"Pakaian Remaja?" jika kita dengar atau baca   perkataan tersebut,  secara automatik kita akan terbayang cara berpakaian  remaja  kita  sekarang terutama pakaian remaja perempuan. Jenis pakaian  yang  paling  awal tergambar di minda kita adalah pakaian mereka yang  seksi,  ketat,  terlondeh sana sini dan dedah sana sini.
Tidak  dinafikan pakaian demikian juga dikenakan oleh belia dan orang   dewasa,  namun tumpuan kita kini adalah kepada golongan remaja yang   bakal  menerajui negara.
Cara berpakaian juga mencerminkan akhlak,  jadi ia amat penting untuk   dibincangkan bagi menjaga akhlak remaja kita.  Di dalam Al-Quran,  Allah  berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 59  tafsirnya :
يَـٰٓأَيُّہَا  ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزۡوَٲجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ  يُدۡنِينَ عَلَيۡہِنَّ مِن جَلَـٰبِيبِهِنَّۚ ذَٲلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن  يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورً۬ا رَّحِيمً۬ا (٥٩)   
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak  perempuanmu   serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan  pakaiannya bagi   menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara  demikian lebih   sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang  baik) maka dengan   ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah  Maha Pengampun   lagi Maha Mengasihi."
Dari ayat di atas tadi,  jelas pada kita   bahawa pakaian sebilangan remaja kita kini bertentangan  dengan suruhan   dan perintah Allah. Namun, mereka tidak menghiraukan yang  demikian   asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan  mengikut   gaya fesyen terkini. Selain pakaian yang jelas menjolok mata,  ramai   juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H', HALAL TAPI  HARAM.   Ini amat ketara jika kita perhatikan sekeliling kita, ramai juga  remaja   kita yang bertudung.
Apabila sekali lihat, memang nampak   mereka  menutup aurat, namun jika diperhatikan ramai di kalangan mereka   yang  berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian   lengan  'three quarter' (tiga perempat) paling glamor di kalangan  remaja  yang  bertudung. Suatu ketika dulu, pakaian demikian begitu  mengaibkan  dan  memalukan, namun kini seolah-olah pakaian yang  dialu-alukan. Mana   tidaknya, pakaian sedemikian banyak 'bersangkutan'  dan 'berampaian' di   gedung-gedung perniagaan di negara kita ini.
Pelbagai  fesyen baru   tumbuh bagai cendawan. Terdapat juga pakaian bersaiz  kecil sehingga   tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu  sukar untuk   membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja. Jika  kita kupas '2H'   memang banyak pengertiannya. Namun satu sahaja lagi  yang akan kita   perkatakan di sini, pakaian tradisi kita yang telah  dieksploitasikan.   Baju kurang misalnya, pakaian rasmi negara kita yang  begitu sopan   dipandang mata, namun yang menyedihkan kainnya telah  dibelah sehingga   menampakkan betis ketika si pemakai melangkah.
Trend  'punk',   'funky', 'rappers', 'gengster', 'skinhead', 'grunge' dan  sebagainya juga   mempunyai cara pemakaian mereka yang tersendiri. Trend  demikian bukan   hanya di kalangan kaum lelaki malah kaum perempuan.  Walaupun pakaian   remaja lelaki tidak begitu menimbulkan masalah dalam  mendedahkan aurat,   namun ia tidak sopan malah menjatuhkan maruah  budaya negara kita. Ini   kerana pakaian tersebut melambangkan kelemahan  pegangan remaja kita   terhadap agama dan budaya bangsa.
Bangsa  asing mentertawakan akan   kebodohan dan kelemahan remaja kita kerana  dengan mudah mereka membeli   dan mempengaruhi minda remaja kita.  Sebilangan dari remaja kita juga,   'lupa' atau 'tidak tahu' akan  jantina mereka sendiri sehingga si lelaki   memakai pakaian perempuan,  sementara perempuan pula sebaliknya,  sungguh  kasihan. Golongan seperti  ini adalah dilaknat oleh Allah. Ini  jelas  dinyatakan dalam hadis Nabi  Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi   Wasallam yang bermaksud,
لعن الله المتشبهين من الرجال باالنساء والمتشبهات من النساء باالرجال 
"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki  yang  menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."
Dengan    sedikit contoh pakaian di atas, jelas pada kita bahawa cara  berpakaian   sebahagian remaja kita bertentangan dengan cara pakaian  budaya Melayu   sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang  digariskan Islam,   agama rasmi negara kita. Para remaja begitu ghairah  untuk mengikut   budaya asing yang dianggap moden dan maju. Mereka takut  dan terlalu ego   untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno dan  berfikiran sempit.
Islam   memang menggalakkan kita untuk terus  memajukan diri dan bukanlah   menjadi kesalahan jika kita mengikut  negara-negara Barat tersebut selagi   ia tidak bertentangan dengan  tuntutan Islam yang suci. Namun dalam hal   pakaian, tidak sesuai untuk  kita mengikut mereka, ini kerana pakaian   mereka yang jelas  bertentangan dengan Islam dan tidak sesuai dengan cara   hidup negara  kita yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja (MIB).   Sebagai remaja  Melayu Muslim, kita tidak perlu mengikut budaya asing   dalam cara  berpakaian.
Pakaian kita sudah cukup sempurna dan   sopan  dipandang. Berbaju kurung bagi kaum perempuan, manakala berbaju   'MIB'  dan Cara Melayu bagi lelaki. Namun tidak semua pakaian tradisi   tidak  sesuai untuk agama Islam. Jika kita lihat pakaian tradisi Melayu,   baju  kebaya zaman dahulu contohnya, ketat dan antaranya dibuat dari  kain   kasa sehingga menampakkan kulit si pemakainya. Pun begitu, pakaian    tersebut telah diperbaiki dengan rekaan pakaian kebaya labuh. Jadi  kita   bolehlah mengenakan pakaian tersebut.
Di sini tidak  bermaksud   agar remaja kita sentiasa mengenakan pakaian demikian, remaja  kita  boleh  juga memakai mana-mana pakaian yang bersesuaian dengan  situasi  dan  tempat. Bersukan contohnya, lelaki hendaklah memakai  pakaian sukan  dan  berseluar panjang, manakala perempuan bertudung,  berseluar  panjang dan  berbaju lengan panjang. Begitu juga ketika  berjalan  bersiar-siar dan  makan angin. Walaupun tanpa memakai baju  kurung, MIB  atau Cara Melayu,  remaja kita boleh juga memakai kemeja dan  'blaus'  berlengan panjang,  labuh dan tidak menampakkan kulit serta  bertudung  bagi kaum hawa.
Sebenarnya,  tiada budaya yang tertentu  yang  mesti diikut dalam berpakaian. Kita  boleh mengikut budaya kita  sendiri  atau budaya asing seperti budaya Arab  dengan memakai jubah atau   budaya Cina dan sebagainya selagi ia sopan  dan memenuhi garis pandu   yang ditetapkan Islam. Remaja itu sendiri yang  tahu pakaian yang sesuai   dengan selera mereka. Tepuk dada tanya selera!  Paling penting hukum   Islam jangan dipermainkan.
Oleh :Abu Ridhwan An Nadwi

No comments:
Post a Comment