Khutbah Jumaat 22 Oktober 2010: Jangan Diundang Kemurkaan Allah
Disampaikan oleh Khatib Jemputan : Ustaz Haidar bin Taslin
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah SWT. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mengingkari perintah Allah bermakna kita
sengaja mengundang kemurkaan-Nya sebagaimana Firman-Nya di dalam surah
Al-Israk ayat 16 yang dibacakan tadi yang bermaksud:
"Apabila sampai saat Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah
negeri, Kami perintahkan (terlebih dahulu) orang yang melampaui batas dengan
kemewahan antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan
melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami
menghancurkannya sehancur-hancurnya".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sejak kebelakangan ini kita dapati pelbagai bencana alam yang
merunsingkan telah berlaku seperti ancaman tsunami, gegaran bumi, ribut
kencang dan lain-lain lagi. Ada kalanya hujan turun dengan kadar yang banyak
bukan pada kebiasaan musimnya. Ada kalanya pula cuaca menjadi terlalu panas
sehingga ke tahap membahayakan kesihatan manusia. Para Saintis mengkaji
dan mengemukakan pelbagai teori yang antaranya mengklasifikasikan senario
ini sebagai pemanasan global.
Dari satu sudut yang lain, kita tidak boleh menafikan bahawa senario begini
adalah permulaan amaran Allah SWT., kesan dari kerosakan yang dilakukan
manusia kepada alam ini. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 41;
“Telah nyata pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa
yang telah dilakukan oIeh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana
Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan
perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan
bertaubat)".
Namun terlalu sedikit di kalangan kita yang ingin mengambil iktibar di
sebalik sesuatu yang ditimpakan Allah SWT. Mereka lebih meyakini teori dan
pandangan manusia yang hanya bersandarkan pengalaman berbanding
ancaman Allah SWT.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Apabila Allah SWT. menurunkan sesuatu bala bencana, sudah pasti ada
sebab dan musababnya. Sama ada disebabkan oIeh kezaliman, kemaksiatan,
kelalaian terhadap peringatan-peringatan Allah atau mungkin juga sebagai
suatu dugaan untuk menguji tahap keimanan hamba-hamba-Nya. Apa
yang jelas, apabila bala bencana itu turun, ia tidak memilih sesiapa walaupun
ianya berpunca daripada sebahagian pihak sahaja. Firman Allah di dalam surah
Al-Anfal ayat 25:
“Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa
bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di kalangan
kamu secara khusus, (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahuilah
bahawa Allah Maha Berat azab-Nya".
Pada 26.12.2004 Peristiwa Tsunami telah berlaku dan mengorbankan
ribuan nyawa. Masihkah kita ingat lagi, di saat umat Islam bersedia meraikan
‘Iduladha, negara kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh; yang
mengorbankan 4 nyawa dan ramai lagi kehilangan tempat tinggal mereka. Kini,
setelah lama berlalu, kita mula dirisaukan lagi dengan gegaran-gegaran bumi
yang berlaku di negara-negara jiran?. Apakah kita masih merasa selesa
lantaran bencana tersebut tidak berlaku di tempat kita?.
Begitulah antara siri-siri ujian atau mungkin juga bala bencana yang
berlaku dan akan terus berlaku seandainya manusia masih lagi berpaling
daripada peringatan-peringatan Allah SWT. Ujian atau bala bencana itu tidak
terhenti sekadar itu sahaja . . .Ia mungkin berulang selagi mana manusia masih
takabbur, angkuh, sombong dan bangga diri.
Dengan peristiwa seperti ini, sepatutnya membuka mata hati kita semua
supaya segera bertaubat, mentaati dan berserah diri hanya kepada Allah.
Manusia tidak seharusnya menyalahkan takdir Allah semata-mata, sedangkan
peristiwa-peristiwa malang yang berlaku adalah kerana kerakusan, ketamakan
dan kesombongan mereka sendiri. Malang sekali kerana peristiwa sebegini
jarang dijadikan iktibar dan panduan. Hanya sekejap sahaja menimbulkan rasa
gerun kemudian dilupakan begitu sahaja.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bala bencana boleh berlaku secara tiba-tiba sama ada siang atau malam
tanpa sebarang amaran. Allah juga mengingatkan manusia di muka bumi ini
supaya jangan terlalu yakin bahawa mereka terkecuali daripada ditimpa
bencana. Ingatlah apabila manusia leka dan membiarkan kemaksiatan
bermaharajalela, maka itu merupakan isyarat bahawa mereka bakal diruntuh dan
dihancurkan oIeh Allah SWT. Perkara ini telah pun dibuktikan oIeh Allah SWT.
kepada kaum-kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita
contohnya seperti kaum Nabi Lut ‘Alaihis-Salam yang mengamalkan hubungan
sesama jenis, akhirnya dihancurkan dan dilenyapkan dari muka bumi Allah ini.
Begitu juga dengan kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh dan lain-lain lagi yang
ditimpakan bencana oIeh Allah disebabkan keingkaran mereka.
Kita tidak nafikan bahawa segala punca kemurkaan yang mendekatkan kita
dengan bala bencana Allah SWT. telah berlaku dalam masyarakat kita pada hari
ini. Antaranya adalah kerana;
Pertama: Terlalu banyak kemungkaran dan maksiat yang dilakukan seperti
bunuh, rogol, rompak dan lain-lain lagi.
Kedua: Berleluasanya Pergaulan bebas di kalangan remaja seperti di
Taman-taman Rekreasi, di Tempat-tempat Hiburan atau di mana
jua sehingga berlakunya maksiat perzinaan yang menghasilkan kes
pembuangan bayi.
ketiga : Anak-anak menderhaka kepada kedua ibu bapanya sehingga
sanggup meninggalkan mereka yang telah tua di rumah-rumah
kebajikan.
Keempat: Amalan rasuah menjadi-jadi dan dianggap amalan biasa sama ada di
peringkat bawahan mahu pun di peringkat atasan.
Apa yang menyedihkan, Pusat-pusat Hiburan tumbuh bagaikan cendawan,
para artis menjadi pujaan, teguran dan nasihat ulama tidak dihiraukan, malahan
mereka pula menjadi bahan hinaan.
Selain itu, tidak kurang juga manusia-manusia jahil yang mendakwa
memiliki pelbagai keramat dan 'azimat sehingga ada yang mengakui bahawa
pemimpin mereka yang telah mati sebenarnya tidak mati tetapi ghaib yang
kononnya dikatakan akan kembali hidup semula. Malah ada juga yang mengaku
sebagai rasul kaum atau nabi baru, wali dan sebagainya. Tujuannya tidak lain
dan tidak bukan hanyalah untuk mencari keuntungan diri sendiri dengan cara
menyesatkan orang lain. Ke semuanya ini hanya akan mengundang kemurkaan
Allah SWT.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam suasana kemungkaran yang berleluasa di sekeliling kita, alangkah
baiknya jika para ilmuan, para pemimpin, organisasi dan politik, usahawan,
remaja, belia dan para pencinta agama dapat disatukan fikrah dan pendirian
mereka seterusnya bersama-sama pihak berwajib membanteras segala
kemungkaran dan anasir-anasir yang membawa kerosakan.
Bagi mengelakkan bala bencana Allah ini, marilah kita kembali kepada
ajaran Islam dan menjadikannya sebagai landasan kehidupan serta bersabar
dalam menghadapi segala bentuk ujian daripada Allah SWT.
Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah dan segera bertaubat
memohon kerahmatan-Nya dan berdoa supaya terhindar daripada mala petaka
yang tidak diingini. Jauhilah diri kita daripada terjebak ke dalam perkara-perkara
maksiat dan mungkar.
"Sehingga aku berkata (kepada mereka), mohonlah ampun kepada Tuhan
kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun".(Nuh 10)
No comments:
Post a Comment