Anak-anak kita ….banyak tahu dan faham segala ilmu daripada…Al quran dan Al Hadith Rasulullah saw… tetapi…. Kenapakah mereka masih belum menghayatinya?
Muqaddimah
Al-Quran merupakan sumber wahyu yang datangnya secara langsung dari Allah swt. Allah berfirman yang bermaksud ;
“Sesungguhnya Kami turunkan Al-Quran dan Kami akan menjaganya”. Q:S:
As-Sunnah pula sumber semi wahyu di mana isinya daripadan Allah dan kata-kata daripada Rasullullah saw. Tentang kedatangan As-Sunnah ini Allah swt. Berfirman yang bermaksud;
“Allah turunkan kepada engkau (Muhammad ) Al-Quran dan Hikmah (Hadith)”
Kandungan Sunnah ini menjelaskan maksud Al-Quran dan membawa pengajaran tambahan yang tidak terdapat dalam Al-Quran atau yang terdapat asas dalam Al-Quran. Manakala serah dan Syamail pula ialah gambaran penghayatan ajaran Al-Quran, As-Sunnah serta pelaksanaannya yang dilakukan oleh Rasullullah saw. Samada yang berkaitan dengan perhubungan manusia dengan Allah, perhubungan manusia dengan manusia di peringkat awam dan pemerintah.
Keperluan mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah.
Bahasa Al-Quran adalah bahasa Arab. Ia merupakan bahasa komunikasi dengan Allah swt. Kemahiran membaca Al-Quran dengan baik tidak akan tercapai tanpa mempelajari bahasa Al-Quran lebih-lebih lagi jika ingin membina kemahiran dalam memahami Al-Quran. Justeru itu, mempelajari bahasa Arab sebagai tuntutan untuk mencapai kepada kesempurnaan berinteraksi dengan Al-Quran.
As-Sunnah Rasullullah saw. merupakan maklumat yang amat penting selepas Al-Quran. Ia merupan maklumat tambahan untuk membantu memahami lebih jelas ajaran yang terdapat dalam Al-Quran dan juga ajaran-ajaran tambahan yang tidak di sebut secara jaelas dalam Al-Quran, maka pengisian kepada anak-anak penting di masukkan kandungan SunnahRasullullah saw, mengikut tahap anak-anak tersebut. Kanak-kanak apabila di biasakan dengan kebaikan dan mengajar itu kepadanya nescaya ia akan terbentuk demikian, dan kebahgiaan di nikmati di dunia dan di akhirat. Bagi ibubapa dan guru hendaklah memain peranan penting dan bertanggungjawab mendidik anak-anak dalam soal ini. Tugas ini mesti dijalankan kerana Allah berfirman yang bermaksud;
“Jagalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”. Bagi mencapai itu anak-anak mestilah di beri pengisian berikut:
- Penjaga dan pendidik yang baik dan beragama
Orang yang ditugaskan mendidik anak-anak mendidik anak-anak mestilah orang yang baikdan beragama, ini kerana perwatakan anak-anak tersebut dipengaruhi oleh orang yang mendidiknya.
- Melatih anak berperangai baik
Hendaklah selalu berceritakan kepadanya adab-adab yang baik yang dia lakukan setiap hari seperti adab bergaul, adab dengan ibubapa, jiran dan orang yang lebih dewasa, adab makan, tidur, adab keluar masuk tandas dan semua adab yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesarnya dalam semua adab yang di pamirkan oleh As-Sunnah.
- Mengajar taat kepada ibubapa dan guru-guru.
Anak-anak didik hendaklah perlu diajar bagaimana taat kepada ibubapa, guru, menghurmati orang yang lebih tua daripadanya samada dari keluarganya atau orang lain.
- Mengajar adab makan
Di antara sifat yang keji yang mula lahir pada anak-anak adalah gelojoh kepada makanan. Hendaklah di latih supaya mengambil makanan dengan tangan kanan, baca Bismillah, ambil makanan yang berdekatan atau dihadapannya. Kunyah makanan dengan sebaik-baik dan jangan biarkan makanan bertaburan tumpah. Hendaklah anak-anak sifat memadai dan syukur dengan jenis makanan yang dia dapat.
- Jangan dedahkan kepada kemewahan
Anak- anak hendaklah dididik dalam kesederhanaan dalam semua hal samada dalam makanan atau pakaian kerana dari ini akan lahirlah sifat yang baik atau sebaliknya jika ia tidak di beri pengetahuan dan tunjuk ajar dari masa kanak-kanak lagi. Dengan ilmu ini ia akan dapat membezakan mana yang boleh atau tidak.
- Mengajar adab bergaul dalam Majlis
Hendaklah mendidik anak-anak jangan meludah,menghingus, mengeliat dan menguap di hadapan orang dan juga jangan duduk memanggung kaki, menungkat dagu dan meletakkan kepada sandaran kerana itu semua menunjukkan sifat malas.
- Memberi pelajaran asas
Anak-anak hendaklah dipenuhkan masanya dengan belajar Al-Quran, hadith, kisah orang-orang yang baik dan wali-wali supaya tertanam di dalam hati kasih dan cinta kepada orang yang baik dan soleh.
- Memberi kerehatan
Anak-anak juga hendaklah di beri peluang bermain untuk memberi kerehatan kepadanya selepas kepenatan belajar, sebab dengan bermain itu boleh menghilangkan kepenatannya.
- Memahami Perubahan Kanak-Kanak dan Penyesuaian Pendidikan
Apabila anak-anak itu mencapai umur cerdik dapat membezakan antara baik dan buruk, maka janganlah dipermudahkan kanak-kanak itu meninggalkan bersuci dan solat dan menyuruhnya berpuasa di bulan Ramadan. Ajarkanlah hukum-hukum syarak dan sebagainya.
- Mendisiplinkan anak
Mendisiplinkan anak-anak adalah penting dalam mendidik anak-anak supaya menjadikan mereka membiasakan diri dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang terpuji.Dengan mendisiplinkan diri anak-anak dapat memberikan keutamaan dalam membuat keputusan yang bijak berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.
Penutup
Bagi mendekatkan hubungan anak-anak dengan Al-vbquran maka semua matapelajaran yang di pelajari mereka dikaitkan secara langsung dengan ayat-ayat Al-Quran. Dalam fiqh contohnya, ayat-ayat yang berkaitan dengan air,kebersihan ,solat, puasa dan sebagainya perlu didedahkan dan dihuraikan sebagai dasar, kemudian barulah di beri huraian fiqhi. Begitu juga dalam Aqidah ayat-ayat berkaitan dengan Ketuhanan, Kerasulan dan perkara ghaib yang perlu dihuraikan, kemudian di ikuti dengan huraian bercorak ilmu aqidah, demikian juga ayat-ayat yang berkaitan dengan akhlak, adab-adab perhubungan dengan ibubapa, saudara seagama dan hubungan dengan manusia yang lain. Pendedahan ayat-ayat ini dan huraian yang di berikan mestilah di ikuti dengan contoh-contoh perlaksanaannya untuk di hayati dan dilaksanakannya. Begitu juga dengan Sunnah Rasullullah saw dari aspek kehidupan beliau yang menjelaskan watak peribadi Rasulullah saw seperti perkara yang berkaitan dengan adab-adab perhubungan, adab berpakaian, adab makan, adab bergaul dan bercakap dan menolong orang yang susah dan bersimpati orang yang malang dan simpati kepada binatang dan sebagainya.
Sirah dan Syamail Rasulullah juga dipelajari bukan sekadar untuk mengetahui sejarah tetapi untuk menyelami dan menghayati dalam kehidupan kerana ia juga sebahagian dari Sunnah.
Ditulis oleh :Nor Salina bt Ismail.
No comments:
Post a Comment