Khutbah Jumaat 26 November 2010 : Menghargai Cuti Persekolahan
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian ,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan amal soleh
dan berusaha memperbaiki diri pada setiap detik dan masa sebelum ajal yang
telah ditetapkan oleh Allah S.W.T datang menjemput kita.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Cuti persekolahan hujung tahun sememangnya merupakan waktu yang
amat dinanti-nantikan oleh sebahagian ibubapa dan juga semua anak-anak yang
bersekolah. Ini adalah kerana waktu ini para ibubapa sudah merancang
percutian anak-anak mereka sama ada untuk pergi melancong, berkelah, pulang
ke kampung halaman dan sebagainya. Perkara-perkara seperti ini jika dirancang
dan dilakukan mengikut lunas-lunas Islam sudah tentu memberikan banyak
kebaikan kepada anak-anak disamping dapat mengeratkan hubungan
silaturrahmi sesama keluarga dan saudara-mara. Islam sebagai agama
persaudaraan amat menekankan betapa pentingnya hubungan persaudaraan
sesama insana sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 21:
“Dan orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah
supaya dihubungkan (iman, silaturrahmi dan lain-lain), dan takut kepada
(kemurkaan) Tuhan mereka, serta bimbang kepada hitungan amal yang sukar
(pada hari Kiamat)”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tidak dinafikan juga terdapat ibubapa yang tidak mengambil peduli tentang
cuti persekolahan anak-anak mereka. Kerana itu sering kita dapati anak-anak
remaja berpeleseran di kompleks-kompleks membeli-belah, di dataran-dataran
dan sebagainya tanpa sebarang halatuju yang bermanfaat. Perwatakan mereka
juga berubah seolah-olah mereka bukan lagi seorang pelajar yang terikat
dengan disiplin-disiplin ilmu. Kita harus menyedari bahawa cuti persekolahan
bukanlah bermakna membiarkan anak-anak hidup sebebas-bebasnya kerana ini
hanya akan mengundang banyak perkara negatif dalam diri mereka. Kita harus
sedar bahawa anak-anak mudah terpengaruh dengan arus globalisasi yang
membawa masuk pelbagai bentuk budaya negatif dan bertentangan dengan
budaya murni umat Islam. Antaranya seperti budaya songsang, kes-kes buli,
pergaduhan, vandalisme, mencuri, membunuh dan sebagainya. Ini seterusnya
akan memburukkan lagi masalah moral dan sosial yang telah berlaku di dalam
masyarakat kita hari ini.
Isu-isu berkaitan perlakuan negatif di kalangan pelajar sejak kebelakangan
ini sudah semakin hangat diperkatakan dan amat membimbangkan banyak
pihak. Budaya berjinak-jinak dengan rokok di kalangan pelajar sekolah semakin
berleluasa. Gejala merempit juga didapati berlaku di kalangan mereka sehingga
sebahagian daripada mereka ditangkap oleh pihak berkuasa. Tidak kurang pula
pelajar-pelajar yang suka melepak di kaki-kaki lima mahupun di pusat-pusat
membeli-belah sama ada pada waktu persekolahan apatah lagi pada hujunghujung
minggu. Perkara ini sekiranya dibiarkan berlarutan sudah tentu akan
mendatangkan kesan yang amat buruk kepada generasi yang akan datang.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,
Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
"Rebutlah lima perkara sebelum berlakunya lima perkara; masa mudamu
sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum tiba masa sakitmu, masa
kayamu sebelum tiba masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa
sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba kematianmu."
(Riwayat Al-Baihaqi)
Hadith ini mengingatkan kepada kita agar sentiasa mensyukuri dan
menghargai nikmat masa yang telah dianugerahkan. Sesungguhnya masa yang
dianugerahkan ini terlalu cepat meninggalkan kita. Masa tidak akan menunggu
kita, sebaliknya kitalah yang mesti mengejarnya. Justeru kita sebagai ibubapa
yang prihatin dengan masa depan anak-anak, seharusnya berusaha
menanamkan sifat menghargai masa dan membudayakannya dalam kehidupan
seharian mereka. Anak-anak harus dididik bagaimana untuk memanfaatkan
masa yang ada dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.
Mereka juga harus sentiasa diingatkan betapa masa yang telah berlalu pergi
tidak akan kembali lagi. Masa itu diibaratkan seperti emas yang amat berharga;
yang mesti dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap orang yang
memilikinya. Hukama’ ada menyebutkan;
"Waktu itu umpama mata pedang, jika kamu tidak memotongnya maka ia akan
memotong kamu".
Justeru cuti sekolah yang ada ini seharusnya tidak disia-siakan, bahkan
mestilah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak untuk membina
generasi yang benar-benar memiliki sahsiah dan jati diri yang tinggi. Dalam
masa yang sama, program-program yang dijalankan ini secara langsung akan
dapat mengelakkan anak-anak daripada membazirkan masa dan terjebak
dengan perkara-perkara negatif.
Kini, kita dapati pelbagai pihak telah berusaha melaksanakan programprogram
motivasi dan peningkatan jati diri kepada anak-anak remaja yang masih
di alam persekolahan, sama ada oleh individu-individu, Badan-badan NGO
mahupun agensi-agensi kerajaan. Menjelang cuti persekolahan ini juga kita
dapati bermacam-macam program ditawarkan dan disediakan untuk anak-anak
mengisi cuti persekolahan mereka. Ianya secara tidak langsung dapat membantu
para ibubapa yang tidak berkesempatan merancang cuti persekolahan anakanak
mereka disebabkan bebanan kerja, kesibukan berniaga dan lain-lain
dengan aktiviti yang berfaedah dan berguna untuk anak-anak. Antara aktiviti
yang ditawarkan sepanjang cuti persekolahan ini adalah;
Pertama : Kem Motivasi Pelajar.
Kedua : Program Hafaz Al-Quran.
Ketiga : Program belajar Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.
Keempat : Program Khemah Ibadah.
Kelima : Program Usrah Pelajar.
Keenam : Program Daurah di masjid-masjid terpilih anjuran JAIS dan lain-lain.
Program-program sebegini seharusnya diambil peluang oleh para ibubapa
supaya melibatkan anak-anak yang sedang dalam cuti persekolahan, agar cuti
yang mereka lalui akan lebih bermakna.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ibubapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membentuk
keperibadian anak-anak mereka. Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang
mesti dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya. Firman Allah S.W.T dalam surah
Al-Anfal ayat 28:
" Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah
menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar ".
Tanggungjawab ini tidak sewajarnya diserahkan kepada pihak sekolah
semata-mata. Malah ibubapalah yang seharusnya memainkan peranan yang
lebih besar dalam membentuk anak-anak mereka. Maka cuti persekolahan ini
adalah waktu yang paling sesuai untuk ibubapa mengambil sepenuhnya
tanggungjawab ini. Rancanglah cuti mereka agar dipenuhi dengan perkaraperkara
yang bermanfaat sama ada dengan melakukan aktiviti keluarga,
menghantar mereka ke kursus-kursus motivasi, kelas-kelas tuisyen dan
sebagainya.
Kita menyeru kepada semua pihak seperti Persatuan Ibubapa dan Guru
(PIBG), masjid-masjid dan sekolah-sekolah agar memainkan peranan yang lebih
pro-aktif setiap kali menjelangnya cuti persekolahan. Mereka boleh merancang
program-program yang serupa sebagaimana yang dijalankan oleh Badan-badan
NGO atau yang lainnya. Pihak PIBG tentu menyedari bahawa tidak semua
ibubapa berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke program-program
anjuran pihak-pihak swasta kerana memerlukan kos yang agak tinggi. Justeru
PIBG dengan bantuan pihak sekolah, pihak Jabatan Pelajaran mahu pun orang
ramai bolehlah merancang suatu program yang bermanfaat di sepanjang musin
cuti persekolahan.
Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,
Pada masa ini, program seperti SPIES, Daurah dan Tunas Ilmuan Negeri
Selangor ketika ini juga sebenarnya telah memberikan sumbangan yang
bermakna kepada pembinaan sahsiah anak-anak kita. Dengan ini, cuti
persekolahan yang dilalui oleh pelajar-pelajar sekolah akan menjadi lebih
bermakna.
Sesungguhnya tanggungjawab dan peranan kita sebagai ibubapa amatlah
besar terhadap anak-anak yang merupakan amanah daripada Allah S.W.T.
Namun masa yang diberikan untuk menunaikan tanggungjawab ini adalah amat
terbatas. Al-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah mengatakan bahawa
kewajipan kita adalah lebih banyak berbanding masa yang ada pada kita. Oleh
kerana itu, setiap masa dan detik yang kita lalui seharusnya dipergunakan
dengan sebaiknya agar kita tidak lagi dipersoalkan di hari akhirat nanti.
“Mereka beriman kepada Allah dan Hari Penghabisan, mereka menyuruh kepada
yang makruf, dan mencegah perkara yang munkar dan bersegeralah
mengerjakan pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh”.
(Surah Ali-Imran:114)
No comments:
Post a Comment