"HIJRAH MENTRANSFORMASI UMMAH"
(SEMPENA MAAL HIJRAH)
Disampaikan oleh YB Dr. Abdul Rani bin Osman
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada
Allah S.W.T dan memperbanyakkan selawat serta berusaha melaksanakan
segala sunnah Rasulullah S.A.W. Mudah-mudahan ianya akan memberikan
manfaat kepada kita di dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W ke Kota Madinah yang telah berlaku lebih
1400 tahun yang lalu merupakan satu titik permulaan transformasi bagi
masyarakat Madinah secara keseluruhannya. Kedatangan Baginda telah
menyatukan Kabilah Aus dan Khazraj, mempersaudarakan kaum Ansar dan
Muhajirin, bahkan Baginda telah dapat menundukkan golongan Yahudi Madinah
agar menerima perjanjian damai yang ditawarkan oleh Baginda. Budaya hidup
berpuak-puak pada ketika itu telah berjaya diubah oleh Baginda menjadi
masyarakat yang bersatu-padu serta saling sayang menyayangi sesama
mereka. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hasyr ayat 9:
“Dan orang – orang (Ansar) yang mendiami Kota (Madinah) serta beriman
sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan
tidak pula dalam hati mereka perasaan irihati terhadap apa-apa yang telah
diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, serta mereka juga
mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu melebihi diri mereka sendiri,
sekalipun mereka dalam kesusahan (sangat memerlukan pemberian itu), dan
(ingatlah) sesiapa yang dipelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat
bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tuntutan hijrah dalam suasana masyarakat pada hari ini bukan lagi
sekadar perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi ianya
adalah suatu tranformasi atau perubahan minda dan budaya hidup yang
berteraskan ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Firman Allah S.W.T dalam
surah Al-Ankabut ayat 26:
“Dan berkatalah Ibrahim: “Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku,
sesungguhnya Dialah jua yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”.
Walaupun Negara kita telah mencapai kemerdekaan semenjak 53 tahun
yang lalu, namun hakikatnya penjajahan minda terhadap umat Islam masih lagi
tiada kesudahannya. Sejak akhir-akhir ini, kita dapati masyarakat Islam semakin
kerap dihadapkan dengan pelbagai gejala yang mengancam akidah, moral dan
pemikiran mereka. Suatu ketika, akidah umat Islam diancam dengan
kemunculan fahaman-fahaman baru yang mengugat kesucian agama Islam.
Dalam masa yang sama, keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat Islam pada
hari ini semakin membimbangkan. Pelbagai bentuk gejala sosial yang berlaku
ini membuktikan bahawa tahap akhlak mereka sudah semakin parah.
Kewujudan media elektronik seperti televisyen, internet dan lain-lain lagi
telah disalahgunakan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk mengaut
keuntungan peribadi. Siaran-siaran atau rancangan serta paparan yang
dipertontonkan lebih banyak mengandungi nilai-nilai negatif. Akibatnya minda
umat Islam terutamanya di kalangan belia dan remaja mudah terpengaruh
sehingga merosakkan nilai dan budaya hidup insaniyyah yang diajarkan oleh
Islam.
Oleh kerana itu, semangat hijrah pada tahun ini seharusnya dapat
diterjemahkan ke arah mentransformasikan atau merubah minda umat Islam
terlebih dahulu agar kembali mentaati segala ajaran yang telah dibawa oleh
junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Firman Allah S.W.T dalam surah Az-
Zariat ayat 50:
“Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka: Maka segeralah kamu kembali
kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya Aku diutus oleh Allah
kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Usaha mentranformasikan ummah seharusnya mencakupi tiga ruang
lingkup utama yang tidak pernah lekang dari kehidupan seharian manusia iaitu;
Pertama : Transformasi atau perubahan ekonomi.
Kedua : Transformasi atau perubahan nilai dan budaya masyarakat.
Ketiga : Transformasi atau perubahan siasah.
Kedudukan ekonomi umat Islam pada hari ini secara umumnya tidaklah
sebaik ekonomi bangsa-bangsa lain. Beberapa kajian juga mendapati bahawa
ekonomi umat Islam kini berada pada tahap yang membimbangkan. Keadaan ini
jika tidak diperbaiki dengan segera akan diambil kesempatan oleh kuasa luar
untuk mengeksploitasi atau menindas ekonomi umat Islam. Ini sudah tentu akan
memberikan kesan yang besar kepada kuasa politik umat Islam dimana akhirnya
mereka akan kecundang dan terpinggir dari arus utama dunia. Oleh itu, usaha
mesti dimulakan segera dengan melaksanakan jihad ekonomi. Selagi kita tidak
dapat membina kekuatan ekonomi ummah, maka selama itu jugalah umat Islam
akan terus dipandang hina oleh bangsa-bangsa lain. Firman Allah S.W.T dalam
surah Al-Ankabut ayat 69:
"Dan orang –orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar
akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah
benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik".
Salah satu cabaran yang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini adalah
untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Untuk tujuan itu, setiap umat Islam
seharusnya menunaikan kewajipan bantu-membantu dalam menguatkan
ekonomi sesama umat Islam; yang kaya membantu yang miskin dan yang kuat
membantu yang lemah. Perkara ini bertepatan dengan tuntutan Allah S.W.T
sebagaimana disebutkan dalam surah Al-Hasyr ayat 7 :
” Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara
kamu...”
Sekiranya kita memiliki kuasa ekonomi dan beriman serta beriltizam, maka
kita akan menjadi umat yang memiliki kekuatan. Namun sekiranya ekonomi kita
lemah, maka tidak mustahil kita akan menjadi peminta sedekah dari orang lain.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita menyambut Maal Hijrah pada setiap tahun dengan harapan untuk
membangunkan umat Islam menjadi umat yang terbaik sebagaimana kejayaan
Rasulullah S.A.W membangunkan kaum Ansar dan Muhajirin di Madinah Al-
Munawwarah. Namun dalam masa yang sama, kita sebenarnya masih lagi
berhadapan dengan cabaran dan krisis pertembungan budaya. Krisis yang
berlaku ini ditambah pula dengan anasir-anasir luar yang sengaja ingin
memecahbelahkan perpaduan di kalangan masyarakat kita. Selain dari itu,
kegagalan memahami budaya antara kaum juga melebarkan lagi jurang
persefahaman di kalangan pelbagai kaum di negara kita. Malahan akhir-akhir ini
sudah wujud kebimbangan tentang nilai perpaduan yang sudah semakin susut di
kalangan masyarakat kita. Oleh kerana itu, kita seharusnya berhati-hati dan tidak
mudah tertipu dengan dakyah-dakyah yang cuba memecahbelahkan perpaduan
di kalangan kita. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal ayat 30:
" Mereka memikirkan tipudaya dan Allah menggagalkan tipudaya itu, dan Allah
sebaik-baik pembalas tipudaya".
Justeru, sambutan Maal Hijrah pada tahun ini merupakan medan terbaik
untuk kita memulakan transformasi menyatupadukan semula ummah agar hidup
rukun dan damai sekalipun berbeza latar belakang politik dan kedudukan.
Perbezaan-perbezaan ini tidak seharusnya menjejaskan hubungan silaturrahmi
bahkan ia sepatutnya dijadikan sebagai titik pertemuan untuk melahirkan sikap
keprihatinan dan hormat-menghormati sesama kita. Firman Allah S.W.T dalam
surah As-Saba’ ayat 15:
”Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat
kediaman mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri,
(kepada mereka dikatakan): ” Makanlah olehmu dari rezeki yang (di
anugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya; (Negerimu) adalah
negeri yang terbaik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun”.
Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,
Transformasi atau perubahan ummah tidak akan berjaya tanpa melibatkan
pemerintahan dalam sesebuah Negara. Maka transformasi siasah juga amat
penting dalam pemerintahan Negara kita agar mendapat keberkatan daripada
Allah S.W.T dan menepati status “Baldatun Thayyibatun” (Negara yang
Sejahtera). Sistem pemerintahan mestilah dilaksanakan dengan adil dan telus
supaya setiap lapisan rakyat akan mendapat manfaatnya. Amalan-amalan
rasuah, penyelewengan kuasa, pecah amanah dan sebagainya yang berlaku di
kalangan pentadbir pelbagai peringkat mesti diatasi dengan bersungguhsungguh
oleh pihak berkuasa. Sesungguhnya sesebuah pemerintahan yang adil
dan telus akan memberikan kesan yang besar dalam transformasi ummah di
Negara ini. Sejarah umat Islam telah membuktikan bahawa apabila sesebuah
pemerintahan dilaksanakan denmgan sebaik-baiknya, maka masyarakatnya
dapat dibangunkan dan dikembangkan dengan baik. Sebaliknya apabila
pemerintahan itu tidak dilaksanakan dengan baik, maka seluruh Negara dan
rakyatnya akan mengalami kehancuran. Rasulullah S.A.W. telah bersabda dalam
sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bermaksud;
“Apabila hilang amanah maka tunggulah saat kehancurannya. Baginda lalu
ditanya bagaimanakah hilangnya amanah itu? Baginda menjawab; Apabila
diserahkan sesuatu urusan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah
saat kehancurannya”. (Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi)
Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,
Sempena kehadiran tahun hijrah ini, marilah kita melihat semula di dalam
diri kita; apakah kita sudah melakukan perubahan dari kesalahan dan kesilpan
yang lalu?, Apakah kita telah melaksanakan penambah-baikan pada diri,
keluarga dan masyarakat kita?. Justeru, marilah kita mempertingkatkan
mujahadah untuk memperbaiki taraf kehidupan kita.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan apabila
Allah mengkehendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala’ bencana
maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang
ditetapkannya itu, dan tidak ada sesipa pun yang dapat menolong dan
melindungi mereka selain daripadanya”.
(Ar-Ra’d:11)
No comments:
Post a Comment