Friday, September 24, 2010

BEBASKAN AL QUDS

“BEBASKAN BUMI AL-QUDS”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT.

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah SWT. dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Mudah-mudahan hidup kita mendapat keberkatan dan
rahmat dari-Nya di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT.,
Kita diperingatkan oleh hadith Rasulullah s.a.w.

(Riwayat Muslim).
”Perumpamaan orang yang beriman dalam ikatan kasih sayang,
silaturrahim dan kemesraan, mereka adalah seperti tubuh yang satu, apabila ada
anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuh atau anggota lain turut sakit atau
demam”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya membantu saudara seislam yang diserang, dizalimi dan
ditindas oleh musuh-musuhnya adalah merupakan satu Tuntutan Ukhuwwah.
Tuntutan ukhuwwah dalam Islam tidak mengenal batas-batas negara, bangsa
dan keturunan. Jika dia disakiti dan dianiaya menjadi tanggungjawab umat Islam
untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan
tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke
atas dirinya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saudara-saudara kita di Gaza dan di Palestin sudah dizalimi dan dianiaya
sejak lebih 60 tahun lalu. Bahkan sejak tahun 1948, 5 juta rakyat Palestin
terpaksa meneruskan kehidupan di khemah-khemah pelarian baik di luar mahu
pun di dalam Negara Palestin yang terjajah. Mereka langsung tidak mendapat
sebarang perlindungan dan pembelaan. Bahkan penderitaan mereka semakin
getir sejak lebih tiga tahun yang lalu apabila Israel dengan penuh biadap
menutup sempadan Gaza dan menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan
api dan bekalan air bersih.
Tindakan tidak berperikemanusiaan ini disokong oleh kuasa-kuasa besar
Amerika, Kesatuan Eropah dan Rusia. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu turut
bersekongkol dengan kuasa-kuasa besar merestui tindakan penuh kezaliman
memenjarakan 1.5 juta rakyat Palestin yang dibiarkan menderita kebuluran.
Keadaan begitu genting sehingga ada yang terpaksa merebus rumput di tepi
jalan untuk mengalas perut yang kelaparan. Dan paling malang lagi saudarasaudara
seagama yang jumlahnya mencecah 1.6 bilion orang seolah-olah tidak
bermaya untuk membantu saudaranya yang berada di ambang kematian.
Negara-negara pengeluar minyak yang kaya berdiam diri apabila umat Islam
diperlakukan dengan biadap oleh musuh-musuhnya. Bahkan lebih
memeranjatkan apabila terdapat negara Islam yang berjiran menutup
sempadannya dengan Gaza sebelum ini. Rakyat Gaza yang memerlukan
bantuan perubatan tidak dibenarkan masuk untuk mendapatkan rawatan.

Kepekaan kita terhadap isu Palestin bukan sahaja berkaitan dengan penderitaan
rakyat Palestin bahkan kepekaan kita didorong oleh suatu hakikat yang jauh
lebih besar iaitu kedudukan Baitul-Maqdis sebagai tanah suci dan Masjid Al-
Aqsa, masjid yang ketiga paling mulia dalam Islam kini sedang terkepung dan
terjajah oleh Zionis Israel. Pada 21 Ogos 2010 yang lalu genaplah 41 tahun
Masjid Al-Aqsa dibakar. Tarikh tersebut telah diwartakan sebagai hari Al-Aqsa
oleh kerajaan Malaysia sebagai mengingatkan umat Islam bahawa isu Palestin
adalah isu yang berkait langsung dengan masa depan Masjid Al-Aqsa.
Hari Al-Aqsa merujuk kepada peristiwa Masjid Al-Aqsa dibakar oleh
seorang pelampau Yahudi. Pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang
besar kepada Masjid Al-Aqsa. Peninggalan sejarah yang tidak ternilai seperti
Mimbar Salahuddin Al-Ayubi musnah dijilat api. Perbuatan biadap tersebut
adalah sebahagian dari strategi untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa dan
merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat orang Yahudi (Haikal
Sulaiman). Perbuatan jahat ini adalah satu konspirasi yang dirancang oleh ketuaketua
Yahudi yang bersekongkol dengan rejim zionis untuk memusnahkan
Masjid Al-Aqsa. Penduduk Arab dibiarkan untuk memadamkan api dengan
hanya menimba air tanpa bantuan dari perkhidmatan bomba. Orang Yahudi
yang membakar masjid Al-Aqsa ditangkap tetapi diputuskan sebagai tidak
siuman oleh mahkamah zionis. Hakikatnya laporan akhbar Israel mendakwa
sebuah kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid Al-Aqsa tiga hari sebelum
kejadian pembakaran tersebut.

Tindakan jahat Yahudi ini telah membuka mata Pemimpin-pemimpin
Negara Islam dan mencetuskan satu inisiatif yang digerakkan oleh Al-Marhum
Tunku Abdul Rahman Putra, Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II,
Maghribi untuk mengadakan sidang kemuncak di Rabat dari 22 hingga 25
September 1969. Satu resolusi untuk menyatukan seluruh negara-negara Islam
ke arah memastikan pengunduran Israel dari wilayah Palestin. Satu sekretariat
yang dinamakan OIC ditubuhkan di Jeddah dan Al-Marhum Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.
Sumbangan Al-Marhum Tunku ini besar maknanya terhadap isu pembelaan ke
atas rakyat Palestin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Baitul-Maqdis dan Masjid Al-Aqsa mempunyai makna yang cukup besar
bagi umat Islam. Ia mempunyai pelbagai kelebihan. Di antaranya
bersembahyang di masjid Al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali
ganda berbanding bersembahyang di tempat yang lain.
Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat
(ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan
solat 1000 kali, dan solat di Baitul-Maqdis adalah sama dengan 500 kali
solat.
(Riwayat At-Tabarani).

Masjid Al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam.
Al-Huzaimi mengemukakan satu riwayat daripada Al-Barra' bin `Azib:
Daripada Al-Barra' bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah
s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan
Ansar dan Baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul- Maqdis selama
16 bulan atau 17 bulan.
Rasulullah s.a.w. juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi masjid
Al-Aqsa dan bersama dalam menguruskannya. Hadith Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud;
Abdullah Ibn umar bertanya pada Rasulullah s.a.w. "Ya Rasulullah,
terangkan kepada kami hukum menziarahi Baitul-Maqdis. "Jawab
Rasulullah s.a.w.; ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin
(ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi
menerangi masjid) (Riwayat Bukhari).

Jika menguruskan masjid menjadi tanggungjawab umat Islam maka
kewajipan untuk membebaskannya dari cengkaman musuh jauh lebih
dititikberatkan. Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. telah mengisytiharkan Baitul-
Maqdis sebagai tanah wakaf yang wajib dipertahankan sepanjang zaman.
Jangan sekali-kali kita menganggap bahawa harta yang kita serahkan
kepada umat Islam di Palestin sebagai ’derma’ atau sedekah sunat. Sebaliknya
infaq untuk pembebasan Masjid al-Aqsa adalah kewajipan sebagaimana yang
ditegaskan oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi dan ramai ulama-ulama wibawa
zaman ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Sesungguhnya Masjid Al-Aqsa adalah tanggungjawab seluruh umat Islam.
Maka dengan itu ia menjadi tanggungjawab kolektif seluruh umat Islam. Oleh
kerana kewajipan ini kita wakilkan sepenuhnya kepada rakyat Palestin yang
mempertahankan masjid dari pencerobohan musuh walaupun mereka tidak
memiliki senjata dan hanya menggunakan batang tubuh mereka maka kita
sebenarnya telah berhutang kepada mereka. Seringkali mereka membayar
harga yang cukup tinggi iaitu dengan syahid di sisi Allah. Maka marilah kita
keluarkan harta kita untuk melunaskan hutang kita terhadap Masjid Al-Aqsa yang
sudah lama tertunggak.

Marilah kita sebagai umat Islam menginfaqkan harta untuk membantu
saudara seagama kita di Palestin demi mempertahankan Masjid Al-Aqsa. Ini
bersesuaian dengan anjuran Allah SWT. agar umat Islam berjihad dengan harta
dan jiwa raga mereka. Marilah sama-sama kita menyumbang seberapa banyak
wang yang ada ke tabung-tabung yang telah disediakan oleh pihak masjid.
Marilah kita menjadikan diri kita sentiasa beristiqamah dan lebih beriltizam
untuk berjuang demi pembebasan Baitul-Maqdis dan Masjid Al-Aqsa.

(Al-Hujurat ayat 15)
“Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang
yang percaya kepada Allah dan Rasul- Nya, kemudian mereka (terus percaya
dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan
jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang yang benar (pengakuan
imannya)”

Khutbah Jumaat 24 September 2010: Bebaskan Bumi Al-Quds

Dibaca oleh Ust. Fisol b Hj Yazid.

No comments: