Wednesday, February 22, 2012

Sifat Takabbur

Oleh : PROF Dr.Habib Maksom (UPSI)
Menurut Imam al-Ghazali lagi, takabbur ialah sebuah sifat dalam jiwa yang timbul daripada memandang diri sendiri. Sifat itu pada kenyataannya menimbulkan sesuatu pengaruh. Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya’nya telah membahagikan takabburkepada tiga bahagian:
1)Jika kesombongan itu terhadap Allah, iaitu tidak tunduk kepada perintah-Nya, maka itulah kemusyrikan yang sempurna.
2)Jika kesombongan itu kepada para utusan, iaitu tidak tunduk kepada orang seperti mereka, maka itu juga kemusyrikan yang sempurna.
3)Kesombongan kepada orang lain agar mereka tunduk dan menghormati. Ini juga menentang kebesaran Allah, sebab tidak seorang pun selain Allah yang layak ditaati.

Secara ringkasnya, dapat dihimpunkan perkara-perkara yang menyebabkan sifat takabbur kepada tujuh:
1. Ilmu
Dapat kita ketahui bahawa orang yang berilmu dihormati oleh orang ramai. Maka tidak menghairankan sekiranya orang yang alim itu berasa takabbur dengan ilmunya, berasa besar diri dengan ilmunya, dan memandang rendah kepada orang lain terutama kepada mereka yang kurang ilmunya. Sebagai orang yang berilmu mereka berasa bahawa orang lain perlu sentiasa mengagungkannya, dan tiada siapa boleh menegur dan memberi nasihat kepadanya. Dia juga mungkin melihat orang lain yang kurang ilmunya sebagai manusia yang rendah tarafnya berbanding dirinya. Dia juga mungkin berasa bahawa dirinya sahaja yang akan selamat di sisi Allah manakala mereka yang lain akan binasa. Oleh kerana itu, kita mendapati bahawa ilmu itu boleh menjadi punca terbesar kepada sifat takabbur. Oleh kerana itu, Allah S.W.T. telah mengingatkan para nabi-Nya dengan firman-Nya:
Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.” (Surah al-Syu‘ara: 215).
Selain itu, tidak dapat tidak mereka yang berilmu itu beramal dengan ilmunya. Jadi adalah menghairankan sekiranya mereka yang berilmu itu berperangai dengan sikaptakabbur. Tidakkah mereka pernah mendengar sabda Nabi s.a.w. yang mulia:
Bahawasanya yang terlebih sangat manusia seksa pada hari kiamat itu orang alim yang tiada memberi manfaat akan dia ilmunya” (yakni tiada mengamalkan dengan ilmunya). (Hadith riwayat Thabrani dan Baihaqi).
Maka sewajarnya mereka yang berilmu merupakan orang yang paling bersungguh-sungguh menjauhi sikap takabbur.
2. Amal Ibadat
Ada di kalangan ahli ibadat memiliki sifat takabbur disebabkan banyaknya amal ibadat yang dilakukannya. Mereka ini berasa merekalah sebaik-baik manusia yang paling layak mendapat tilikan rahmat daripada Allah. Mereka ini tidak dapat memanfaatkan amal ibadah yang dilakukan untuk menempa sifat-sifat mulia dan menjauhi sifat takabbur. Ada juga antara mereka yang apabila sudah terlalu takjub dengan amal ibadat mereka yang banyak berasa bahawa manusia lain yang kurang amal ibadatnya akan binasa. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “
Jika kamu mendengar seorang mengatakan semua orang binasa, maka dialah yang lebih binasa.”
Ada juga di kalangan mereka yang berasa bahawa amal ibadat mereka semata-mata akan membawa mereka kepada rahmat dan syurga Allah. Mereka terlupa bahawa amal ibadat mereka itu bukan penentu utama untuk masuk syurga, tetapi sebenarnya ia bergantung kepada rahmat dan belas kasihan Allah. Cukuplah sekiranya kita dapat mengambil iktibar daripada sabda Nabi Muhammad s.a.w.:
Tiada masuk syurga orang yang ada pada hatinya setimbang semut kecil daripada biji sawi daripada takabbur.” (Hadith riwayat Muslim).
Ini tidak bermaksud bahawa kita boleh meninggalkan amal ibadat dan tidak bersungguh-sungguh melakukannya. Tetapi hendaklah kita mengelakkan diri daripada terpedaya dengan amal ibadat kita sendiri.
3. Nasab Keturunan
Ada sesetengah manusia bersifat takabbur disebabkan oleh nasab keturunannya. Dia bermegah-megah dengan kemulian keturunannya dan memandang rendah orang lain yang tidak mempunyai nasab keturunan sepertinya. Mereka berasa keturunannya yang terdiri daripada salihin, ‘amilin, hartawan, bangsawan dan sebagainya menyebabkan mereka menjadi manusia yang mulia. Dari Abu Dhar r.a. katanya:
“Pada suatu hari aku bercakap-cakap dengan seorang, kataku: “Wahai anak si hitam.” Rasulullah s.a.w. segera menegur, sabdanya: “Wahai Abu Dhar! Tidak ada kelebihannya bagi anak si putih ke atas anak si hitam.”
Mendengar teguran itu, Abu Dhar pun segera membaringkan badannya seraya berkata kepada orang yang dikatakan anak si hitam, “Bangunlah dan pijak mukaku ini.” (Hadithriwayat Ibn Mubarak dan Ahmad).
Jelas di sini, sahabat Nabi s.a.w. segera menyedari kesilapannya dan bersedia merendahkan dirinya untuk menghilangkan rasa takabbur.
4. Paras Rupa Dan Kehebatan Fizikal
Ada berlaku di kalangan manusia yang takabbur dan menyombong diri di atas kecantikan dan kehebatan rupa parasnya. Maka timbullah di dalam dirinya rasa takjub dengan keindahan dan kehebatan rupa parasnya. Wajarlah mereka ini merenung sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kalian, akan tetapi Allah memandang kepada hati sanubari kalian.” (Hadith riwayat Muslim).
5. Harta Kekayaan
Biasanya sifat ini dimiliki oleh para pembesar dan para saudagar perniagaan. Mereka memandang rendah kepada golongan fakir miskin dan menganggap fakir miskin itu terdiri daripada mereka yang bodoh dan malas berusaha. Sedangkan mereka yang kaya itu tidak mengetahui keadaan sebenarnya. Sekiranya mereka mengetahui bahawa Allah berkuasa menarik balik segala harta kekayaan dengan sekelip mata, maka tiadalah mereka bersifat dengan sifat takabbur yang keji.
Ada juga di antara mereka menganggap golongan kaya mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah S.W.T. Mereka berkata bahawa mereka boleh bersedekah dengan sebanyak-banyak sedekah, sedangkan si fakir miskin itu untuk menyuap sesuap nasi ke mulut sendiri pun masih belum tentu. Mereka lupa sebenarnya Allah telah menempatkan kedudukan yang istimewa kepada golongan fakir miskin yang beriman kepada Allah S.W.T. Sesetengah golongan kaya sibuk dengan slogan ‘jihad ekonomi’ sehingga lupa jihad yang lebih besar iaitu jihad melawan hawa nafsu. Nabi s.a.w. telah bersabda:
Kita kembali daripada perang kecil menuju perang besar.”
Maka tidak sewajarnya si kaya memandang rendah si miskin, kerana seperti yang diterangkan bahawa si miskin yang beriman itu besar nilainya di sisi Allah S.W.T. Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:
Hai Tuhanku, hidup olehmu akan daku miskin, dan mati olehmu akan daku miskin, dan himpunkan oleh-Mu akan daku di dalam himpunan segala miskin.”
Maka kata A‘isyah Radhiyallahu ‘anha: “Kerana apa, ya Rasulullah?” Maka sabdanya: “Bahawasanya mereka itu masuk syurga dahulu daripada orang kaya dengan 40 tahun. Hai A‘isyah, kasih olehmu akan segala miskin dan hampirkan olehmu akan mereka itu, nescaya hampir akan dikau Allah Ta‘ala pada hari kiamat.” (Hadith riwayat al-Tirmidhi).
Bersabda lagi Nabi s.a.w.:
Masuk syurga orang fakir dahulu daripada orang kaya dengan 500 tahun, an iaitu setengah hari.”
Maka telah diterangkan oleh ‘ulama’, dua hadith di atas boleh dihimpunkan, bahawasanya 40 tahun itu ditujukan kepada fakir yang loba atas orang kaya. Dan bahawasanya dengan 500 tahun itu fakir yang zahid atas orang kaya yang gemar kepada dunia.
Dari Umaiyah bin ‘Abdullah bin Khalid bin ‘Usaid r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. meminta kemenangan kepada Allah dengan perantaraan orang-orang miskin dan lemah dari kalangan kaum Muslimin.” (Hadith riwayat al-Thabrani).
Dari Ibn ‘Abbas r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda, “Aku melihat ke dalam syurga, maka kulihat sebahagian besar penghuninya adalah orang-orang fakir. Aku melihat ke dalam neraka, maka kulihat sebahagian besar penghuninya adalah orang-orang kaya dan perempuan.” (Hadith riwayat Imam Ahmad).
Orang kaya di sini merujuk kepada orang kaya yang tidak bersyukur terhadap nikmat Allah dan kaum perempuan merujuk kepada wanita yang tidak berterima kasih kepada suami.
Setelah kita mengetahui apakah faktor-faktor yang menyebabkan sifat takabbur, maka wajarlah bagi kita mengetahui cara-cara mengubati sifat takabbur tersebut.

1 comment:

Razz said...

Salam,

Sangat bermanfaat ilmu yang dikongsi ini. Sifat takabbur ini sangat bahaya ya sehingga mudah sungguh manusia lupa diri..inilah antara ujian terbesar insan selagi hidup.