Saturday, June 4, 2011
Khutbah Khas sempena hari Keputeraan DYMM Seri Paduka Baginda yang di-pertuan Agong”
KHUTBAH KHAS SEMPENA HARI KEPUTERAAN DYMM
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG ”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala
perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita
semua akan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang Di-Pertuan Agong bagi tahun 2011 ini, sebagai rakyat Malaysia
marilah sama-sama kita memohon kehadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berada dalam 'inayah dan
taufik serta sihat dan sejahtera. Juga kita mohon, agar negara kita Malaysia
yang dicintai ini dianugerahkan keamanan, kestabilan dan ketenteraman
sepanjang masa. Kita mendoakan semoga rakyat jelata di negara ini, hidup
dalam keadaan harmoni, bahagia dan bersatu-padu, pemimpin-pemimpin pula
sentiasa tunduk, patuh dan taat kepada Allah SWT, dalam usaha
membangunkan negara serta sentiasa menjadikan Al-Quran dan sunnah
Rasulullah s.a.w. sebagai sumber rujukan utama dalam menghadapi semua
permasalahan.
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Pada hari yang mulia ini, marilah kita bersama-sama memikirkan
kedudukan kepimpinan kita sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.
Allah SWT telah menjadikan kita hidup berbilang bangsa dan suku kaum.
Masing-masing memerlukan di antara satu dengan yang lainnya dalam
mengendalikan kehidupan seharian. Oleh yang demikian, manusia memerlukan
seorang ketua atau pemimpin dalam masyarakatnya yang dapat mengawal dan
menyelaraskan cara kehidupan mereka mengikut undang-undang yang telah
ditentukan.
Oleh itu, Allah SWT telah mengutus 313 orang Rasul ke dunia ini yang
bermula daripada Nabi Adam 'Alaihissalam sehingga Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka silih berganti memimpin manusia sebagai umat-Nya. Rasul-rasul yang
telah terpilih mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang telah digariskan oleh Allah
SWT iaitu siddiq (benar) amanah (jujur), tabligh (menyampaikan) dan fathonah
(bijaksana).
Keempat-empat sifat itu perlu kepada seorang yang hendak memegang
jawatan atau tugas sebagai seorang Rasul dan dalam masa yang sama, ia
sebagai pemimpin yang berwibawa kepada umatnya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sifat-sifat yang perlu ada pada setiap pemimpin yang berwibawa menurut
pandangan Islam, antaranya;
1- Mempunyai keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT serta berakhlak
yang mulia.
2- Mempunyai ilmu pengetahuan dan daya pemikiran yang tinggi di samping
pengetahuan yang luas.
3- Mengetahui peranan, akan tanggungjawabnya sebagai seorang
pemimpin dan sedia tunduk kepada hukum agama dan hukum budaya
masyarakatnya.
Pemimpin yang berwibawa juga merupakan pemimpin yang menganggap
jawatan adalah satu tanggungjawab yang berat lagi mencabar. Makin tinggi
kepimpinan yang disandang, akan semakin besarlah tanggungjawab yang perlu
dipikul. Bermula menjadi pemimpin kepada diri sendiri, kemudian menjadi
pemimpin kepada keluarga dan yang lebih jauh lagi ialah sebagai pemimpin
kepada masyarakat, negeri, negara dan dunia keseluruhannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Untuk mendapatkan satu kepimpinan yang baik lagi berjaya dan mendapat
keberkatan Allah SWT, perlu kepada kerjasama dan persefahaman antara
pemimpin dengan rakyat. Pemimpin mesti bersikap jujur dalam setiap
tindakannya dan rakyat mesti bersikap taat kepada pemimpinnya. Dalam hal ini,
Rasulullah s.a.w. mengingatkan pemimpin dengan sabdanya:
مHadith riwayat Muslim).
"Tiada siapa pun yang Allah lantik menjadi pemimpin mengetuai urusan
rakyat dan matinya dalam keadaan menipu melainkan Allah SWT
haramkan dirinya daripada masuk ke dalam syurga".
Kepada rakyat pula, Rasulullah s.a.w. mengingatkan dengan sabdanya:
(Hadith riwayat Bukhari).
"Setiap orang Islam wajib mendengar dan taat perintah ketua atau
pemimpinnya, sama ada perintah itu mereka sukai atau tidak, selagi perintah itu
tidak menyuruh supaya berbuat maksiat. Jika perintah itu menyuruh mereka
berbuat maksiat, maka tidak perlu mendengar atau tidak perlu taat".
Sidang hadirin yang dirahmati sekalian,
Kewujudan pemimpin yang berwibawa dan mendapat kerjasama serta taat
setia daripada rakyat akan melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni, maju
dan berjaya serta diberkati oleh Allah SWT.
Betapa pentingnya mentaati pemimpin sebagaimana Firman Allah SWT
dalam surah An-Nisa' ayat 59:
"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah
kamu kepada Rasulullah s.a.w. dan kepada ulilamri (orang yang berkuasa) di
kalangan kamu".
Menurut Tafsir Al-Maraghi, ayat ini memberi pengertian agar mentaati Allah
SWT dengan melaksanakan pengajaran Al-Quran dan mentaati Rasulullah
s.a.w. kerana Baginda yang memberi penjelasan kepada manusia tentang
segala hal yang diturunkan kepada mereka.
Mentaati Ulilamri iaitu kepada raja, pemegang kuasa, ulama, pemimpin
tentera, semua pemimpin dan tokoh yang menjadi tumpuan masyarakat dalam
mengurus keperluan dan kemaslahatan umum. Apabila pemimpin mengeluarkan
sesuatu arahan, wajib ditaati, dengan syarat mereka memiliki sifat-sifat amanah,
tidak menentang Allah SWT dan Rasul-Nya.
Mentaati Ulilamri ini hukumnya wajib sebagaimana contoh yang dilakukan
oleh Saidina Omar radhiallahu 'anhu untuk mengadakan pejabat dan lain-lain
keperluan untuk mengurus kepentingan umat. Perkara ini tidak terdapat pada
zaman Rasulullah s.a.w. Pendapat Saidina Omar radhiallahu 'anhu disepakati
oleh para sahabat dan tidak ada seorang pun di kalangan sahabat pada masa itu
yang menentangnya.
Sayyid Qutub menjelaskan, bahawa faktor-faktor kekuatan umat pada
zaman silam ialah kerana mereka memiliki 'Roh Islam' iaitu sumber yang
memancarkan sifat ketinggian seperti keikhlasan hati, ketenangan jiwa,
kepahlawanan, kesanggupan berkorban dan keghairahan untuk mati syahid.
Muslimin yang berbahagia,
Marilah kita muhasabah diri. Marilah kita kembali memperbetulkan gerak
atau landasan hidup kita. Al-Quran dan hadith masih ada di hadapan kita.
Ulama dan cendikiawan masih mampu menerajui bahtera hidup kita.
Pemerintah juga masih kukuh menguasai pentadbiran negara kita. Marilah kita
lakukan apa yang lebih baik daripada hari ini dan hari esok serta seterusnya.
Semoga kita akan menjadi umat contoh yang berjaya. Jadilah rakyat yang
mempunyai ketaatan dan kesetiaan kerana ketaatan serta kesetiaan rakyat akan
membawa kepada perpaduan di samping kekuatan umat.
(Ali 'Imran: 110)
Maksudnya: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat
yang dilahirkan untuk umat manusia. (Kerana) kamu menyuruh berbuat segala
perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan
keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Kalaulah ahli kitab (yahudi dan nasrani) itu beriman (sebagaimana yang
semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi), antara
mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasiq".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment