Friday, March 25, 2011

TUNTUTAN AMAR MAARUF DAN NAHI MUNKAR”

“TUNTUTAN AMAR MAARUF DAN NAHI
MUNKAR”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah bersama kita hayati seruan taqwa yang setiap minggu kita dengari,
dengan melaksanakan segala perintah Allah dengan penuh sabar dan
meninggalkan segala yang ditegah yang berupa maksiat dan kemungkaran.
Mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan tajuk ”Tuntutan Amar Makruf
Nahi Mungkar”. Satu tanggungjawab yang perlu disedari, difahami dan
dilaksanakan oleh setiap individu muslim demi menjamin kesejahteraan diri,
masyarakat dan umat sejagat.

Secara ringkasnya boleh kita rumuskan bahawa Makruf bermaksud
kebaikan dan ketaatan manakala Mungkar bermaksud kejahatan dan
kemaksiatan. Maka ungkapan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini bermaksud
”Menyuruh melakukan kebaikan dan Mencegah Kemungkaran.”
Tanggungjawab melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini meliputi
tanggungjawab setiap individu muslim mengikut tahap tanggungjawab yang
diamanahkan ke atasnya. Hakikat ini dinyatakan berdasarkan sebuah hadits
yang masyhur dari Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
”Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya
dengan tangannya, Jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan
lidahnya, jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan hatinya. Namun
yang demikian ini adalah selemah-lemah iman.”
(Riwayat Muslim)
Untuk melaksanakan tugas yang berat ini, hendaklah dijalankan secara
berjemaah atau berkelompok dalam masyarakat Islam. Tuntutan Amar Makruf
dan Nahi Mungkar ini wajib dilaksanakan .Ini jelas dinyatakan dalam Surah Ali
Imran ayat 104:


وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ
هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٠٤)
”Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah)
kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala
perkara Yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).
dan mereka Yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Realiti kehidupan hari ini menunjukkan bahawa maksiat dan kemungkaran
begitu berleluasa di dalam masyarakat kita. Setakat manakah kita mampu
menegur kemaksiatan yang berlaku di depan mata? Lazimnya tuntutan
melaksanakan Amar makruf dan Nahi Mungkar pula kian dipinggirkan.
Kita lebih bersikap pasif dengan dosa dan kemungkaran seolah-olah sudah
selesa mengamalkan cara hidup sendiri-sendiri atau berpegang dengan slogan
hidup ”Apa nak kisah? Kubur masing-masing!”.
Kita lupa bahawa sikap tidak peduli ini dan kegagalan melaksanakan
tuntutan Amar Makruf dan Nahi Mungkar sebenarnya mengundang bencana
dalam hidup kita, menjemput kemurkaan Allah yang Maha Keras seksaan-Nya.
Marilah kita renungi dan mengambil iktibar akibat dan bencana yang berlaku
pada kumpulan umat manusia yang meninggalkan tuntutan ini. Antaranya:-
Pertama : Laknat Allah dan Kemurkaan-Nya.
Insafilah kisah Bani Israel yang dilaknat oleh Allah seperti yang
dirakamkan dalam Surah Al-Maidah ayat 78-79;

لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ‌ۚ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨) ڪَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنڪَرٍ۬ فَعَلُوهُ‌ۚ لَبِئۡسَ مَا ڪَانُواْ يَفۡعَلُونَ (٧٩)
”Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat melalui lidah (doa) Nabi Daud
dan Nabi Isa Ibni Maryam. Demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan
selalu melampaui batas. Mereka antara satu sama lain tidak pernah mencegah
tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruka apa
Yang mereka telah lakukan.”
Begitulah ketentuan Allah yang digambarkan di dalam ayat ini.
Jika tiada lagi usaha mencegah kemungkaran dalam sesebuah
masyarakat, Allah tidak lagi memandang mereka dengan
pandangan rahmat-Nya bahkan melaknati mereka di atas
kelalaian dan keingkaran yang mereka kerjakan.
Kedua : Tidak mendapat pengiktirafan sebagai muslim sebenar.
Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A bahawa
Rasulullah S.A.W bersabda :
”Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan
menghormati orang tua dan tidak pula menyuruh kepada kebaikan dan
mencegah kemungkaran.”
(Riwayat At-Tirmizi)
Ketiga : Hilang kedamaian hidup dan dikuasai penguasa yang zalim.
Suasana ini sudah kita saksikan di serata dunia dan wajar kita
jadikan pengajaran.
Maka wajar kita mengambil peringatan agar sentiasa
mempertahan dan mengajak kepada kebenaran walaupun
terpaksa menghadapi tentangan daripada masyarakat.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud;
”Berkatalah benar walau dihadapan penguasa yang zalim”.
Keempat : Berlaku malapetaka dan doa tidak lagi diperkenankan.
Hakikat ini pernah disebut dalah sebuah hadis daripada
Hudzaifah bin Al-Yaman bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;
وDemi jiwaku ditangan-Nya, hendaklah kamu terus menyuruh kepada
kebaikan dan mencegah kemungkaran atau jika tidak dibimbangi Allah akan
mengutuskan satu azab ke atas kamu kerananya. Kemudian jika kamu
berdoa kepada-Nya, tidak pula akan diperkenankan doamu itu.”
(Riwayat At-Tirmizi)
Dunia hari ini telah membuktikan berlakunya amaran baginda Rasulullah
S.A.W ini. Pelbagai malapetaka telah berlaku di sekeliling kita. Apabila tiada lagi
usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, kemaksiatan
dan dosa akan meliputi seluruh kehidupan manusia. Maka tiada lagi kebaikan,
ketaatan yang mengundang rahmat dan keredhaan Allah SWT. Suasana
masyarakat Islam sebegini hina dan rendah mertabatnya tentu sahaja layak
menjemput kemurkaan Allah yang Maha Perkasa.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita kembali mengamalkan tuntutan Amal Makruf dan Nahi
Mungkar yang selama ini telah diabaikan. Sebagai contoh, membiarkan gejala
maksiat dan perbuatan sumbang yang berlaku di depan mata kita tanpa memberi
teguran dan nasihat. Kewajipan ini jika diabaikan mengundang akibat yang
besar. Janganlah kita mengamalkan hidup bagai terkurung dalam sangkar,
sekadar melihat kemungkaran dari dalam tanpa bertindak keluar. Ingatlah sikap
pasif memandang remeh terhadap dosa perlu kita tukar, berubah kepada peka
dan sensitif melihat hak Allah dan agama dicabar. Semoga kita tergolong dari
kalangan hamba-Nya yang soleh dan Abrar.
Kesimpulannya, marilah kita semua sama-sama berganding bahu
mencegah perbuatan mungkar mengikut kemampuan dan kuasa yang ada.
Penglibatan ini juga merangkumi semua golongan seperti JKKK, pegawai masjid,
pegawai-pegawai, guru-guru dan ibubapa yang bertindak atas nama Islam.
Di samping itu tugas berdakwah hendaklah disuburkan di kalangan umat
Islam sebagai tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam.
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk
umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan
melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula
beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman); Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi
dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu
menjadi baik bagi mereka, (tetapi) antara mereka ada yang beriman, dan
kebanyakan mereka orang yang fasik”. (Ali-Imran: 110)
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ‌ۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا لَّهُم‌ۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ (١١٠)

No comments: