Friday, January 21, 2011

PERANAN ULAMAK

Khutbah Jumaat 14 Januari 2011: Peranan Ulama
DISAMPAIKAN OLEH IMAM 1 :MUHAMMAD ZABAR MOHD AMIN

"PERANAN ULAMA"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada
Allah S.W.T dan memperbanyakkan selawat serta berusaha melaksanakan
segala sunnah Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan ianya akan memberikan
manfaat kepada kita di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ulama’ ialah ahli agama atau ilmuan yang menguasai beberapa cabang
ilmu akidah, syariah dan akhlak. Ilmu ini adalah ilmu yang bermartabat tinggi
kerana ia berkaitan dengan Allah, Rasulullah, Al-Quran, sistem kehidupan,
politik, budaya, ekonomi dan perkara-perkara besar yang lain. Ilmu ini akan
menentukan nasib baik seseorang atau sebaliknya di dunia dan di akhirat kelak.
Ilmu inilah yang disebut sebagai Ad-din oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:

“Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah
memberi dia kefahaman yang baik tentang agama”.
(Muttafaqun ‘Alaih dari Mu’awiyah r.a)
Ilmu ini juga disebut Al-Hikmah seperti firman Allah dalam surah Al-
Baqarah ayat 269:

“Allah memberi Al-Hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya; barangsiapa
yang telah dianugerahkan dengan hikmah itu bermakna dia telah diberikan
kebaikan yang banyak”.
Allah mengangkat martabat orang yang beriman dan berilmu pengetahuan
dengan beberapa darjat. Allah berfirman dalam surah Al-Mujadalah ayat 11:

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang
yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah)
Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”.
Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. menegaskan:
"Sesungguhnya Allah meninggikan martabat sesuatu kaum dengan Al-Quran ini
(yakni ilmu tentang Al-Quran) dan merendahkan martabat yang lain kerananya".

(Riwayat Muslim)
Ilmu inilah yang dinyatakan oleh Allah akan direnggut dan dicabut daripada
sesuatu kaum dengan dimatikan golongan orang Alim dalam kalangan sesuatu
kaum itu. Rasulullah s.a.w bersabda dengan maksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu (ilmu agama) daripada umat
manusia dengan sekali renggut. Akan tetapi Dia mencabut ilmu dengan
mewafatkan para ulama’. Sehingga apabila tiada lagi seorang Alim pun hidup
maka orang ramai menjadikan orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka.
Maka mereka (para pemimpin itu) ditanya, lalu mereka berfatwa tanpa ilmu.
Maka dengan demikian mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain".
(Muttafaqun ‘Alaih)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Apakah peranan ulama’ di dunia ini sehingga martabat mereka begitu tinggi?
Peranan ulama’ antara lain ialah:
Pertama :Sebagai pewaris para Nabi atau penyebar ajaran yang dibawanya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
”Sesungguhnya para ulama’ itu adalah pewaris para Nabi. Dan
sesungguhnya para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahupun
dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa
yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil
bahagian ilmu yang banyak”.
(Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi)

Menghina dan mengepikan ulama’ serta menghalang mereka daripada
menyampaikan ilmu malah membunuh mereka adalah satu kejahatan dan
perbuatan yang berdosa. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 21-22:
"Sesungguhnya orang yang mengingkari ayat-ayat keterangan Allah, membunuh
Nabi-nabi tanpa alasan yang benar dan membunuh orang yang menyuruh
berlaku adil di kalangan manusia, maka sampaikanlah (berita yang
menggembirakan) kepada mereka akan adanya azab yang pedih. Mereka itulah
orang yang telah terbatal amal perbuatannya di dunia dan di akhirat. Mereka
tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan".
Kedua :Ulama’ mengajar dan memperkukuh akidah, syariah dan akhlak
Islam. Ulama’ yang tidak menyebarkan dakwah dan perjuangan Islam
sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka mereka bukan
ulama’ yang sebenar.
Kefahaman hidup seperti budaya, politik, ekonomi dan lain-lain daripada
perspektif Islam hendaklah menjadi butiran ilmu yang diajar oleh ulama’ kepada
orang ramai. Mereka berperanan melurus dan menjernihkan umat daripada
palitan dan saki-baki fahaman jahiliyyah, khurafat dan perkauman yang masih
tebal yang boleh menghakis akidah Islam.
Ketiga :Ulama’ adalah contoh budaya takut kepada Allah dan menjadi model
akhlak Islam. Sikap dan perilaku ulama’ adalah mempamerkan
kelakuan dan akhlak Islam yang lengkap dalam memerintah,
mentadbir, memimpin, menjadi pemimpin keluarga dan sebagainya.
Ulama’ bukan dari kalangan mereka yang melakukan perkaraperkara
buruk seperti rasuah dan lain-lain lagi.
Keempat :Ulama’ adalah golongan yang prihatin dan mementingkan kerja
membela penderitaan umat dan berusaha mereformasikan kehidupan
sosiopolitik, budaya, ekonomi dan sebagainya. Mereka adalah
golongan yang terlibat berjihad untuk menobatkan pemerintahan
menurut lunas-lunas ajaran Islam. Mereka berusaha memartabatkan
kedudukan umat dalam setiap lapangan agar menjadi khaira ummah
demi menunaikan amanah dan tanggungjawab ilmu mereka.
Kelima :Ulama’ mestilah dijadikan sebagai tempat rujukan dan pembimbing
umat daripada setiap kekalutan pemikiran dan kesesatan fahaman
oleh simpang-siur ajaran dan ideologi ciptaan manusia. Sebab itu
usaha menghalang ulama’ daripada menyampaikan ajaran agama
adalah suatu kesalahan. Sebagai contoh, menyusahkan ulama’
menyampaikan ajaran Allah dengan memenjarakan atau
mengenepikan mereka daripada khalayak ramai adalah satu usaha
memadamkan sinar agama Allah di mana jua pun. Usaha para ulama’
yang berani menyatakan kebenaran seperti yang diajarkan oleh Islam
adalah lambang perjuangan dan jihad mereka menyampaikan Islam
walaupun dimusuhi oleh mereka yang anti ulama’.
Keenam :Ulama’ sentiasa berperanan mencegah kemungkaran, kezaliman
dan amalan yang menderhaka kepada ajaran Allah. Ini kerana Allah
telah memerintahkan dalam surah Ali-Imran ayat 104:
”Hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada
kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang
baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang
bersifat demikian itulah orang yang berjaya”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Jelaslah kepada kita betapa pentingnya kedudukan para ulama’ dan
peranan mereka dalam menyelamatkan umat daripada kejahilan dan kesesatan
akidah. Sebab itu ulama’ dipandang serong oleh musuh Islam dan orang-orang
yang sangat anti kepada perjuangan hidup Islam.
Kini terdapat usaha menjatuhkan Islam melalui tindakan memburukkan Al-
Quran, nama baik Rasulullah s.a.w dan malah pewaris Baginda; iaitu para
ulama’. Melalui tindakan jahat tersebut mereka mula membakar Al-Quran,
melukis gambar-gambar kartun yang membayangkan Rasulullah s.a.w sebagai
pengganas. Menjatuhkan martabat ulama’ dengan mengaitkan mereka dengan
kumpulan bersenjata dan pengganas yang hendak perangi dengan apa cara
sekalipun.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,
Oleh kerana peranan dan kedudukan ulama’ penting dalam masyarakat,
marilah kita menghormati dan menghargai ulama’ kita yang soleh dan bertaqwa.
Marilah mendekati dan mempelajari ilmu pengetahuan daripada ulama’. Ini
tanda kita mengagungkan dan membesarkan Allah. Allah berfirman dalam surah
Al-Hajj ayat 32:
“Demikianlah (ajaran Allah), sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah
maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu
kesan daripada sifat-sifat taqwa hati (orang yang beriman)”.
Marilah kita menyediakan prasarana pendidikan yang boleh melahirkan
ramai ulama’ di kalangan anak-anak kita generasi baru, agar kesinambungan
pengajaran Rasul itu dapat diteruskan. Marilah kita menyokong dan bekerjasama
dengan ulama’ untuk menobatkan syiar Islam melalui dakwah dan perjuangan
Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sesungguhnya ketinggian ulama’ adalah lambang ketinggian syiar Islam.
Rendah dan terpinggirnya ulama’ bermakna lemah dan terpinggirlah Islam.

Mereka pewaris Rasul untuk membimbing umat. Mereka menghidupkan sunnah
Rasul yang sudah ditinggalkan. Kerana itulah Allah memerintahkan agar mereka
dihormati, dimuliakan bahkan segenap ilmuan perlu dihargai peranan mereka.
Hasan Al-Basri menegaskan: Meninggalnya seorang Alim merupakan suatu
kehilangan besar yang sukar dicari ganti sepanjang zaman. Bahkan ada hadith
riwayat Ad-Darimi dan At-Tabrani menegaskan dengan maksudnya:
“Kematian seorang Alim itu merupakan musibah yang tidak dapat ditukar ganti
serta lumpang yang sukar ditutup”.
(Riwayat Ad-Darimi dan At-Tabrani)
Sebab itu martabat dan peranan ulama’ hendaklah dihormati dan dihargai.
Pertubuhan dan gerakan mereka wajib disokong sama ada di peringkat nasional
mahupun antarabangsa. Kegiatan mereka hendaklah dibantu dan diperkasa
untuk kebaikan umat Islam dan manusia seluruhnya. Maruah dan nama baik
mereka hendaklah dipertahankan kerana ia adalah tanggungjawab setiap umat
yang cintakan Islam.
“Dan tidaklah sepatutnya bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi
berperang); mengapa tidak, sekelompok daripada tiap-tiap puak (kabilah) antara
mereka memperdalami ilmu agama, dan supaya mereka dapat memberi
peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali
kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada
melakukan larangan Allah) ”.
(Surah At-Taubat: 122)

No comments: