Friday, January 21, 2011

Perbandingan Sistem Perbankan Islam Dan Konvensional

Khutbah Jumaat 21 Januari 2011: Perbandingan Sistem Perbankan Islam Dan Konvensional
DISAMPAIKAN OLEH NAZIR

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita memperkasakan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan
mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia
mahupun di akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Masih ramai di antara kita yang keliru dengan keuntungan atau dividen
yang kita peroleh hasil daripada simpanan kita di bank, sama ada ia dianggap
riba’ atau tidak, haram atau halal. Ini disebabakan oleh kekeliruan dalam
membezakan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional.
Hakikatnya, kedua-dua sistem ini sangat berbeza, ia memisahkan antara
syurga dan neraka, yang mana Allah S.W.T. telah menjanjikan azab neraka
kepada pengamal-pengamal sistem berteraskan riba’. Firman Allah S.W.T.
dalam surah Al-Baqarah ayat 275:
“Orang yang memakan (mengambil) riba’ itu tidaklah berdiri (ketika bangkit dari
kubur-kubur mereka) melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan
disebabkan penyakit gila yang menyerang mereka; yang demikian ialah
disebabkan mereka mengatakan, “bahawa sesungguhnya berjual-beli itu sama
sahaja seperti riba’ ” ; padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga)
dan mengharamkan riba’ ; oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya
peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil
riba’), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu)
adalah menjadi haknya serta urusannya terserahlah kepada Allah; manakala
sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba’ itu), maka itulah
penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”.
Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:
“Apabila riba’ dan zina menjadi-jadi di sesebuah kampung (Negeri), maka
sesungguhnya mereka telah membenarkan mereka itu diazab oleh Allah”.
(Riwayat Al-Hakim)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Terdapat beberapa perkara yang membezakan diantara perbankan Islam
dan perbankan konvensional. Antaranya:
Pertama : Sistem perbankan Islam ditubuh berdasarkan sistem muamalat
Islam yang berteraskan iman dan taqwa kepada Allah S.W.T.
manakala perbankan konvensional pula berdasarkan keuntungan
tidak mengikut syariat Islam.
Kedua : Di dalam perbankan Islam juga, konsep pahala dan dosa sentiasa
dititikberatkan berbeza dengan sistem perbankan konvensional yang
langsung tidak mengendahkannya.
Ketiga : Kewujudan dan pelaksanaan sistem perbankan Islam adalah
merupakan satu tanggungjawab agama yang wajib dilaksanakan,
sebaliknya perbankan konvensional tidak mengaitkan persoalan
syariat di dalam urusan yang dilakukan.
Keempat : Matlamat utama dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam tidak
lain untuk keredhaan Allah S.W.T.
Kelima : Antara prinsip-prinsip yang dijunjung oleh perbankan Islam adalah
keadilan. Ia menunjukkan nilai moral yang ingin dijunjung tinggi
melalui sistem perbankan Islam. Firman Allah S.W.T. dalam surah
An-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (menggunakan)
harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan
sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara
rela di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Perbezaan antara perbankan Islam dapat dilihat daripada aspek konsep
perbankan dan operasinya. Antara perbezaan tersebut ialah:
Pertama : Dalam perbankan Islam, segala aktiviti adalah berdasarkan sistem
muamalat Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah serta
pandangan para ulama’. Manakala di perbankan konvensional,
aktivitinya bersumberkan kepada sistem ekonomi riba’. Perbezaan ini
dapat dilihat secara jelas dengan penubuhan Jawatankuasa
Penasihat Syariah di kebanyakan bank yang menawarkan
perkhidmatan sistem perbankan Islam. Keahlian Jawatankuasa
Syariah ini terdiri daripada ulama’ dan pakar-pakar kewangan Islam.
Mereka berperanan untuk memastikan sistem yang dilaksanakan
selari dengan syariat Islam.
Kedua : Perbankan Islam menjalankan konsep jual-beli dalam mendapatkan
keuntungan, yang mana keuntungan tersebut adalah hasil dari
perniagaan jual-beli yang dijalankan. Manakala perbankan
konvensional adalah dengan menggunakan konsep pinjaman atau
hutang secara konvensional dalam menjalankan perniagaan mereka.
Hasilnya, mereka mendapat riba’ atau tambahan yang dikenakan ke
atas pinjaman yang diberikan dan sumber-sumber lain yang
diharamkan oleh syarak.
Ketiga : Antara aktiviti-aktiviti perbankan Islam yang berlandaskan kontrakkontrak
perniagaan yang dibenarkan yang dibenarkan oleh Islam
adalah seperti Al-Mudharabah, Al-Musyarakah, Al-Bai’ bi al-Tsaman,
Al-Ijarah dan banyak lagi. Di mana kontrak-kontrak perniagaan ini
adalah berperanan sebagai pilihan kepada sistem pinjaman riba’
yang dijalankan di bank-bank konvensional. Tambahan lagi, kontrak
ini telah disahkan halal oleh Badan Pemantauan Syariah Bank
Negara Malaysia dan Badan Pemantauan Syariah di bank-bank
Islam berkenaan sebelum produk-produk tersebut di pasarkan.
Keempat : Dari sudut hubungan dengan para pelanggan, bank konvensional
hanya terhad kepada hubungan antara penghutang dan pemiutang
sahaja. Namun dalam perbankan Islam, hubungan dengan para
pelanggan adalah di antara penjual dan pembeli, serta bertindak
selaku pengurus projek ataupun ahli kewangan yang bergiat di dalam
pengumpulan wang atau amanah yang berdasarkan kepada
perkongsisan atau rugi.
Kelima : Selain menjalankan aktiviti perniagaan dan menunaikan zakat,
menjadi tanggungjawab kepada perbankan Islam melaksanakan
program-program kebajikan dan menghulurkan bantuan serta
sumbangan kepada masyarakat. Ini telah dizahirkan melalui
program-program seperti bantuan kepada rumah-rumah kebajikan,
keluarga miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan saudara baru. Di
samping itu, sumbangan dan bantuan kemanusiaan juga disalurkan
kepada mangsa-mangsa bencana alam seperti gempa bumi, banjir
kilat dan tsunami. Ini semua adalah hasil daripada keuntungan yang
diperolehi melalui perniagaan yang dijalankan. Bagi sesetengah kes
pula, pihak bank sanggup menggugurkan tuntutan terhadap baki
hutang pelanggan yang telah ditimpa musibah sebagai contohnya
pelanggan yang mengalami masalah hilang upaya kekal atau
meninggal dunia.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Aspek lain yang membezakan di antara perbankan Islam dan perbankan
konvensional adalah melalui produk-produk yang dipasarkan. Antaranya ialah:
Pertama :Dalam akaun simpanan biasa, perbankan Islam mengenengahkan
kontrak simpanan Wadi’ah, iaitu simpanan dengan jaminan. Bank
sebagai pemegang simpanan akan menggunakan wang tersebut
bagi tujuan tertentu dan menjamin simpanan wang yang diletakkan
oleh pelanggan tanpa ada penambahan atau pengurangan. Ini
adalah kerana di dalam Islam janji pulangan di dalam akaun
simpanan ini adalah riba’. Berbeza di dalam akaun simpanan bank
konvensional, setiap pemegang akaun dijanjikan pulangan tertentu
untuk simpanan yang dibuat. Akibatnya, pemegang akaun simpanan,
disogok dan dikaburi dengan pulangan riba’ pada setiap akaun
mereka.
Kedua :Dalam kontrak pelaburan, perbankan Islam menggunakan konsep
perkongsian keuntungan dan risiko yang sebenar dan tidak
membebankan kedua-dua pihak atau salah satu pihak. Sebagai
contoh, dalam konsep Al-Mudharabah (pelaburan Islam), pelanggan
sebagai pelabur dan bank sebagai pengusaha berkongsi keuntungan
ketika mendapat keuntungan, manakala kerugian akan ditanggung
oleh pelabur. Ini bertepatan dengan kaedah feqah yang bermaksud
”setiap pulangan adalah dengan risiko”.
Perkongsian untung dan risiko secara sebenar ini adalah adil dan tidak
membebankan mana-mana pihak yang terlibat. Berbeza dengan pelaburan
konvensional yang memberikan pulangan tetap dijanjikan diawal kontrak, yang
mana pelaburan ini tidak melibatkan perkongsian sebenar di antara pihak
terlibat. Pulangan tetap yang dijanjikan diawal kontrak pelaburan adalah riba’ dan
haram dalam Islam.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita segera bermuhasabah dan mentaati perintah Allah S.W.T dengan
memastikan pengurusan kewangan, sumber rezeki dan makanan yang
digunakan untuk diri sendiri dan keluarga adalah dari sumber yang halal. Kita
hendaklah mendukung dan menyokong setiap institusi perbankan dan koperasi
Islam dengan ikut serta menjadi pelanggan atau ahli institusi berkenaan.
Janganlah bersikap acuh tidak acuh dan berdiam diri tanpa berusaha ke arah
meneguhkan institusi berkenaan demi membangun masa depan umat Islam dan
rakyat. Mudah-mudahan dengan demikian, kehidupan keluarga kita dan
masyarakat Islam beroleh keberkatan dan menjadi insan soleh.
“Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan
menjauhi saki-baki riba’ (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika
benar kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak mahu melakukan (perintah
mengenai larangan riba’ itu), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan
memerangi kamu (akibatnya kamu tidak akan selamat), dan jika kamu bertaubat
(menghentikannya), maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah modal pokok harta
kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak menganiaya (kepada sesiapa), dan
kamu juga tidak teraniaya”.
(Surah Al-Baqarah: 278-279)

No comments: