita menghayati hadith daripada Abu Hurairah r.a., bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing ) dan ia akan kembali
dagang ( asing ) pula, maka beruntunglah orang-orang yang asing".
(Riwayat Muslim).
Hadith ini jelas menyatakan bahawa Islam yang bermula dengan dagang
( asing ) akan menjadi dagang di akhir zaman nanti. Sejarah telah menukilkan
bahawa perkembangan Islam di peringkat awal juga asing. Islam sentiasa
menghadapi kesukaran dan mendapat tentangan yang berpanjangan. Berkat
ketabahan, kekentalan, kegigihan dan keyakinan para pendakwah atau da’ie
serta dengan izin Allah Islam telah berkembang sehingga menjadi kuasa
dunia yang hebat pada era kegemilangannya. Islam telah berjaya melahirkan
insan yang berperibadi mulia, mempunyai jati diri unggul dan berwibawa. Ketika
itu wujud keadilan, kejujuran, ketelusan, ketenteraman, keharmonian, kedamaian
dan ketenangan. Namun selaku manusia mereka juga menghadapi pelbagai
ujian, godaan nafsu dan kelemahan diri di samping serangan fitnah, khianat dan
dengki sesama sendiri sehingga umat Islam jatuh, tamadun Islam runtuh
sehinggalah sekarang.
Namun Allah SWT tetap melahirkan sekelompok insan mulia yang sentiasa
istiqamah untuk membangun ummah berdasarkan syariatnya. Golongan ini
sentiasa gigih menyebarkan Islam supaya menjadi ikutan dan amalan manusia
untuk mencapai kejayaan yang diredhai Allah SWT. Pada masa yang sama
wujud pula segolongan manusia yang menghadapi krisis nilai terhadap agama.
Golongan ini bertanya; "Adakah agama merupakan satu keperluan? atau agama
hanya satu kecenderungan peribadi. Adakah ini bermaksud siapa suka boleh
beragama dan siapa tidak suka boleh jadi atheis atau ikut mana-mana agama
kerana semuanya sama, dan ada banyak jalan ke syurga!.
Dalam situasi krisis nilai inilah golongan yang ingin mengembalikan Islam
ke Persada Keagungannya menghadapi segelintir umat Islam yang meragui,
mempertikai, meremeh dan buruk sangka terhadap orang Islam. Pada masa
yang sama mereka juga menghadapi orang kafir yang benci kepada Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Justeru, setiap individu yang ingin mempertahan dan setia dengan Islam
pasti akan mengharungi ujian, rintangan, halangan, cemuhan, ejekan, cacian,
makian dari mereka yang memang tidak redha dengan Islam. Manakala orang
yang beramal secara sambil-lewa terhadap Islam akan mendapat sanjungan
atau kurang menghadapi tekanan. Persoalannya apakah mereka yang tidak
yakin dan malahan benci terhadap Islam ini tanpa disedari rupa-rupanya telah
bersekongkol dengan Yahudi, Nasrani dan Puak Kafir lain sebagaimana Firman
Allah SWT dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 120;
"Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka
kepada Engkau (wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut millah ( agama )
mereka ( yang telah terpesong itu )".
Oleh yang demikian, marilah kita tanpa mengira pegangan parti politik dan
kedudukan, supaya benar-benar menghayati maksud ayat tadi yang jelas
menyatakan bahawa orang kafir secara umumnya, Yahudi dan Nasrani
khususnya tidak akan redha jika Islam kembali mengungguli kepimpinan ummah.
Mereka akan mengadakan pelbagai alasan dan melemparkan pelbagai tuduhan
terhadap Islam supaya ianya diragui serta seterusnya dijauhi. Mereka turut
mengatakan; "Apakah agama yang membenarkan perbezaan taraf antara lelaki
dan wanita, mengenakan hukum rejam, kerat tangan dan sebat masih relevan
dengan zaman ini?".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Begitulah Islam akan sentiasa dibenci. Inilah sunnah Islam. Tidak
hairanlah jika golongan yang tidak meredhai Islam ini sentiasa menganjur serta
melaksanakan pelbagai aktiviti yang boleh melalai, melekakan dan merosakkan
iman serta akidah umat Islam. Mereka akan melakukan apa sahaja gangguan,
sekatan, tuduhan, ancaman dan kekacauan semata-mata untuk memastikan
supaya ada di kalangan umat Islam yang keliru, terpesong, menyeleweng, raguragu
dan tidak yakin dengan keupayaan Islam dalam menyelesaikan kemelut
kehidupan umat manusia.
Hasil usaha yang gigih musuh-musuh Islam ini mereka telah berjaya
menarik sebahagian penganut Islam untuk meninggalkan Islam. Mereka
menganggap Islam tiada kaitan langsung dalam mengendalikan urusan dunia.
Lebih menyedihkan lagi ialah penganut Islam yang berjaya dipesong dan
dikelirukan ini kelihatan taat dalam melaksanakan ibadah; seperti solat, puasa,
haji dan zakat. Ada ketikanya mereka memetik ayat Al-Quran dan hadith
Rasulullah s.a.w. apabila berhujjah, tetapi meninggalkan syariat Islam ketika
mengendalikan urusan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Bukankah sebahagian besar umat Islam telah mempelajari Islam sejak
kecil; dari Tadika, Sekolah Rendah, Menengah dan Pusat Pengajian Tinggi.
Sama ada di masjid, surau dan di tempat-tempat turut mengadakan Kuliah-kuliah
Agama. Para Pendakwah sentiasa memberi ingatan. Ibu bapa juga telah
memberi teguran. Anggota masyarakat turut memainkan peranan. Sedangkan
kecelaruan masih berterusan. Inilah isu yang patut difikir dan perlu diselesaikan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mereka yang keliru ini menganggap agama semata-mata sebagai urusan
peribadatan. Sebab itulah agama mesti dipisahkan daripada amalan dunia.
Mereka inilah golongan yang mengatakan judi dan arak dibolehkan apabila
dilesenkan atau rasuah memang haram, tetapi kalau orang memberi dengan
tidak diminta, ambil sahajalah. Seterusnya segala pesta, keramaian dan
kegiatan tetap diteruskan walaupun ia mengandungi unsur yang bertentangan
dengan syarak. Segala adat terus dilaksana walaupun berunsur khurafat dan
amalan memuja sehingga menyelewengkan akidah.
Mengapa keadaan ini masih wujud?. Apakah segala Sistem Pembelajaran,
maklumat dan penyampaian selama ini tidak berkesan, tersilap atau tidak
mencapai sasarannya?. Atau Islam hanya disampaikan secara sambil-lewa
tanpa menekankan bahawa ia adalah satu cara hidup yang sempurna!.
Mengapa masih terdapat di kalangan umat Islam yang kuat berpegang serta
yakin kepada panduan ciptaan manusia berbanding panduan yang diturunkan
oIeh Allah SWT dan telah disampaikan oIeh Rasulullah s.a.w.?. Sedangkan
pada masa yang sama mereka mengakui kesempurnaan ajaran Allah SWT. Ini
yang dikatakan salah faham terhadap Islam, keliru, terpesong, sekular atau
sesat. Wal’iyazu billahi.
Salah faham terhadap Islam ini wujud kerana pada masa yang sama
segala kebaikan berlaku, pelbagai keburukan juga terjadi. Kebaikan dan
kejahatan tadi dilakukan oIeh orang yang sama, penganjur yang sama dan
penguasa yang sama. Pada satu waktu mereka adakan Majlis Tahlil, Bacaan
Yasin dan Doa Selamat, tetapi selepas itu mereka juga yang menganjurkan
Majlis Maksiat yang mendedahkan aurat atau seseorang pada suatu ketika
melakukan kebaikan tetapi pada ketika lain berada di tempat yang ada unsurunsur
kemungkaran.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Lebih menyedihkan lagi bila seseorang pada satu-satu waktu amat
bercakap tentang kebaikan dan kesempurnaan peraturan Islam tetapi pada
masa yang sama ia juga sedang mengingkari peraturan Allah. Mereka mampu
menyatakan bahawa syariat Islam itu baik dan sempurna, tetapi pada masa yang
sama ia menyatakan riba itu harus kerana maslahah ‘aammah. Mereka berhujjah
kalau tak terlibat dengan riba bagaimana nak dapat pinjaman, nak dapat modal
dan meneruskan kegiatan, ini sangat mengelirukan.
Di samping itu tidak kurang juga ada di antara umat Islam yang sanggup
menyatakan;
"Tak apalah kita melakukan sedikit dosa atau sekali-sekala melanggar
syariat dengan sengaja kerana Allah memahami kita. Ada juga yang mengungkit
selama ini telah banyak kebaikan yang telah mereka lakukan, maka bolehlah
sesekali dilanggar perintah Allah, lepas itu mohonlah ampun dan bertaubat,
kerana Allah Maha pengampun. Astaghfirullah, dengan sengaja dan sedar masih
ada segelintir umat Islam yang berfikiran sedemikian. sedangkan Islam perlu
dihayati, diamal dan dianuti secara menyeluruh meliputi zahir dan batin. Selagi
masih ada segelintir umat Islam yang keliru, memisahkan agama dengan urusan
kehidupan dan menyanjung tinggi segala pemikiran yang salah, tidak kira datang
dari barat, timur atau mana-mana sahaja maka selama itulah umat Islam akan
berterusan berhadapan dengan situasi sebegini.
Maka segala salah faham, kekeliruan, kekaburan, ketidak jelasan tentang
penghayatan syariat Islam yang syumul ini perlu diperbetul dan diperangi habishabisan.
Setiap insan muslim yang mencintai kebenaran dan mahu melihat
Syariat Islam terlaksana mesti sanggup melakukan jihad yang berterusan ke
arah memberikan teguran, nasihat dan pandangan dengan penuh hikmah dan
bijaksana. Contohilah kehebatan peribadi Rasulullah s.a.w. serta para sahabat
Baginda dalam mengamal dan mempertahankan segala syariat Allah SWT.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Oleh itu, marilah kita kembali menghayati, melaksana dan mengamalkan
segala Tuntutan Islam sebenar berpandukan kepada Quran dan Sunnah. Insya-
Allah, kita akan selamat dan sentiasa dibimbing oIeh Allah SWT ke jalan yang
diredhai-Nya.
"Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (di
tempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oIeh
Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, Para Siddiqin, Para Syuhada’ (orang yang
mati syahid) dan orang yang soleh; serta mereka itulah teman yang sebaikbaiknya".
"Yang demikian itu adalah kurniaan daripada Allah. Cukuplah Allah
yang Maha Mengetahui (akan balasan pahala-Nya)".
No comments:
Post a Comment