Friday, December 3, 2010

ZAKAT PENYELAMAT DI DUNIA DAN AKHIRAT

Khutbah Jumaat 03 Disember 2010

“ZAKAT PENYELAMAT DI DUNIA DAN AKHIRAT”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Saya menyeru kepada seluruh jamaah yang hadir pada hari ini, agar
menjadikan taqwa sebagai agenda utama seluruh kehidupan kita di muka bumi
Allah ini. Dengan taqwa itu, Allah SWT. menawarkan kepada kita kejayaan
hakiki di dunia dan di akhirat.


Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,
Di antara ciri-ciri insan bertaqwa ialah setia melaksanakan apa jua suruhan
dan perintah dari Allah SWT. walaupun menjadikan harta dan jiwanya sebagai
gadaian demi mencapai ketaqwaan kepada Allah SWT. Maka Allah akan
membayar segala gadaian nyawa dan harta mereka dengan keredhaan dan
nikmat syurga yang tidak ternilai harganya.
Sesungguhnya antara bentuk-bentuk pengorbanan harta yang
dilaksanakan demi mencapai keredhaan Allah SWT. ialah menunaikan ibadah
sedekah dan zakat. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka
hendaklah dia menunaikan zakat hartanya". (Riwayat At-Tabrani)


Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,
Disyariatkan ibadah zakat bertujuan untuk mendidik diri kita supaya bersifat
pemurah dan prihatin terhadap kesusahan insan lain. Allah SWT. juga
memfardhukan ibadah zakat kepada hamba-Nya adalah untuk menyucikan harta
dan dosa-dosa orang yang kaya dan memenuhi keperluan sara hidup bagi yang
miskin.
Bahkan amalan berzakat itu sebenarnya dapat mengukuhkan tali
silaturrahim sesama manusia. Orang-orang fakir dan miskin akan mendoakan
kebaikan kepada orang kaya yang pemurah. Ini akan menghilangkan perasaan
benci, cemburu, marah si miskin kepada si kaya.
Sabda Rasulullah s.a.w.: (Riwayat Imam Ahmad)
"Bersedekahlah kamu sekalian, meskipun dengan hanya sebiji tamar,
sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan
menghapuskan kesalahan, sebagaimana air dapat memadamkan api".
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Di dalam sebuah Hadith, nabi s.a.w. menceritakan tentang kelebihan
orang yang bersikap prihatin kepada golongan fakir dan miskin. Baginda s.a.w.
bersabda yang bermaksud:
"Perbanyakkanlah kenalan dari kalangan golongan fakir dan miskin dan
berbudilah kepada mereka kerana mereka kelak akan mendapat kekuasaan.
sahabat bertanya: apakah kekuasaan mereka ya Rasulullah?. Nabi menjawab:
Bila tiba hari qiamat, maka diseru kepada mereka: Perhatikanlah siapa yang
dahulu pernah memberimu makanan atau seteguk minuman atau memberimu
pakaian walau sehelai maka peganglah tangannya dan pimpinlah dia ke syurga".
(Riwayat Al-Bukhari)
OIeh itu, jangan berasa rugi apabila kita bersedekah. Jangan berkira-kira
untuk berzakat. Yakinlah!, harta yang kita zakatkan dengan ikhlas sebenarnya
dirahmati Allah dan bermanfaat kepada diri kita di dunia dan akhirat.
Sebaliknya, sekiranya manusia bersikap bakhil dan mementingkan diri
sendiri, Allah SWT. memberi ingatan dan ancaman kepada mereka sepertimana
firman-Nya yang cukup keras di dalam surah Al-Haaqqah ayat 30 – 34:

"(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang
berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian masukkanlah dia ke dalam neraka
jahim; kemudian, belitlah dia dengan rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh
puluh hasta, sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang maha
besar dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makan
(yang berhak diterima oIeh) orang miskin".
Dalam sebuah hadith yang lain daripada Abu Hurairah r.a. berkata:
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada yang mempunyai simpanan harta yang tidak menunaikan
zakatnya kecuali dipanaskan atasnya di neraka jahanam, lalu dijadikan
kepingan-kepingan logam, lalu diseterika dengannya kedua rusuk dan
keningnya, sehingga Allah SWT. memutuskan di antara hamba-hamba-Nya pada
satu hari yang ukurannya lima puluh ribu tahun".(Riwayat Muslim)
Betapa dahsyatnya azab yang dijanjikan oIeh Allah kepada manusia yang
enggan mematuhi perintah Allah SWT. Pastinya kita selaku insan yang kerdil
dan lemah ini, tiada daya dan upaya untuk menanggung azab dan seksa neraka
yang tidak terperi sakitnya. Takutlah wahai manusia dengan azab Allah!,
semoga Allah menyelamatkan kita semua dari bencana buruk azab neraka.
OIeh itu, marilah kita berazam mulai saat ini, pastikan harta-harta kita
seperti emas, perak, hasil pendapatan, wang simpanan, perniagaan, pertanian
dan penternakan ke semuanya itu kita akan sucikan dengan menunaikan zakat
sebagai bukti ketaatan, tanggungjawab dan amanah kita terhadap rezeki
kurniaan Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,
Berdasarkan kepada perkembangan semasa, sebenarnya tahap
kesedaran umat Islam di negeri Selangor untuk menunaikan kewajipan zakat
semakin meningkat setiap tahun. Ini dapat dibuktikan melalui jumlah kutipan
dan agihan zakat yang sentiasa bertambah dari setahun ke setahun. Walau
bagaimanapun, jumlah pembayar zakat di negeri ini sebenarnya masih di tahap
yang minima. Berdasarkan kepada rekod pembayar zakat yang menunaikan
zakat di Lembaga Zakat Selangor, di sepanjang tahun 2009 adalah berjumlah
115,000 orang sahaja. Sedangkan jumlah umat Islam di negeri Selangor yang
layak menunaikan zakat dianggarkan lebih daripada 1 juta orang.
Mengapakah masih ramai umat Islam yang belum menunaikan ةzakat?.
Sedarkah kita bahawa sebenarnya di dalam harta kita, ada hak fakir miskin yang
wajib kita keluarkan?. Usaha-usaha dakwah oIeh Institusi Zakat wajar disokong
dan dibantu dengan penglibatan semua pihak untuk meningkatkan tahap
kesedaran umat Islam terhadap kewajipan zakat. Badan-badan Dakwah, NGO
Islam, Masjid, Media Elektronik, Percetakan dan Para Pendakwah Islam harus
menggembleng tenaga memainkan peranan dalam usaha ini. Sekiranya tahap
kesedaran umat Islam meningkat terhadap kewajipan zakat, maka peranan zakat
sebagai Penjana Ekonomi Masyarakat Islam dan Pemangkin Kebajikan dan
pembelaan umat Islam akan dapat direalisasikan dalam kehidupan kita hari ini.
Adalah disarankan agar kefahaman terhadap Feqah Zakat yang semasa
dan terkini wajar ditanam lebih awal ke dalam minda anak-anak kita melalui
Silibus Pendidikan di sekolah rendah dan menengah.
Keprihatinan semua pihak akan memberi kefahaman dan kesedaran umat
Islam untuk menunaikan kewajipan zakat seterusnya menjadikan kehidupan kita
lebih sejahtera dan diberkati apabila setiap golongan manusia mendapat hak
mereka dengan sempurna.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,
Marilah kita segera menunaikan kewajipan berzakat. Selamatkanlah diri
kita dan keluarga kita dari azab api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada
manusia dan batu-batu.
Sesungguhnya dengan menunaikan zakat akan melindungi diri dan
keluarga kita daripada bala dan bencana di dunia dan azab di akhirat yang kekal
abadi selama-lamanya.(Al-Hujurat:15)
“Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang
percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)
tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka
pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya)".

No comments: