Thursday, April 7, 2011

KELUARGA YANG BAIK MELAHIRKAN GENERASI YANG BAIK”

Khutbah Jumaat 8 April 2011:

“KELUARGA YANG BAIK
MELAHIRKAN GENERASI YANG BAIK”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Saya menyeru kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah
buktikan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan taat dan patuh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya
dengan kepatuhan yang tiada tolok bandingnya. Mudah-mudahan kita beroleh
rahmat dan diletakkan sebagai golongan yang diredhai Allah SWT.
Sidang Jumaat sekalian,
Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi.
Adakah ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita?. Ya, memang berlaku,
bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam
keseluruhannya.
Kita sering mendengar berita tentang anak-anak yang tidak menghormati
ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat sanggup mencederakan dan membunuh.
Berlakunya gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga
berleluasanya gejala zina dan kelahiran anak luar nikah. Remaja dirosakkan oleh
bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat
batuk dan sebagainya. Bahkan kita sudah mendengar ada murid sekolah yang
mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu
membakar rumah guru dan sekolah.

Sidang Jumaat sekalian,
Asas pendidikan anak-anak adalah bermula dari rumah. Sekiranya di
rumah pun mereka tidak mendapat asas pendidikan Islam, apatah lagi di luar
rumah, sudah tentu sukar untuk membentuk peribadi muslim yang sejati kerana
pengaruh dan pancaroba di luar rumah adalah lebih dahsyat. Hanya mereka
yang mempunyai asas pendidikan Islam dan diwarnai oleh akhlak yang murni
sahajalah yang berpeluang untuk selamat, namun kenyataannya hari ini kita
dapati bukan sedikit yang tercicir di pertengahan jalan.
Oleh itu, ajaran Islam telah menentukan cara untuk melahirkan rumah
tangga Islam yang sempurna, mampu menumbuhkan tunas-tunas Islam, yang
akan menjalar dan membesar dengan sempurna, tidak boleh dihalang dan
dipengaruhi oleh gejala maksiat yang merosakkan.
Firman Allah di dalam Surah Al-Kahfi, ayat 13:
نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّ‌ۚ إِنَّہُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدً۬ى
Maksudnya : "Sesungguhnya mereka itu adalah anak-anak muda yang
beriman kepada Tuhan mereka, maka kami (Allah) menambahkan kepada
mereka dengan hidayah".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bagi melahirkan rumahtangga Islam yang sempurna, maka asas
perkahwinan mestilah dibina di atas asas-asas Islam, bukan sekadar untuk
memenuhi tuntutan hawa nafsu. Pasangan yang ingin berkahwin itu hendaklah
bertujuan menjauhi maksiat dan melahirkan zuriat keturunan yang ramai dan
soleh yang menjadi kebanggaan Nabi s.a.w.
Untuk mencapai tujuan tersebut, mereka mestilah membuat pilihan
pasangan masing-masing menurut kaca mata Islam, bukannya melalui kaca
mata nafsu dan bisikan syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

تنكح المرأة لأربع لمالها ولحسبها ولجمالها ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك
“Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana
keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah
dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat”.
Ibu bapa pula tidak sepatutnya menerima sahaja lamaran untuk meminang anak
mereka tanpa menyelidiki latar belakang agama dan akhlak bakal menantunya.
Kita bimbang, anak kita yang asalnya beragama, menutup aurat, sembahyang
dan berakhlak mulia, apabila jatuh ke tangan pasangan lelaki yang tidak patuh
kepada ajaran agama akan membawa fitnah kepada anak kita.

Sidang Jumaat sekalian,
Islam juga mewajibkan ibu bapa mendidik anak dengan pendidikan Islam,
mengajar mereka mengenal Allah SWT mengajar mereka sifat dan sikap yang
baik, akhlak dan kesopanan, mengajar mereka batas-batas halal dan haram dan
bersikap tegas kepada anak-anak.
Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6 :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا
مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman!, peliharalah diri kamu dan
keluarga kamu daripada api neraka, yang bahan-bahan bakarannya ialah
manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikatmalaikat
yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada
Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka
pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.
Allah SWT memerintahkan supaya setiap orang Islam berusaha
menyelamatkan diri masing-masing dan ahli keluarga daripada azab api neraka.
Dengan beramal menurut ajaran Islam. Suami hendaklah memastikan isteri
masing-masing patuh kepada ajaran Islam pada perbuatan, percakapan,
berpakaian dan melaksanakan apa yang diwajibkan oleh Allah SWT dan
meninggalkan apa yang dilarang.
Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhatikan tingkahlaku anak-anak
mereka. Mereka hendaklah bertanya ke manakah mereka keluar, siapakah yang
menemaninya, bila akan pulang dan pelbagai soalan berkaitan. Jangan
membiarkan anak-anak melakukan perkara-perkara yang melanggar batas-batas
agama.
Kita dapati bahawa ramai anak-anak yang tidak menunaikan solat hanya
kerana sibuk melayani rakan-rakan termasuklah rakan-rakan dan kenalan secara
maya seperti email, facebook, blog dan lain-lain. Berlaku juga di kalangan anakanak
remaja yang hanya pulang ke rumah untuk tidur dan makan sahaja.
Sepatutnya rumah menjadi benteng pertahanan terakhir keluarga daripada
anasir-anasir yang bertentangan dengan Islam, tetapi benteng ini telah runtuh
dan musnah akibat ibu bapa bertindak sambil-lewa dan lalai dalam mendidik
anak-anak.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Ingatlah, anak-anak adalah harta dan amanah yang dikurniakan oleh Allah
SWT kepada kita untuk dipelihara dan membentuk mereka menjadi seorang
hamba Allah yang bertaqwa. Jika seseorang itu bekerja bersungguh-sungguh
untuk mencari sesuap nasi sedangkan rezeki esok hari belum dapat dipastikan
lagi, mengapakah kita mensia-siakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT
yang berupa anak, sedangkan anak itu sendiri akan menjadi pusaka yang amat
berharga apabila kita tiada lagi.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah semua amalannya
kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak
yang soleh yang mendoakan untuknya".
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Marilah sama-sama kita menghayati ajaran Islam dalam membina sebuah
rumahtangga sakinah dan bahagia. Suami yang baik dijadikan untuk isteri yang
baik, akan melahirkan pula anak-anak yang soleh dan solehah, yang akan
menjadi harta yang tidak ada galang gantinya.
Kefahaman Islam yang jitu, kecintaan kepada Allah dan Rasul,
kesungguhan melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan, merupakan
benteng yang paling kukuh untuk menghadapi cabaran kehidupan manusia pada
hari ini.
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

.(Al-Furqan:74).
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhan kami!, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan
zuriat keturunan kami sebagai penenang hati kami dan jadikanlah kami
pemimpin ikutan bagi orang yang bertaqwa”.

1 comment:

Mohd Sukri Shariff said...

apa macam dah jadi dengan seorang guru seorang agama yang menyebabkan seorang murid tahun 1 meninggal ?