Friday, October 29, 2010

Pemimmpin yang Amanah

"PEMIMPIN YANG AMANAH"
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian ,
Saya menyeru kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah
buktikan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dengan taat dan patuh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita beroleh rahmat dan diletakkan sebagai golongan hamba
yang diredhai Allah S.W.T .
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian ,
Perkembangan tamadun manusia pasti mencatatkan bahawa berdirinya
sesebuah pemerintahan. Semuanya terbina dengan adanya pemimpin yang
berkaliber. Kehidupan rakyat tanpa pemimpin yang memandu halatuju mereka
hanya akan membawa pelbagai kemelut dalam masyarakat dan negara.
Pemimpin ialah umpama kepala bagi sesebuah jasad, mereka juga
merupakan simbol kesatuan dan kekuatan sesebuah organisasi. Pemimpin yang
hebat merupakan individu yang mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai
khalifah bersesuaian dengan garis panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Firman
Allah S.W.T dalam Surah Al-Haj, ayat 41 :
“Iaitu mereka (Umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan
memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat,
dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan
kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah
kesudahan segala urusan”.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian ,

Islam memandang isu kepimpinan suatu perkara yang amat besar.
Beberapa nota penting yang perlu kita ketahui berkaitan kepimpinan iaitu :
Pertama : Islam menganggap setiap individu adalah pemimpin sama ada
pemimpin masyarakat, persatuan dan sebagainya.
Kedua : Sesungguhnya melantik pemimpin adalah tuntutan syariat. Islam
menyarankan bagi perkumpulan manusia yang berjumlah tiga orang
dan lebih agar memilih salah seorang daripada mereka sebagai
ketua. Jelas kepada kita keutamaan melantik ketua dan membentuk
organisasi dalam perkumpulan manusia yang ramai adalah penting.
Ketiga : Hendaklah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin yang
jujur dan amanah.
Sesungguhnya tidak akan terlaksana pergerakan sesebuah kumpulan atau
organisasi kecuali dengan adanya pemimpin dan pengikutnya yang taat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Kepimpinan Islam dalam semua peringkat organisasi hanya diberikan
kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi cirri-ciri seorang
pemimpin yang ikhlas dan bertawakkal kepada Allah. Pemimpin sanggup turun
padang bertemu rakyat, melihat sendiri penderitaan, kemiskinan, kesakitan
mereka sambil membantu dengan penuh keikhlasan. Seorang pemimpin
hendaklah sedar tanggungjawab yang digalas adalah besar. Amanah yang
dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Kerana itulah Rasulullah s.a.w awal-awal
lagi menegaskan supaya umatnya menjadi pemimpin yang amanah. Pernah
suatu ketika Abu Zarr al-Ghifari berkata kepada Rasulullah yang bermaksud:
"Tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi pemimpin wilayah?" Maka
baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : ”Wahai Abu Zarr, anda
lemah. Ini adalah amanah. Ia adalah sumber kehinaan dan penyesalan di hari
kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul
dan menunaikan segala tuntutannya."
(Riwayat Muslim)
Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan berat, namun seorang
pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan tuntutan yang
tidak mampu ditunaikannya. Islam mengajar kita melaksanakan sesuatu
mengikut kemampuan yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak
berjaya, akan tetapi apa yang ditanya kelak ialah mengapa tidak berusaha
menunaikan amanah?.
Menyedari besarnya amanah sebagai pemimpin, setiap individu yang
menggalas tanggungjawab ini hendaklah sentiasa ingat bahawa semua perkara
perlu kepada pergantungan kepada Allah SWT. Semua kelancaran tugas,
kejayaan dalam mencapai matlamat tidak akan berhasil kecuali dengan taufik
dan pertolongan Allah Ta’ala. Iltizam dalam kerja, kuatkan tawakkal dan
pohonlah bantuan daripada Allah SWT.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Dalam perjalanan hidup insan, matlamat yang jelas merupakan satu perkara
yang sangat penting kerana ia akan mendasari tindakan-tindakan yang
dilaksanakan. Islam telah menggariskan beberapa matlamat utama yang perlu
dicapai dan ia memerlukan satu system kepimpinan bagi memastikan
pelaksanaan yang syar’ie dan jelas antaranya adalah;

PERTAMA : TUGAS SEBAGAI KHALIFAH.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Baqarah, Ayat 30 :
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : “Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi….”
Para ulama’ menjelaskan bahawa tugas khalifah ialah meneruskan tugas Nabi
dan Rasul dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia
dengannya(agama). Dalam takrifan ini, kita dapati dua perkara yang penting
dalam tujuan kejadian manusia iaitu menjaga agama (amar maaruf nahi
mungkar) dan mentadbir dunia (berdasarkan syariat Allah)
Pengiktirafan manusia sebagai khalifah disertakan ‘peruntukan-peruntukan
kuasa’ yang tertentu menjadikan tugas pemimpin untuk melaksanakan syariat
merupakan satu tuntutan yang pasti. Pemimpin wajib melaksanakan syariat Allah
sepenuhnya, kerana dengan cara ini sahaja kemakmuran akan dapat dikecapi.
Pemimpin mestilah yakin untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam kerana ianya
dijamin oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran, ayat 19:
”Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam...”

KEDUA : MENYAMBUNG TUGAS RASUL
Bahawa Rasulullah saw merupakan utusan terakhir menegaskan tiada lagi
pemimpin umat bertaraf rasul, namun tugas menegakkan syariat Allah
merupakan kewajipan sepanjang zaman. Oleh itu, perlulah diwujudkan pemimpin
di kalangan manusia itu sendiri untuk menyambung tugas para rasul yang
terdahulu. Walaupun tugas para rasul ini sewajarnya diteruskan oleh semua
umat Islam.
KETIGA : ‘IBADATULLAH (PENGABDIAN DIRI KEPADA ALLAH).
Semua manusia adalah hamba Allah. Sama ada mereka orang biasa ataupun
pemimpin mereka terletak di bawah tujuan mereka diciptakan seperti yang
dinyatakan oleh firman Allah Ta’ala di dalam Surah az-Dzariat, ayat 56:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepada-Ku”.
Imam Abu Yusuf r.a menulis kepada khalifah Harun ar-Rasyid menasihati beliau:
“Wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya bagi Allah sahajalah segala pujian,
yang telah mengangkat kamu melaksanakan urusan yang amat besar,
pahalanya amat besar dan balasan seksanya pun amat besar….”.
Hal ini menunjukkan bahawa persoalan kepimpinan ini termasuk di dalam
perkara ibadat yang menjadi sebahagian daripada hikmah kejadian manusia.
Oleh itu, kepimpinan tidak boleh lari daripada persoalan dosa dan pahala, halal
dan haram dan sebagainya.

KEEMPAT : KEMASLAHATAN UMMAH
Pemimpin hendaklah bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak semua
pihak terpelihara. Apabila keadaan ini dapat direalisasikan maka nasib ummat
akan terbela dan maslahah akan terjaga. Ini adalah berdasarkan konsep
keadilan di dalam Islam yang menuju ke arah keamanan sejagat dan
kesejahteraan bersama.

Kesimpulannya, marilah kita berusaha bersama-sama menjadi pemimpin
yang melaksanakan amanah kepimpinan seperti yang dituntut oleh Islam.
Apabila kita melaksanakan tugas dengan penuh keadilan dan kerendahan diri
kepada Allah S.W.T, maka yakinlah bahawa itu adalah merupakan usaha kita
untuk merintis jalan ke syurga yang akan dapat dinikmati buat selama-lamanya.
Justeru, kita hendaklah muhasabah diri, adakah telah sempurna amanah
dan kepimpinan yang ditugaskan kepada kita?. Mohonlah pertolongan dan
bantuan Allah agar dipermudahkan segala urusan dalam melaksanakan beban
amanah dan kepimpinan ini, demi keselamatan dan kemaslahatan hidup kita di
dunia yang sementara ini dan akhirat yang kekal selama-lamanya.
“Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman, apabila Allah
dan Rasul-Nya menetapkan suatu keputusan mengenai sesuatu perkara,
mereka mempunyai pilihan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang
menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat
dengan kesesatan yang nyata”.
(Surah Al-Ahzab:36)

No comments: