Khutbah Jumaat 31 Disember 2010
Disampaikan oleh Imam : Ustaz Hj Yazid bin Hj Hashim
"AMANAH TERHADAP DIRI, HARTA DAN
MARUAH ORANG LAIN"
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala
suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Antara tuntutan taqwa itu adalah
menyerahkan segala amanah kepada yang empunya dan mengelakkan diri dari
menceroboh hak orang lain, sama ada pada keselamatan nyawa, harta mahupun
maruah mereka. Semoga kita mendapat keselamatan srpenuhnya di akhirat
kelak.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Merujuk kepada satu kisah yang telah dipaparkan dalam sebuah akhbar
mengenai seorang lelaki luar Negara yang bukan Islam telah memulangkan
sebuah buku yang dipinjamnya dari sebuah perpustakaan selepasnya 47 tahun,
yang mana buku tersebut telah disahkan hilang, tetapi ditemui semula,
dipulangkan bersama-sama cek bayaran denda kerana lewat memulangkan
buku tersebut. Menurutnya, “Saya sedar, saya tidak perlu menunggu sepuluh
tahun lagi untuk memulangkannya. Itu lebih memalukan”.
Kisah ini menunjukkan bahawa walaupun tidak berada dalam lingkungan
masyarakat Islam, namun tindak-tanduknya sangat bertepatan dengan ajaran
Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal hak, amanah dan
tanggungjawab. Ia dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah An-Nisa’ ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis
amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)….”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Penegasan tentang hak dan amanah ini juga dijelaskan oleh Rasulullah
S.A.W. dalam hadithnya yang bermaksud:
“Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan maruahmu adalah haram
atasmu semua seperti kesucian harimu ini, di Negerimu ini dan dalam bulanmu
ini. Dan engkau semua kan menemui Tuhanmu lalu Dia akan menanyakan
kepadamu semua perihal amalan-amalan kamu. Ingatlah!, maka janganlah
kamu semua kembali menjadi orang-orang kafir selepasku, sebahagiannya
menetak leher sebahagian yang lain (berbunuhan tanpa dasar kebenaran)”.
(Muttafaqun ‘Alaih)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kehormatan yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadith
tersebut ialah wajib melindungi nyawa orang yang tidak berdosa dan tidak boleh
direnggut, darah tidak boleh ditumpahkan, harta tidak boleh dirampas tau
diambil sewenang-wenangnya dan maruah tidak boleh dicemarkan tau diaibkan.
Persoalan hak dan amanah ini sangat ditekankan oleh Islam, sehingga Baginda
mengiaskannya dengan kehormatan dan kesucian Hari Raya Korban, Bulan
Haram Zulhijjah dan Tanah Haram Makkah. Baginda menegaskan dalam hadith
yang lain:
“Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepada
kamu dan janganlah kamu mengkhianati seseorang yang pernah mengkhianati
kamu”.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tarmizi)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,
Persoalan hak dan amanah itu pula tidak mengira sama ada ia besar atau
kecil. Cukup membimbangkan kita, amal-amal yang mulia pun akan terhalang
dengan pengkhianatan dalam perkara yang kita anggap remeh, tetapi besar di
sisi Allah S.W.T. Dalam hadith yang lain, Rasulullah S.A.W. telah menjelaskan
hakikat ini. Umar bin Al-Khattab R.A telah meriwayatkan bahawa: ”Ketika terjadi
perang Khaibar, ada sekelompok dari sahabat-sahabat Nabi S.A.W. datang
menghadapi Baginda, kemudian mereka mengatakan: ” Si Polan itu mati syahid
dan Si Polan itu juga mati syahid”, sehingga akhirnya mereka menyebutkan
nama seseorang lalu mereka berkata; ” Si Polan itupun mati syahid pula”. Lalu
Baginda bersabda: ”Tidak sama sekali, Si Polan itu hanya saya lihat masuk ke
dalam neraka kerana sehelai baju dari hasil rampasan perang yang
disembunyikannya”.
(Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim)
Justeru, Rasulullah S.A.W. sendiri telah menunjukkan contoh sifat amanah
yang tinggi, walaupun kepada golongan bukan Islam yang tinggal dalam
masyarakat Quraisy yang memusuhi Baginda S.A.W. Ulama’ mencatatkan
bahawa sebelum Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah, Baginda telah
mewasiatkan kepada Saidina Ali bin Abi Thalib supaya memulangkan barang-
barang Wadi’ah dan amanah dalam jagaan Baginda kepada pemiliknya di
kalangan penduduk Makkah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,
Sifat jujur dan amanah inilah yang mat ditekankan dalam Islam kerana
amanah sangat berkait rapat dengan iman. Sabda Rasulullah S.A.W. seperti
diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
" Tiada sempurna iman bagi orang yang tidak amanah dan tiada agama bagi
orang yang tidak berpegang dengan janji ”.
(Riwayat Ahmad)
Sekarang, marilah kita menilai diri kita pula. Setakat manakah kita
menghormati hak orang lain sama ada pada tubuh badannya, hartanya atau
maruah dirinya. Adakah di kalangan kita yang pernah memukul atau
mencederakan orang lain, walaupun hanya kerana kesilapan kecil di jalanraya?
Adakah kita mengambil hak orang, hak majikan, hak kerajaan atau hak syarikat
walaupun hanya sekadar sebatang pen? Bagaimana pula orang yang
memanipulasi atau menyalahgunakan gambar orang lain untuk menjatuhkan
maruahnya hanya dengan mudah memetik tetikus komputer beberapa kali?.
Sidang Jumaat Sekalian,
Banyak hadith Rasulullah S.A.W. yang mengingatkan kita tentang soal hak
dan amanah pada jiwa, harta dan maruah. Antaranya adalah hadith yang
bermaksud:
” Sesiapa yang kami lantik di antara kamu semua sebagai petugas atas sesuatu
pekerjaan, kemudian dia menyembunyikan dari kami sebatang jarum, apalagi
yang lebih besar dari jarum itu, maka hal itu adalah pengkhianatan yang
ditanggung sendiri pada hari kiamat”. Kata perawi hadith: Kemudian ada seorang
lelaki berkulit hitam dari kaum Ansar berdiri. Saya rasa seolah-olah terbayangkan
susuk tubuh lelaki tersebut. Dia berkata: ”Ya Rasulullah! Ambillah kembali tugas
yang Tuan serahkan kepadaku dahulu (dia mohon ditamatkan tugas)”.
Rasulullah S.A.W. bertanya: ”Mengapa engkau mohon berhenti?”. Ia menjawab:”
Saya mendengar Tuan bersabda begitu dan begini”. Baginda S.A.W. lalu
bersabda pula: ” Saya tegaskan sekali lagi: ”Sesiapa yang kami lantik sebagai
petugas untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan, maka hendaklah menemui
kami dengan menyerahkan hasil kutipan sama ada sedikit atau banyak. Apa-apa
yang diberikan padanya, ambillah itu dan apa-apa yang dilarang, janganlah
ambil”.
(Riwayat Muslim)
Manakala hadith kedua dari Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W
bersabda yang bermaksud: ” Adakah engkau semua tahu, siapakah orang yang
muflis itu?” Para sahabat menjawab: ” Orang muflis di kalangan kita ialah orang
yang sudah tidak memiliki lagi sesuatu benda apapun.” Baginda S.A.W. lalu
bersabda: ” Orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada
hari kiamat dengan membawa amalan solat, puasa dan zakatnya ketika di dunia
dahulu, dia pernah mencaci, menuduh, memakan harta dan membunuh
seseorang (tanpa alasan yang benar). Maka orang yang dianiaya itu diberikan
pahala orang tadi. Mangsa yang lain pun diberikan pahalanya juga. Jikalau
pahala-pahalanya sudah habis sebelum terlunas tanggungan kezalimannya,
maka ambillah dari dosa-dosa orang-orang yang dianiayanya itu lalu dibebankan
kepada orang tersebut, kemudian orang tersebut dilemparkanlah ke dalam
neraka”.
(Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, marilah kita meningkatkan kepekaan dan sensitiviti kita
terhadap soal hak dan amanah ini. Semoga kita mendapat keselamatan di dunia
dan akhirat dari segala kesengsaraan dan azab Allah S.W.T.
“Dan mereka menjaga amanah dan janji; dan mereka yang tetap memelihara
solatnya (pada waktunya). Mereka itulah orang yang mewarisi; yang kan
mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya”.
(Al-Mukminun: 8-11)
No comments:
Post a Comment