Friday, December 10, 2010

PERANAN RAKYAT DAN PEMIMPIN

Khutbah Jumaat 10 Disember 2010:

“PERANAN RAKYAT DAN PEMIMPIN
(SEMPENA ULANG TAHUN KEPUTERAAN D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR)”


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT. dengan mengerjakan segala
perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita
semua beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Sempena menyambut hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia
Sultan Selangor pada tahun ini, marilah kita sebagai rakyat negeri ini
meningkatkan kesyukuran kita kehadrat Allah S.W.T. atas limpah kurnia-Nya
yang telah menganugerahkan nikmat yang tidak terhingga banyaknya kepada
kita, terutama nikmat kemantapan iman dan kesejahteraan hidup serta hubungan
kemesraan antara kita sebagai rakyat dengan raja yang memerintah.
Hubungan mesra antara rakyat dengan raja merupakan amalan yang
sudah sekian lama terjalin, yang memberi kebaikan kepada semua rakyat jelata.
Oleh itu, kita sewajarnya meneruskan suasana ini.
Menurut Ibnu Khaldun, sesebuah masyarakat tidak dapat dipisahkan
daripada wujudnya seorang pemimpin. Kewujudan pemimpin masyarakat Islam
sama ada bergelar imam, khalifah, raja atau sebagainya, adalah sesuatu
keperluan. Ini bertepatan dengan Firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Nur
ayat 55:
“Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan
kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang
kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum
mereka khalifah-khalifah yang berkuasa”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menurut sejarah, cetusan awal yang mendorong semangat menuntut
kemerdekaan adalah lahir daripada pemikiran Tokoh-tokoh Islam seperti
Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Iqbal dan Muhammad ‘Abduh. Sebahagian
daripada mereka memperoleh semangat itu dengan melihat himpunan besar
umat Islam dalam peristiwa Ibadat Haji saban tahun. Seruan itu kemudiannya
disebut pula oleh Tokoh Pemimpin Dan Ilmuan dari Nusantara termasuk dari
tanahair kita.
Justeru, adalah wajar kita menyedari bahawa Islam mengajar kita agar
tidak tunduk kepada sebarang kuasa luar yang menghalang manusia mengikut
ajaran Allah S.W.T.
Islam jugalah yang mengajar kita supaya tunduk menjadi hamba Allah
S.W.T. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Mukmin ayat 66 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang
menyembah benda-benda yang kamu sembah selain daripada Allah, setelah
datang kepadaku keterangan-keterangan yang jelas daripada Tuhanku, dan aku
diperintahkan supaya patuh kepada Tuhan sekalian alam”.
Demikianlah misi agama Islam, yang mengajak manusia hanya tunduk
kepada Allah S.W.T., tidak tunduk kepada manusia atau kuasa yang lain. Oleh
itu, kita tidak wajar sama sekali membiarkan tanahair kita dikuasai atau
dipengaruhi oleh mana-mana pihak, amat wajarlah kita mempertahankan
kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.
Sidang Jumaat sekalian,
Kedaulatan bererti kekuasaan tertinggi. Aspek pertama kedaulatan adalah
kedaulatan pemerintahan. Ia bererti pemerintah dan rakyatnya bebas dalam
menguruskan hal-hal pemerintahan dan pentadbiran tanpa campur tangan dari
orang luar.
Aspek kedua dalam kedaulatan pula adalah Kedaulatan Wilayah. Setiap
negara mempunyai sempadan dan batasan wilayahnya. Dalam hubungan ini,
Islam meletakkan Unsur Pertahanan Negara sebagai keutamaan.
Islam mewajibkan umatnya berjuang dan berjihad mempertahankan tanah
air. Kewajipan itu menjadi fardhu ‘ain ke atas setiap umat apabila musuh telah
berada di dalam wilayah Islam. Dalam suasana aman, maruah dan kedaulatan
negara Islam, wajib terus dipertahankan. Janganlah ada di kalangan kita yang
menjadi pengkhianat dan rela pula menjual maruah agama dan kedaulatan
negaranya untuk mendapatkan habuan bagi dirinya sendiri. Sebarang tindakan
dalam bentuk penghinaan mahu pun campur tangan luar perlu ditentang, demi
memelihara agama dan tanahair kita.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Pemimpin menurut pandangan Islam ialah mereka yang menganggap
bahawa jawatan yang disandangnya itu bukanlah satu keuntungan dan
kebanggaan. Akan tetapi, ia dilihat sebagai amanah dan tanggungjawab berat
lagi mencabar. Makin tinggi kepimpinan itu, semakin banyaklah tanggungjawab
yang mesti diselesaikannya.
Sebagai contoh, umat Islam terdahulu patuh dan taat kepada pimpinan
Rasulullah s.a.w. Segala perintah yang disampaikan, dipatuhi dan larangannya
ditinggalkan. Kewajipan ibadat solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan
Ramadhan dipatuhi dengan penuh ikhlas. Demikian juga apabila Baginda
membacakan wahyu yang diterima, seperti melarang minum arak. Mereka
semua segera mencurahkan arak yang ada dalam simpanan mereka ke tanah
dan berhenti meminumnya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Pembangunan insan hendaklah disemarakkan lagi bagi membentuk Insaninsan
Rabbani yang progresif, cergas dan tangkas dalam membangunkan diri,
masyarakat, negeri dan negara, iaitu:

Peranan pemimpin yang baik adalah;
Pertama: Membentuk rakyat yang berilmu, beriman dan berakhlak.
Ketinggian ilmu, kemantapan iman dan kecemerlangan akhlak,
adalah unsur-unsur penting kepada pembinaan kemajuan syakhsiah
dan negara yang cemerlang. Jatuh bangunnya tamadun manusia
bergantung pada penghayatan ilmu, pemilikan iman dan akhlak oleh
setiap lapisan masyarakat.
Kedua: Mengekalkan perpaduan, keharmonian dan keamanan negeri dan
negara.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat untuk
mengekalkan perpaduan, keharmonian dan keamanan. Usaha
bersungguh-sungguh hendaklah dilaksanakan untuk mengeratkan
hubungan sesama Islam, meskipun mereka berbeza pendapat,
budaya dan adat. Inilah asas kekuatan untuk mengekalkan
perpaduan, keharmonian dan keamanan sebuah negara.
Ketiga: Sentiasa memberi contoh terbaik agar sentiasa menjadi ikutan.
Rasulullah s.a.w. telah diutuskan oleh Allah S.W.T. sebagai model
untuk diikuti dalam setiap perkara. Dalam sirah Islam, Rasulullah
s.a.w. dihormati bukan sahaja di kalangan sahabat dan orang Islam,
malah dikagumi oleh orang bukan Islam. Ini disebabkan peribadi
Baginda yang unggul. Kita perlu menyedari bahawa setiap langkah
dalam kehidupan yang baik sudah tentu akan membawa kejayaan
yang lebih besar dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. Firman Allah
dalam surah At-Taubah ayat 120:
“Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak menghilangkan pahala bagi orang
yang berbuat baik”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w. sering mengingatkan umatnya tentang urusan
pemerintahan. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud:
“Akan wujud kemudian nanti pemerintah yang menjalankan tugas dengan
penuh pengetahuan dan melakukan perkara-perkara yang ditugaskan. Di
samping itu, akan wujud juga nanti pemerintah yang menjalankan tugas tanpa
pengetahuan dan melakukan perkara-perkara yang tidak ditugaskan. Sesiapa
yang membetulkan pemerintah sedemikian, bermakna dia telah menjalankan
tugasnya dan sesiapa yang menyekat pemerintahan sedemikian, ia akan
selamat”.
(Maksud Hadis Riwayat Abu Ya’la)
Sebagai manusia yang diciptakan Allah S.W.T. mereka tidak sunyi
daripada sifat lupa dan melakukan kesilapan, sama ada sedar atau tidak. Oleh
itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memberikan peringatan atau
teguran kepada siapa juga yang melakukan kesilapan. Allah S.W.T.
memberikan pengiktirafan terhadap budaya ingat-mengingati sebagaimana
Firman-Nya dalam surah Adz-Dzariyaat ayat 55:
“Teruskanlah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu
mendatangkan faedah bagi orang yang beriman”.
Bagaimanapun, di samping memberikan ruang yang luas untuk sesiapa
sahaja menegur dan menasihati mereka yang melakukan kesilapan. Islam juga
menggariskan adab serta tatacara tertentu dalam tegur-menegur. Ini bertujuan
bagi memastikan teguran atau nasihat yang diberikan dapat memelihara
ukhuwwah, selain menyedarkan individu yang melakukan kesilapan tersebut.
Teguran dan kritikan itu juga berkemungkinan dapat membangun nilai dan kesan
positif, kepada orang yang ditegur. Antara perkara yang diambil kira ketika
memberi teguran ialah keikhlasan hati, baik sangka dan menjaga maruah atau
kehormatan individu yang ditegur itu.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Setiap rakyat dan para pemimpin mempunyai peranan dan fungsi masingmasing.
Oleh itu, amat wajar kita semua menjalankan tugas seperti yang
diamanahkan supaya hidup kita di atas dunia ini dikurniakan keberkatan dan
kesejahteraan oleh Allah S.W.T. Sikap suka bantu-membantu, tolong-menolong,
bertolak ansur, berbaik sangka, adalah antara sifat-sifat utama yang perlu
diamalkan untuk membina perpaduan yang teguh.
Kecuaian kita menjalankan amanah Allah akan mengakibatkan kita
terdedah kepada kemurkaan Allah S.W.T.
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan
untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik
dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu
pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Kalaulah ahli kitab
(Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah
(iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman,
dan kebanyakan mereka orang yang fasiq”.

kHUTBAH DISAMPAIKAN OLEH IMAM 2 MUHAMMAD ZABBAR B MOHD AMIN

No comments: