Thursday, November 11, 2010

MEMBANGUN MASYARAKAT MITHALI

Khutbah Jumaat 12 November 2010:

“MEMBANGUN MASYARAKAT MITHALI”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi
selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita
kepada Allah Subhanahu Wata'ala, melaksanakan segala perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada
Allah S.W.T dan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah saw
serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya akan
memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.


Sidang Jumaat Yang Mulia,
Masyarakat Mithali ialah masyarakat contoh yang diisi dengan ilmu, amal dan
iman yang dibangunkan untuk membawa tugas besar menyinambungkan apa
yang pernah dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Tugas
membangunkan Masyarakat Mithali dalam suasana cabaran hari ini memerlukan
kesungguhan atau mujahadah yang tinggi untuk mencapai darjah kejayaan.
Hanya kekentalan yang jitu berbekalkan ilmu dan kefahaman yang jelas serta
kematangan bertindak mampu memikul tugas dan tanggungjawab yang berat
ini.
Dewasa ini kita melihat satu-persatu akidah umat Islam kian goyah, satupersatu
Institusi Keluarga rebah, gejala sosial menjadi semakin parah. Justeru,
umat Islam perlu segera bertindak untuk merawat kemelut yang ada demi untuk
mengembalikan semula Masyarakat Mithali agar ia dihurmati lagi disanjungi oleh
kawan dan lawan.

Adalah Menjadi tanggungjawab umat Islam untuk segera berjihad
mengembalikan kewibawaan umat Islam yang telah pudar kepada keagungan
dan kewibawaan yang tinggi. Kita perlu mereformasikan umat Islam agar segera
bangun untuk mengubah sikap, pemikiran dan tindakan ke arah yang lebih
positif. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’du ayat 11:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".
Perubahan yang dituntut kepada umat Islam ialah perubahan yang berani
berhadapan dengan cabaran arus perdana untuk mampu berdaya saing dan
mencari jalan keluar daripada tohmahan mundur, lemah, pasif dan jumud kepada
maju, kuat, aktif dan bertamadun. Ini menuntut kepada umat Islam berbuat
sesuatu untuk kembali menjadi Masyarakat Mithali:
Pertama: Kita mesti mampu membudayakan penguasaan ilmu di semua
bidang dan membudayakan ‘iqra’ (pembacaan) dalam semua sudut
bagi memperkasakan dan mengembangkan ilmu pengetahuan.
Keutamaan dengan mempelajari, mendalami dan mengetahui dasardasar
Islam serta hukum-hakamnya serta mampu bersaing di
persada dunia dengan melahirkan ilmuan-ilmuan yang pakar dalam
bidang sains, teknologi, politik, ekonomi, pertahanan dan lain-lain.
Kita yakin mampu berjaya serta bersaing lebih jauh lagi sehingga
digeruni oleh musuh-musuh Islam.

 Firman Allah SWT. dalam Surah
Ali ’Imran ayat 139:
“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu berdukacita padahal
kamulah orang yang tertinggi (kedudukannya di sisi Allah) jika kamu orang yang
(benar-benar) beriman”.
Jelaslah hanya dengan memahami Islam, beriman dan menguasai ilmu
pengetahuan sahajalah umat Islam akan kembali gemilang.
Kedua: Kita mesti mampu membawa keluarga dan masyarakat kita ke arah
penghayatan Islam yang sebenar. Keluarga Mithali dan masyarakat
yang dibina berasaskan tauhid kepada Allah SWT. adalah jaminan
terbinanya “Qaryati Jannati” sekaligus menjadi pemangkin kewujudan
Masyarakat Mithali.
Firman Allah dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu
dari api neraka”.
Keruntuhan Institusi Keluarga akan mengakibatkan kegagalan
Masyarakat Mithali dan kesannya terhadap umat Islam menjadi semakin
lemah.
Ketiga: Umat Islam mestilah memperkasakan tarbiyyah untuk anak-anak.
Pengabaian tarbiyyah terhadap anak-anak akan mengundang
kewujudan masyarakat yang rosak tersasar daripada landasan akidah
Islam. Hari ini berleluasanya gejala sosial adalah hasil daripada tidak
pedulinya ibu bapa dan masyarakat terhadap tarbiyyah. Justeru, adalah
menjadi kewajipan atas bahu kita membina tarbiyyah dan membentuk
anak-anak mengikut acuan Islam. Firman Allah dalam surah Ibrahim
ayat 40:

“Wahai Tuhanku!, Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan
demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami!, perkenankanlah doa
permohonanku”.
Keempat: Mendirikan dan memelihara ibadah solat. Dengan mendirikan solat
itulah sebenarnya tertegaknya syiar-syiar Islam. Ia adalah taubat
terpenting yang apabila disempurnakan, maka Allah akan
menyempurnakan urusan-urusan lain bagi hamba-Nya. Namun
apabila gagal mendirikannya, maka Allah SWT. akan menggagalkan
urusannya. Hadith daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda
Rasulullah s.a.w :
Sesungguhnya amalan yang pertama dihisab (dihitung) pada seorang hamba di
akhirat ialah solatnya, maka sekiranya baik solatnya, sesungguhnya dia
termasuk dalam golongan yang menang dan berjaya, dan sekiranya rosak
solatnya, maka dia termasuk dalam golongan yang kecewa dan rugi”.
Kelima: Menjana penyatuan dan perpaduan ummah berteraskan Islam dan
atas dasar taqwa kepada Allah. Hanya perpaduan atas dasar inilah
masyarakat Islam akan dipandang hebat dan kuat tetapi sebaliknya
perpaduan dan penyatuan atas dasar perkauman, keturunan atau
atas dasar harta tidak menjamin kecemerlangan umat Islam. Firman
Allah SWT. dalam Surah Ali-‘Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan
janganlah kamu bercerai-berai”.
Keenam: Kembali menegakkan hukum-hakam Allah. Pembinaan Masyarakat
Mithali tidak akan terlaksana sekiranya kita masih gagal meletakkan
hukum-hakam dan peraturan Allah di puncaknya untuk dirujuk
sebagai undang-undang dan peraturan. Kita melihat gejala riddah
(murtad), gejala sosial yang melampau sehingga peringkat
pembuangan bayi dan sebagainya berleluasa kerana
penyelesaiannya tidak dirujuk kepada Islam. Kita yakin selama mana
tidak ditegakkan hukum Allah Masyarakat Mithali akan hanya tinggal
ungkapan semata. Firman Allah SWT. dalam surah Al-Maidah ayat
49:

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu
mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada
sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika
mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah,
bahawasanya Allah mahu menimpakan mereka musibah (di dunia) disebabkan
sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Sesungguhnya kebanyakan daripada
umat manusia itu adalah orang yang fasiq”.
Sidang hadirin sekalian,
Marilah kita kembali kepada Islam dan memastikan undang-undang dan
peraturan Allah dapat ditegakkan sebagai penyelesaian tunggal terhadap
kemelut yang ada. Tegakkanlah Islam dalam rumahtangga kita, dalam
masyarakat kita dan seterusnya dalam keseluruhan hidup kita. Ketahuilah tugas
dan peranan mengembalikan Masyarakat Mithali yang dihurmati lagi disanjungi
adalah tanggungjawab kita bersama.
(An-Nahl:89).
“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu
dan menjadi hidayah serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan
bagi orang Islam”.


Khutbah Jumaat 12 November 2010: Membangun Masyarakat Mithali
Khutbah dibaca Oleh Imam bertugas Zabbar bin Muhammad Amin

No comments: