Thursday, April 7, 2011

Membazir : Sifat Keji Yang Wajib Dihindari

Khutbah Jumaat 1 April 2011: Membazir : Sifat Keji Yang Wajib Dihindari


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama berusaha untuk meningkatkan keimanan kita
kepada Allah S.W.T dalam setiap waktu dan keadaan, dengan sentiasa
melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, mudahmudahan
dengan melakukan demikian kita akan beroleh kejayaan di dunia dan
mendapat keredhaan Allah S.W.T di akhirat.
Pada hari Jumaat yang penuh berkat ini, marilah kita merenung sejenak ke
dalam diri kita serta bermuhasabah mengenai apa yang telah kita lakukan dan
patut laksanakan dalam setiap aktiviti seharian, agar ia selari dengan tuntutan
syariat Islam. Satu tajuk yang kita akan bincangkan pada hari ini ialah mengenai
satu sifat tercela yang sering dilakukan oleh segelintir masyarakat kita iaitu
amalan suka membazir. Minbar Jumaat pada hari ini juga ingin mengajak semua
umat Islam khususnya jemaah yang ada di sini agar sama-sama menghindari
sifat suka membazir.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita sedia maklum bahawa Islam melarang keras umatnya mengamalkan
cara hidup suka membazir dalam semua urusan kehidupan kita termasuk urusan
yang berkaitan dengan perbelanjaan harta, pengurusan masa dan penggunaan
tenaga. Perbuatan membazir merupakan satu tabiat buruk manusia yang sering
terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak. Mereka
seolah-olah lupa bahawa rezeki yang diperolehi itu sebenarnya kurniaan Allah
S.W.T. Mereka menggunakan rezeki tersebut secara tidak wajar dan bukan pada
tempat yang sepatutnya.
Sehubungan dengan itu, Imam As-Syafi’e menyatakan bahawa pembaziran
itu ialah membelanjakan harta bukan pada jalan keperluan dan kebenaran, tetapi
tidaklah dikatakan membazir jika dilakukan pada pekerjaan atau amal kebajikan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Walaupun para ulama’ lebih banyak mentakrifkan bahawa pembaziran itu
hanya dalam lingkungan pembaziran harta sahaja, namun ia tidaklah mustahil
berlaku pembaziran dalam perkara-perkara yang lain. Islam menetapkan bahawa
apa sahaja perbuatan yang mengarah kepada pengurusan atau pekerjaan yang
merugikan, maka ia juga termasuk dalam erti kata melakukan pembaziran.
Berdasarkan apa yang telah disebutkan tadi, maka pembaziran boleh
dibahagikan kepada tiga bahagian;
Pertama : Pembaziran harta.
Kedua : Pembaziran masa.
Ketiga : Pembaziran tenaga.
Ketiga-tiga jenis pembaziran ini boleh berlaku tanpa kesedaran kita. Ianya
berpunca daripada kelalaian kerana terlalu ghairah mengejar cita-cita atau terlalu
lemah dalam mengurus atau mentadbir sumber yang ada seperti masa dan
tenaga.
Ibnu Al-Qayyim Al-Jauzi mengatakan, terdapat sembilan bentuk
pembaziran yang sering dilakukan oleh manusia antaranya;
Pertama : Pembaziran ilmu pengetahuan iaitu membazir jika tidak
diamalkan pada jalan kebaikan.
Kedua : Pembaziran amalan iaitu membazir jika melakukannya
dengan hati yang tidak ikhlas.
Ketiga : Pembaziran kekayaan iaitu membazir jika dibelanjakan
pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredhai
Allah S.W.T.
Keempat : Pembaziran hati iatu membazir jika hati yang kosong
kerana tidak mengasihi Allah S.W.T.
Kelima : Pembaziran tubuh badan iaitu membazir jika tidak
digunakan untuk beribadah kepada Allah S.W.T.
Keenam : Pembaziran cinta iaitu membazir jika kita mencintai orang
atau perkara lain melebihi cinta kepada Allah S.W.T.
Ketujuh : Pembaziran masa iaitu membazir jika tidak digunakan dan
diurus dengan sebaiknya.
Kelapan : Pembaziran akal iaitu membazir jika memikirkan sesuatu
yang hanya untuk dunia semata-mata tanpa bermanfaat
kepada agama.
Kesembilan : Pembaziran zikir iaitu membazir jika tidak menyebutnya
dengan betul, hilang tumpuan, bermain-main atau sambillewa
sahaja dan sebagainya.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Justeru, kita sebagai umat Islam perlu meninggalkan sifat suka membazir
kerana sebagaimana yang telah diketahui bahawa membazir adalah satu sifat
yang buruk dan keji.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Israk ayat 27:
إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan dan
Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.
(Al-Israk: 27)
Cuba kita lihat gaya segelintir masyarakat kita yang suka berbelanja
mewah dan ianya seakan-akan menjadi satu budaya, dan yang lebih
menyedihkan lagi ia berlaku bukan di kalangan orang yang berpendapatan tinggi
sebaliknya berlaku di kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dan
rendah, yang cuba meniru gaya mewah sehingga lupa tanggungjawab kepada
yang lebih utama.
Mereka sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar semata-mata
untuk hidup bermewah-mewah, berbelanja melebihi daripada keperluan, ghairah
menukar atau membeli kenderaan baru bagi tujuan bermegah-megah.
Sebaliknya begitu bakhil atau berhati-hati berbelanja bagi faedah anak-anak dan
keluarga.
Oleh yang demikian, kita sebagai individu muslim hendaklah sentiasa
mempertingkatkan usaha dengan menerapkan nilai-nilai Islam dalam setiap
bidang dan pekerjaan yang diceburi. Kita hendaklah sedar dan sentiasa
berusaha untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab menurut ajaran Islam.
Di samping itu hendaklah kita berfikir panjang sebelum membuat sesuatu
keputusan supaya tidak membawa kepada pembaziran.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam sangat menggalakkan amalan hidup bersederhana kerana ia menjadi
asas kepada kesejahteraan dan kebahagiaan kita. Di samping mendorong
supaya mudah membantu dan menolong orang-orang yang memerlukan sebagai
tanda kesyukuran kita dengan nikmat pemberian yang Allah SWT kurniakan
kepada kita.
Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 26 :
وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًا
”Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang-orang miskin serta orang musafir
akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu
dengan boros dan melampau-lampau”.
Apabila kita teliti, kita dapati pembaziran itu akan membawa kesan yang
buruk terhadap rohani dan jasmani seseorang. Sesungguhnya Allah SWT amat
murka ke atas individu yang tidak pernah bersyukur di atas nikmatnya dan
mereka ini akan menerima balasan buruk daripada Allah SWT di atas kelalaian
menjaga amanat harta kurniaan Allah. Kita harus ingat bahawa harta yang kita
miliki bukan hak mutlak kita bahkan sebenarnya adalah hak Allah SWT. Kita
hanya sebagai pengurus yang pasti akan ditanya dari mana harta yang kita
perolehi dan ke mana kita belanjakan harta tersebut. Janganlah kita
menganggap harta yang kita miliki itu sebagai milik kita yang mutlak dan kerana
itu kita berbelanja sesuka hati.

Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 43 :
لَا جَرَمَ أَنَّمَا تَدۡعُونَنِىٓ إِلَيۡهِ لَيۡسَ لَهُ ۥ دَعۡوَةٌ۬ فِى ٱلدُّنۡيَا وَلَا فِى ٱلۡأَخِرَةِ وَأَنَّ مَرَدَّنَآ إِلَى ٱللَّهِ وَأَنَّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ هُمۡ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ
"Tidak syak lagi, Bahawa makhluk-makhluk Yang kamu ajak Aku menyembah-
Nya itu tidak dapat menyahut sebarang seruan sama ada di dunia ataupun di
akhirat; dan Sesungguhnya tempat kembali kita semua ialah kepada Allah, dan
sebenarnya orang yang melampaui batas (orang yang kafir), itulah ahli neraka”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Akhirnya, marilah kita mengamalkan sifat berjimat-cermat dan
bersederhana, berbelanja secara berhemat serta menjauhi sifat membazir bagi
tujuan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Mengamalkan sifat berjimat dan
tidak suka membazir akan mendatangkan banyak faedah dalam kehidupan kita.
Antaranya ialah;
Pertama : Dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam berbelanja
atau pekerjaan akan mendapat pahala dan keberkatan dari
Allah SWT.
Kedua : Dengan mengamalkan sikap berjimat-cermat dan bersederhana
dapat menyelamatkan kita daripada muflis akibat hutang yang bertimbun
kerana berbelanja secara berlebihan menurut hawa nafsu.
Ketiga : Dengan mengamalkan sikap bersederhana membolehkan kita
mampu untuk bersedekah pada jalan Allah, lebih-lebih lagi
menunaikan zakat yang pastinya melengkapkan lagi
penyempurnaan rukun Islam.
Keempat : Kita akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup
kita di saat menghadapi kesusahan.
Semoga kita sentiasa memastikan diri kita tidak termasuk di kalangan
orang yang suka membazir.
“Dan (pada saat itu), seseorang lelaki yang beriman daripada keluarga Firaun
yang menyembunyikan imannya berkata: "Apakah kamu hendak membunuh
seorang lelaki kerana dia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? sedangkan dia
telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan daripada Tuhan
kamu? kalau dia seorang Yang berdusta, maka Dia lah yang akan menanggung
dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar, nescaya kamu akan
ditimpa oleh sebahagian daripada (azab) yang dijanjikannya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang yang melampaui
batas lagi pendusta”.
(Al-Ghafir : 28)
وَقَالَ رَجُلٌ۬ مُّؤۡمِنٌ۬ مِّنۡ ءَالِ فِرۡعَوۡنَ يَكۡتُمُ إِيمَـٰنَهُ ۥۤ أَتَقۡتُلُونَ رَجُلاً أَن يَقُولَ رَبِّىَ ٱللَّهُ وَقَدۡ جَآءَكُم بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ مِن رَّبِّكُمۡۖ وَإِن يَكُ ڪَـٰذِبً۬ا فَعَلَيۡهِ كَذِبُهُ ۥۖ وَإِن يَكُ صَادِقً۬ا يُصِبۡكُم بَعۡضُ ٱلَّذِى يَعِدُكُمۡۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٌ۬ كَذَّابٌ۬ (٢٨)

No comments: