Friday, January 28, 2011

NASIHAT UNTUK PARA SUAMI”

Dibaca oleh Imam 3 Ustaz Muhammad Faisol  Hj Muhd Yazid

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita
mempertingkatkan rasa gerun, takut dan waspada kita kepada Allah SWT.
Marilah juga kita mempertingkatkan rasa kehambaan dan kecintaan kita kepada
Allah SWT. Tuhan Rabbul ‘Alamin.

Penentu kepada kebahagiaan sesebuah rumahtangga sebahagian
besarnya terletak di tangan suami. Suamilah yang menentukan hala tuju dan
masa depan rumahtangga. suamilah yang mencorakkan didikan dan
pentarbiyyahan yang hendak diterapkan kepada isteri dan anak-anak. Baik atau
tidak baiknya pengurusan sesebuah rumahtangga terletak di bahu suami. Jika
suami baik dan bertangggungjawab akan baiklah keluarga tersebut. Tetapi jika
suami alpa dan lalai dengan tanggungjawabnya, maka akan terabai dan porakperandalah
rumahtangganya.
Statistik keruntuhan rumahtangga di kalangan pasangan Islam di Malaysia
saban tahun sangat membimbangkan. Tahun 2007 sebagai contoh menyaksikan
jumlah perkahwinan yang dilangsungkan ialah sebanyak 131,086 pasangan,
namun jumlah perceraian pada tahun yang sama turut meningkat kepada 20,529
pasangan. Ini menunjukkan setiap enam perkahwinan berlaku satu perceraian.
Di negeri Selangor pula bagi tahun 2009 jumlah perkahwinan ialah 17,299
pasangan. Manakala jumlah perceraian ialah 4,560 pasangan. Terdapat dua
faktor utama yang membawa kepada keruntuhan dan kegagalan sesebuah
rumahtangga iaitu faktor dalaman dan luaran.
Faktor dalaman ialah:
Pertama - Faktor kelemahan kepimpinan suami
Kedua - Faktor kelemahan peranan isteri dalam mengurus
rumahtangga.
Manakala faktor luaran pula ialah:
Pertama - Faktor ekonomi yang menyebabkan kesempitan hidup.
Kedua - Faktor tekanan kerja
Ketiga - Faktor campurtangan keluarga dan orang ketiga.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Islam sangat mengambil berat mengenai berbuat baik kepada isteri.
Rasulullah s.a.w. dalam wasiat terakhirnya dalam Haji Perpisahan turut
menyentuh kepentingan berbuat baik kepada wanita dan isteri. Imam An-Nawawi
sendiri turut meletakkan satu bab dalam kitabnya Riyadhus-Solihin yang
mengumpulkan koleksi hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang menyeru kepada
berbuat baik kepada kaum wanita.
Isteri atau wanita dijadikan Allah dengan fizikal dan emosi yang lemah.
Fizikal dan emosi yang lemah tidak bermakna akal mereka turut lemah.
Kemampuan akal fikiran mereka kadangkala jauh lebih baik daripada lelaki tetapi
dari sudut emosi dan perasaan, mereka mudah terguris dan terluka. OIeh sebab
itu, suami yang baik harus memahami dan menyelami perasaan dan emosi
isterinya.
Pengetahuan mengenai sifat dan sikap wanita, kelemahan dan kekurangan
mereka perlu diketahui dengan sebaiknya bagi mewujudkan perasaan toleransi
dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Perhatikanlah Hadith
Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan sikap yang perlu ada pada para suami
dalam menangani kekurangan dan kelemahan wanita sebagaimana sabdanya :
(Muttafaqun ‘Alaih
"Terimalah wasiat ini yang aku wasiatkan kepada kamu iaitu berbuat baiklah
kepada wanita kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk. Bahagian yang
paling bengkok pada rusuk ialah pada bahagian atas-Nya. Jika engkau hendak
meluruskan bahagian yang bengkok itu maka nescaya engkau akan
mematahkannya, tetapi jika engkau membiarkannya, maka ia akan sentiasa
bengkok, maka berbuat baiklah kepada wanita".
Tulang rusuk yang bengkok yang dinyatakan dalam Hadith tersebut
menggambarkan kekurangan wanita yang harus diterima dengan hati yang
redha. Tetapi ini tidak bermakna kaum lelaki tidak mempunyai kekurangan atau
kelemahan. Apa yang dimaksudkan daripada Hadith ini ialah suami yang baik
ialah suami yang boleh menerima kekurangan yang ada pada isterinya. Jika
suami boleh menerima kekurangan dan kelemahan isteri dan isteri boleh
menerima kekurangan suaminya, maka akan bahagialah rumahtangga tersebut.
Jika seorang suami hendakkan kesempurnaan pada isterinya maka sudah pasti
dia tidak akan menemuinya, walaupun bilangan isterinya bertambah atau silih
berganti. Para suami sama sekali tidak akan dapat menemui isteri yang mampu
taat kepadanya dan mendengar kata-katanya seratus peratus tanpa ada
perasaan tidak puas hati atau bangkangan. Namun kekurangan tersebut harus
dilihat secara positif sebagaimana Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 19 :
“Dan bergaullah kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara
yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan
tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh
jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang
kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Contoh yang terdekat yang pernah berlaku mengenai kisah seorang wanita
yang melecur muka dan belakang badannya akibat disimbah cuka getah oIeh
suaminya yang berang apabila keinginannya untuk melakukan hubungan
kelamin ditolak. Sesungguhnya Islam melarang sama sekali deraan dan siksaan
kepada isteri sama ada deraan fizikal atau pun emosi. Sebarang ketidak puasan
oIeh suami terhadap isterinya tidak harus disalurkan melalui siksaan fizikal atau
emosi. Rasulullah s.a.w. pernah menasihatkan suami yang memukul isterinya
dengan sabdanya:
"Janganlah salah seorang dari kamu dengan sengaja memukul isterinya
seperti memukul hamba kerana pada akhirnya dia akan menidurinya juga".
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri telah digariskan oIeh
Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadithnya. Ketika mana Rasulullah
ditanya oIeh Mu’awiyah bin Haydah mengenai hak isteri yang tertanggung ke
atas suaminya. Rasulullah s.a.w. menjawab:
(Riwayat Abu Daud)
"Kamu memberi makan kepadanya jika kamu makan dan mengadakan
baginya pakaian jika kamu memakai pakaian dan jangan sekali-kali memukul
muka dan jangan menghina dan jangan mengasingkan diri daripada tempat tidur
isterinya untuk tujuan pengajaran melainkan di rumah".
Hadith ini jelas merupakan panduan terbaik bagi para suami dalam
memimpin bahtera perkahwinan mereka. Makanan dan pakaian merupakan
tanggungjawab suami yang perlu diberikan kepada isteri. Malah dalam satu
riwayat yang lain sepotong makanan yang disuapkan ke mulut isteri turut
diberikan ganjaran pahala oIeh Allah SWT. Hadith ini turut menjelaskan
mengenai tegahan Rasulullah s.a.w. daripada memukul isterinya di bahagian
muka. Ini adalah kerana bahagian muka adalah lambang kepada kemuliaan dan
kehormatan selain daripada gambaran kecantikan seorang wanita. Larangan
memukul bahagian muka tidak terhad kepada kaum wanita sahaja tetapi turut
merangkumi semua golongan lelaki dan wanita, kanak-kanak dan orang tua.
Sikap menghina, mencerca dan mengeluarkan perkataan keji di antara
suami dan isteri serta kaum keluarga mereka adalah ditegah dan dilarang oIeh
Islam.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Rasulullah s.a.w. merupakan model terbaik bagi para suami dalam memimpin
bahtera rumahtangga. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri menyifatkan Baginda
adalah orang yang paling baik terhadap kaum keluarganya sebagaimana
Sabdanya yang bermaksud :
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan
aku sebaik-baik orang terhadap keluargaku”.
(Riwayat At-Tirmizi)
Malangnya amat mendukacitakan apabila ada segelintir individu tertentu
yang baik terhadap rakan-rakan dan sahabat-handainya, tetapi zalim dan buruk
akhlaknya terhadap kaum keluarganya sendiri.
Untuk mengembalikan keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga,
setiap pasangan mestilah bermuhasabah diri terhadap tanggungjawab dan
kewajipan masing-masing. Setiap orang dari pasangan harus berlapang dada
untuk menerima kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka. Bagi
suami segala sifat buruk seperti panas baran, ego , suka mengungkit-ungkit, kaki
pukul dan seumpamanya harus dibuang dari diri mereka. Jika sifat-sifat buruk ini
tidak dibuang maka sudah tentu keharmonian rumahtangga tidak akan tercapai.
Harus diingat, kehidupan berumahtangga ibarat kapal kecil di tengah
lautan, sentiasa dilambung ombak dalam cuaca yang tidak menentu. Dalam hal
ini, suami yang diibaratkan sebagai nakhoda sepatutnyalah yang menentukan
selamat atau tidak pelayaran kapal tersebut.
Keluarga yang harmoni akan mendatangkan keamanan kepada
masyarakat, manakala masyarakat yang baik, akan mendatangkan kemajuan
kepada negara.
(Ar-Rum: 21)

"Dan antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya)
bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu hidup bahagia dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang
yang berfikir".

No comments: