Thursday, February 2, 2012

Ceramah Al Fadhil Dr. Zulkifli Al-Bakri

 Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik
Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda menunjukkan contoh terbaik dalam
memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.
Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
 Sebagai suami, Baginda SAW begitu menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat
serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka bahkan enghadapi kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan. Baginda SAW juga tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah. Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya:
“Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda Aisyah yang meriwayatkan: “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, Baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa Baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.
Dalam kehidupan berpoligami juga, Baginda adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata.
Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.
ADIL TERHADAP ISTERI-ISTERINYA

 Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda datang
menemui Baginda, Aishah yang mewakili mereka
terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara
isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling
Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum
mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus
menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh semua
isterinya pulang dulu dan berjanji akan
memberikan jawapannya kemudian.
Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan sebelum Baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak
memberitahu hal itu kepada isteri yang lain. Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda berkumpul kerana Baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah
isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.

BAPA PENYAYANG

Rasulullah SAW adalah bapa penyayang. Acap
kali apabila Baginda melihat Fatimah masuk ke
rumahnya, Baginda terus menyambut dan
berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW
apakah sebab Baginda amat sayang kepada
Fatimah. Baginda menegaskan, “Wahai Aisyah,
jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”
 Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah mencintai ayahandanya lebih daripada cintanya kepada sesiapa pun.
 Selepas ibunya Khadijah meninggal dunia, dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya.Justeru, Rasulullah memanggilnya dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya,
kerana kasih sayang dan pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya.Memiliki sebuah keluarga harmoni memerlukan ikatan yang mesra bukan saja dengan anak dan isteri, malah menantu juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui kehidupan Ali sebagai menantu Baginda. Ali sebagai menantu Rasulullah SAW turut sama menyingsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di dapur. Usaha sekecil
itu, di celah kesibukan sudah cukup bermakna dalam mengambil hati seorang isteri yang saban hari bertungkus-lumus menguruskan rumah tangga. Bukan Sayidina Ali tidak mahu menyediakan pembantu untuk isterinya itu, namun beliau tidak mampu berbuat demikian. Fatimah amat memahami keadaan suaminya dan beliau sentiasa berusaha membahagiakan suaminya.
 BAIK TERHADAP ANAK CUCUNYA
Contoh kasih sayang datuk terhadap cucunya boleh dilihat daripada cara Baginda SAW melayani kedua-dua cucu kesayangan iaitu Hassan dan Hussin, anak Siti Fatimah dan suaminya Saidina Ali.Rasulullah SAW bukan saja sentiasa membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda menghampiri Baginda, Baginda terus mendukungnya. Baginda juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya bersama. Baginda selalu meriba mereka. Pernah ketika Baginda sedang sujud dalam solat, cucu 
Baginda duduk di atas belakang Baginda sehinggakan Baginda sujud agak lama. Baginda juga selalu bermain kuda-kuda dengan cucunya.

 Buat baik kepada Isteri
Oleh itu, bagi mereka yang sedang berada dalam krisis rumah tangga, perlu sangat mengambil pengajaran dari kisah Nabi ini sebagai panduan dalam menyelesaikan krisis tersebut. Disamping itu juga, bagi mengeratkan kasih sayang antara dua suami isteri, sewajarnya menjadikan pemberian hadiah antara pasangan sebagai sesuatu yang rutin.
Pemberian hadiah itu, tidak semestinya dari suami kepada isteri, bahkan tidak ada salahnya jika isteri yang memberikan hadiah kepada suami dalam Mengeratkan hubungan kasih sayang dalam berumah tangga.
Begitu juga, bagi mereka yang berpoligami, kadangkala berlaku sedikit krisis antara isteri-isteri. Jadikan hadis ini sebagai panduan dalam mencari jalan penyelesaian. Mungkin suami memberikan hadiah kepada isteri-isteri masing-masing, atau bagi isteri yang sedar kesilapan ini berlaku, beliau bertindak memberikan hadiah kepada isteri yang lain.
Semuanya adalah bertujuan, untuk melahirkan keluarga yang bahagia, berasaskan kepada contoh tauladan Nabi Muhammad S.A.W.
 Tiada Kejayaan Tanpa Pengorbanan
Orang yang berjaya sebenarnya ialah orang yang melakukan pergorbanan,sanggup berkorban masa, wang, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran, perasaan dan sebagainya kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak datang menggolek, sebaliknya tanpa pergorbanan seperti pelajar akan gagal, pentadbir akan kecewa, pemimpin akan bermusuhan, ulama akan dicaci, masyarakat dan rumahtangga hancur, kampung halaman purak peranda dan negara akan terus dijajah. Pelajar perlu berkorban lebih masa untuk beribadah, berjaga malam dan mentalaah buku. Begitu jugalah pentadbir, para pemimpin dan sebagainya.
 Sifat berlapang dada dan pemaaf
Baginda Rasulullah s.a.w. juga memiliki sifat berlapang dada dan suka memaafkan orang lain walaupun diberi peluang untuk membalas dendam. Didalam suatu peperangan, seoreang tentera kaum musyrikin berjaya mengugut Rasulullah dan tentera kaum Muslimin dengan berkata: “Siapakah diantara kamu yang dapat menyelamatkan engkau daripada pedangku?” Lantas Rasulullah s.a.w. pun menjawab, “Allah”. Mendengar perkataan itu gentarlah tangan tentera musyrikin itu dan pedang tersebut jatuh daripada tangannya. Kemudian Rasulullah s.a.w. mengambil pedang tersebut sambil berkata, “Siapakah kini yang dapat mempertahankan engkau daripadaku?”
 Orang musyrikin itu dengan susah payah menjawab, “Ambillah nyawaku dengan cara yang baik.” Baginda pula berkata kepadanya, “Katakanlah aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku (Rasulullah) adalah pesuruhnya.
Inilah salah satu contoh sifat Rasulullah s.a.w. yang sentiasa bersifat berlapang dada dan pemaaf.


pENCERAMAH OLEH AL-FADHIL USTAZ DR. ZULKIFLI AL-BAKRI


No comments: