Wednesday, October 6, 2010

Larangan mengaibkan sesama muslim

Khutbah Jumaat 01 Oktober 2010 – Larangan Mengaibkan Sesama Islam


“LARANGAN MENGAIBKAN SESAMA ISLAM”

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita
mempertingkatkan taqwa dan kesedaran diri kita sebagai seorang hamba serta
rasa cinta kepada Allah SWT. Marilah juga kita mempertingkatkan rasa
kehambaan dan kecintaan kepada Allah SWT. Tuhan Rabbul ‘Alamin. Firman
Allah SWT. dalam surah An-Nur itu 19:


"Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan
yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh
azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah
mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)".

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Ayat yang dibacakan sebentar tadi menyatakan mengenai kemurkaan
Allah kepada golongan yang suka memfitnah dan membuat tuduhan kepada
orang lain. Islam melarang sama sekali perbuatan tersebut kerana boleh
mencemarkan maruah. Meskipun demikian dianjurkan untuk kita menegur dan
menasihati kesalahan dan kesilapan saudara kita tanpa mendedahkan ‘aibnya.
Ini adalah lebih baik daripada menyebarkan kesalahan orang khasnya
penyebaran fitnah terhadap orang-orang yang dikenali sebagai orang yang baik.
Namun dalam masyarakat kita pada hari ini terdapat segelintir daripada kalangan
kita yang gemar berjanji untuk menyimpan rahsia keburukan saudaranya, tetapi
kemudiannya menceritakan kepada orang lain dengan mensyaratkan janji yang
sama untuk tidak menceritakan kepada orang lain. Jika setiap orang melakukan
perkara yang sama sudah pasti berita tersebut akan lebih cepat tersebar dan
diketahui oIeh orang ramai.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Ayat ke 19 dalam surah An-Nur itu tadi sebenarnya diturunkan untuk
menempelak golongan yang cuba memfitnah Saidatina ‘Aisyah Radhiallahu
‘Anha. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan mengenai kisah fitnah
Saidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha. Kisah ini berlaku ketika Nabi dan
rombongannya dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah selesai
peperangan. Rombongan Nabi telah singgah di suatu tempat untuk berehat
sebelum meneruskan perjalanan. Ketika rehat, ‘Aisyah keluar dari
usungannya untuk mencari tempat qada’ hajat tanpa disedari oIeh Rasulullah
atau sahabat-sahabat yang lain yang akhirnya beliau tertinggal dan dibawa oIeh
seorang sahabat.
Kepulangan Saidatina ‘Aisyah dengan diiringi oIeh Safwan bin Al-Mu’atthal
telah menggembirakan golongan munafiqin. Mereka merasakan ini adalah
peluang terbaik untuk mencemarkan kemuliaan Nabi dan maruahnya. Mereka
terus menanam jarum-jarum fitnah dengan menyebarkan tohmahan bahawa
Safwan telah melakukan sesuatu yang tidak baik dengan isteri Rasulullah s.a.w.
Racun-racun fitnah tersebut telah meresap dalam masyarakat sehingga keadaan
menjadi kecoh dengan setiap orang menceritakan berita atau isu yang sama.

Allah menempelak perbuatan menyebarkan fitnah ini dalam surah An-Nur
ayat 14 -15 yang bermaksud:
"Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di
dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa ‘azab yang besar kerana
perbicaraan kamu tentang berita bohong itu. Ingatlah di waktu kamu menerima
berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa
yang tidak kamu ketahui dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja
pada hal ia di sisi Allah adalah besar. Dan mengapa kamu tidak berkata di waktu
mendengar berita bohong itu?. Sekali-kali tidaklah harus bagi kita
memperkatakan ini. Maha suci Engkau (Ya Tuhan kami) ini adalah dusta yang
besar".

Fitnah yang disebarkan oIeh golongan munafiqin ini telah sedikit sebanyak
memberi kesan kepada Nabi dan sahabat-sahabatnya. Justeru para ulama
ketika membincangkan perkara ini telah bersepakat bahawa sesiapa yang
terlibat memfitnah dalam isu Al-Ifq ini, dia dihukumkan sebagai terkeluar
daripada Islam. Jika tidak bertaubat maka orang itu wajib dibunuh kerana
menghina dan menjatuhkan maruah Rasulullah. Bahayanya penyebaran fitnah
ini sehingga memaksa Rasulullah s.a.w. mengeluarkan perintah hukuman had
terhadap tiga orang sahabat yang terlibat sama dalam fitnah ini dengan disebat
setiap daripada mereka dengan 80 sebatan.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. banyak menceritakan mengenai perintah atau
galakan menyembunyikan keaiban saudara seislam yang lain. Antaranya hadith
daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan Allah akan
menutup keaibannya pada hari qiamat".
(Riwayat Muslim).

Hadith ini menceritakan kelebihan bagi sesiapa yang menutup keaiban
saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat. Menurut
para ulama, menyembunyikan keaiban orang lain terbahagi kepada dua
keadaan: iaitu mahmud (terpuji) dan mazmum (dikeji). Menyembunyikan keaiban
orang lain dianggap terpuji jika orang itu dari kalangan orang yang baik, beriman
dan beramal soleh. Maka dalam hal ini keaibannya perlu dirahsiakan. Berbeza
dengan orang yang suka melakukan maksiat, berbangga dengan maksiat yang
dilakukan dan suka menceritakan maksiatnya kepada orang. Maka harus
diceritakan kejahatannya supaya dapat dihukum seterusnya menjadi pengajaran
kepada orang lain.

Apa yang penting dalam menyembunyikan keaiban orang lain adalah
bergantung kepada maslahah atau kepentingan. Jika kepentingan menutup
perbuatan tersebut maka perlu dirahsiakan begitulah sebaliknya. Perhatikan
sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari dan Muslim
yang bermaksud:
"Setiap umatku dimaafkan melainkan orang yang terang-terangan dan
menunjuk-nunjuk dalam melakukan kemaksiatan (Al-Mujaharah). Dan
sesungguhnya termasuk di bawah (Al-Mujaharah) ialah orang yang bangga
melakukan kejahatan pada malam hari kemudian pada paginya Allah
menyembunyikan keaibannya tetapi dia pula menceritakan kepada orang lain
dengan berkata: "Ya Pulan, aku melakukan perbuatan ini dan itu semalam",
pada hal ketika dia tidur pada malamnya Allah telah menutup keaibannya tetapi
pada keesokannya dia mendedahkan apa yang telah ditutup oIeh Allah SWT.
Islam melarang umatnya mengaibkan sesama Islam sehinggakan orang
yang telah dihukum dengan hukuman had pun ditegah daripada dihina dan
diaibkan sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Abu Hurairah
yang bermaksud:
"Seorang yang telah meminum arak dibawa kepada Nabi lalu Nabi
memerintahkan supaya lelaki tersebut disebat. Abu Hurairah menceritakan: Ada
di antara kita yang memukul dengan tangannya, ada yang memukul dengan
kasutnya, ada yang memukul dengan pakaiannya. Ketika lelaki tersebut beredar,
setengah kaum menghinanya dengan mengatakan semoga Allah menghinakan
engkau. Lalu Nabi melarang dengan katanya: Jangan mengeluarkan perkataan
itu nanti syaitan akan mengambil peluang”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Larangan dan tegahan Islam tentang perkara yang mengaibkan sesama
Islam adalah demi menjaga hubungan silaturrahim dan perpaduan sesama
mereka. Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila melihat umat Islam benci membenci sesama mereka, hina-menghina, aib-mengaib dan fitnah-memfitnah.
Golongan yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara
seislamnya merupakan golongan yang ada dalam dirinya sifat-sifat munafiq.
Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dalam Islam. Islam
menganjurkan perbincangan dan pertemuan bagi menyelesaikan sebarang
pertelingkahan dan pergeseran. Mengaibkan saudara seislam yang lain tanpa
bukti dan fakta yang tepat merupakan satu jenayah yang sangat besar kepada
perpaduan Islam. Umat Islam sewajarnya melupakan pergeseran yang bersifat
peribadi dan meletakkan kepentingan dan perpaduan ummah lebih daripada
segala-galanya.

Pengajaran yang dapat dirumuskan daripada khutbah kita pada hari ini
adalah:
Pertama: Kehidupan bermasyarakat dan bernegara hendaklah
berlandaskan nilai-nilai akhlak dan nilai budaya yang
bertamadun.

Kedua: Umat Islam perlu membina masyarakat dan negara di samping
berinteraksi dalam politik, sosial, perniagaan dan sebagainya
berdasarkan nilai dan ajaran Al-Quran yang luhur.
Ketiga: Nama baik seseorang serta kehormatannya perlu dilindungi
sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.
Keempat: Orang atau kumpulan yang menggunakan cara mengaibkan
lawan seperti mencolek, mengugut, melakukan rasuah,
memfitnah dan sebagainya adalah melakukan perkara yang
diharamkan oIeh Allah SWT.
Kelima: Golongan berkenaan pasti menerima padah dan akan
dicampak oleh Allah ke dalam api neraka.

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan bahaya (seksa, bunuh
dan sebagainya) kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan
kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka
jahannam dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar".

Khutbah Jumaat 01 Oktober 2010 – Larangan Mengaibkan Sesama Islam
Khutbah ini disampaikan oleh Imam 1 Ustaz Yazid b Hj Hashim

No comments: